By Editor
-27/02/2024
KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengemukakan tiga tuntutan Reformasi 100 Peratus untuk mendesak kerajaan memenuhi tiga perkara utama yang dijadikan manifesto kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Tiga tuntutan itu adalah berkaitan kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditambah baik dengan melibatkan Jawatankuasa Parlimen, supaya semua pihak boleh membahaskannya secara demokratik dan inklusif, reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan reformasi Parlimen.
Bersih turut menuntut tiada lagi keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.
Tuntutan ketiga Bersih adalah menolak undang-undang dua darjat membabitkan kes-kes perbicaraan berprofil tinggi membabitkan ahli politik yang diutamakan.
Memorandum berkenaan masing-masing diserahkan kepada empat ahli Parlimen PH iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Selain itu, dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Terdahulu, kira-kira 60 peserta Himpunan Tuntut Reformasi 100 peratus anjuran Bersih berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.
Peserta himpunan mula berkumpul berhampiran Plaza Tugu Negara di sini, seawal pukul 7 pagi sebelum berarak sehingga ke laluan persimpangan masuk ke bangunan Parlimen kira-kira pukul 8.30 pagi.
Mereka berarak secara aman dengan diiringi kira-kira 100 anggota polis yang melakukan tugas kawalan keselamatan dan aliran trafik.
Sementara itu dalam kenyataannya, Bersih menegaskan ini adalah aksi pertama untuk mengingatkan Kerajaan Madani, dan juga Ahli-Ahli Parlimen yang berkempen atas manifesto untuk mereformasikan negara.
“Bahawa rakyat tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak supaya agenda reformasi pilihan raya dan reformasi institusi dilaksanakan.
Bersih menegaskan Parlimen adalah institusi keramat yang menjadi nadi kepada usaha reformasi khususnya dalam membawa agenda tatakelola yang baik dalam negara,” kata kenyataan itu.
Bersih juga menggesa agar tuntutan ini dipandang serius oleh Kerajaan Madani dan Ahli-Ahli Parlimen terutamanya backbencher untuk terus mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara.
“Kita perlu mencipta dan mencari ruang terbaik kepada pelaksanaan agenda Reformasi 100 Peratus ini yang perlu melibatkan semua pihak, demi mengukuhkan institusi awam dan demokrasi berparlimen dalam fasa transisi demokrasi negara,” kata kenyataan itu.
— BebasNews
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.