Tuesday, February 27, 2024

Pelik! Negara Islam tapi sup babi jadi makanan warisan

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Pengiktirafan warisan patut selari citra, budaya asal negara
Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Syaaban 1445H, Selasa – Pengiktirafan terhadap hidangan sup babi, bak kut teh sebagai sebahagian daripada makanan warisan negara mencetuskan polemik daripada pelbagai pihak.

Pengiktirafan itu ternyata mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan majoriti masyarakat negara kerana menyifatkannya jelas tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Shahier Sa’min turut senada dalam isu itu kerana menganggap pengiktirafan hidangan itu sangat tidak sesuai untuk diangkat menjadi makanan warisan.

Beliau menegaskan, sebarang perkara yang ingin diiktiraf sebagai warisan Malaysia seharusnya selari dengan citra dan budaya asal negara ini.

“Lagi pelik, negara Islam menjadikan hidangan babi sebagai makanan warisan negara? Tidak sesuai langsung.

“Melihat kepada usaha pihak-pihak tertentu yang sedaya upaya memasukkan bak kut teh sebagai makanan warisan negara kita, adalah suatu yang sangat membimbangkan.

“Sekali kita biarkan perkara songsang ini berlaku, berapa banyak pula hidangan babi yang akan diiktiraf sebagai warisan negara akan datang?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bak kut teh tersenarai di antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara menerusi Perisytiharan Objek Warisan 2024 disiarkan Jabatan Peguam Negara yang juga Warta Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Warisan, Muhamad Muda Bahadin bertarikh 16 Februari lalu.

Tahun lalu, perbahasan di Parlimen ‘panas’ apabila Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah meminta kerajaan mempertimbangkan mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara.

Permohonan untuk menyenaraikan bak kut teh sebagai makanan warisan mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (Motac) ketika itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-