Showing posts with label bak kut teh. Show all posts
Showing posts with label bak kut teh. Show all posts

Monday, March 18, 2024

PM: Bincang hal lebih penting, bukan isu macam bak kut teh, kantin sekolah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 18, 2024 12:40 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk mengutamakan isu yang lebih penting seperti ekonomi dan pelaburan berbanding polemik politik.

Berucap kepada kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, Anwar membandingkan lawatan kerjanya di German minggu lalu dengan isu yang menjadi tumpuan di Malaysia mutakhir ini.

“Saya bincang masalah pelaburan (di luar negara) tapi balik Malaysia (isu) bak kut teh, isu buka kantin sekolah bulan Ramadan.

“Itu hangat diperkatakan seolah-olah ia isu hidup mati maruah kita, saudara tahu inilah keadaan dia,” katanya.

Justeru, Anwar menggesa semua pihak untuk berwacana tentang hal-hal yang lebih "sihat dan segar".

Selain isu pewartaan Bak Kut Teh sebagai Warisan Negara, baru-baru ini isu operasi kantin di sekolah sepanjang Ramadan timbul sekali lagi apabila ada pihak yang membantah arahan Kementerian Pendidikan agar ia dibuka bagi kemudahan pelajar bukan Islam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam makan dengan selesa, bukannya di tempat serprti stor.

Sementara itu, Anwar mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat Ramadan dengan memperbaiki disiplin diri dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Dia berkata, Ramadan seharusnya "mengetuk pintu hati nurani" antaranya untuk meningkatkan usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Sebab itu ada kupasan alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih luas...dan tentunya disiplin diri, benda yang (kita) boleh makan, benda kita tak boleh makan, benda harus yang kita boleh buat, tapi kita tak buat.

"Ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin? Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah? Maknanya penghayatan tidak ada,” katanya seperti dipetik Bernama.

Friday, March 1, 2024

'King Sing ektremis, tidak tahu jaga sensitiviti rakyat beragama Islam' - Dr Akmal

bharian.com.my
Oleh Mohamed Farid Noh 
farid_noh@bh.com.my
- Mac 1, 2024 @ 12:04pm
Dr Muhamad Akmal Saleh (kiri) dan Datuk Seri Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO enggan berganjak dan mempertahankan pendirian menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memecat Menteri Kabinet yang terbabit mengiktiraf 'bak kut teh' sebagai hidangan warisan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, itu disifatkan sebagai ektremis kerana tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat negara ini yang beragama Islam.

Malah beliau mempersoalkan relevannya memasukkan makanan yang kebanyakan penyediaannya mempunyai unsur asas babi, sekali gus sensitif di kalangan orang Islam dan senarai makanan warisan negara.

"Ini bukan soal ada sembilan lagi makanan lain juga dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara, tetapi ini adalah soal apakah relevannya memasukkan makanan mempunyai unsur asas babi yang kita tahu sangat sensitif kepada penduduk Islam yang juga majoriti penduduk negara ini dalam senarai makanan warisan negara?

"Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan di dalam warta itu adalah 'bak kut teh' bukannya seafood kut teh atau ayam kut teh. Bak itu bermaksud daging yang secara khususnya merujuk daging babi di dalam sebutan Hokkien.

"Memang bak kut teh boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak bak kut teh yang dikatakan halal dan dijual di pasaran.

"Jawapannya hampir semua bak kut teh yang dijual adalah tidak halal serta mempunyai unsur daging babi," katanya dalam kenyataan di akaun Facebook, hari ini.

Semalam, King Sing dilaporkan membidas Dr Muhamad Akmal dengan mengingatkannya supaya tidak menjadi pembangkang atau kumpulan ekstremis.

Beliau juga dilaporkan menyarankan agar EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu merujuk kepada kamus sekiranya tidak pasti mengenai definisi perkataan itu, susulan isu bak kut teh yang dibangkitkan.

Sebelum itu, Dr Muhamad Akmal dilaporkan mendesak Perdana Menteri memecat King Sing berikutan beberapa isu kontroversi baru-baru ini.

Dr Muhamad Akmal dipetik berkata, isu itu termasuk bak kut teh yang dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara dan penurunan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal mempersoalkan tuduhan ektremis yang dilontar King Sing kepadanya semalam.

"Adakah kamu memberi maksud apabila kami bercakap mengenai perkara yang sensitif di hati orang Melayu khususnya, maka kami dikatakan ektremis?

"Jika begitu yang ektremis adalah orang seperti kamu yang tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat beragama islam di negara ini.

"Kami (Pemuda UMNO) tetap kekal dengan pendirian kami supaya Perdana Menteri memecat orang seperti ini di dalam barisan Kabinet Malaysia," katanya.

Tuesday, February 27, 2024

Pelik! Negara Islam tapi sup babi jadi makanan warisan

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Pengiktirafan warisan patut selari citra, budaya asal negara
Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 17 Syaaban 1445H, Selasa – Pengiktirafan terhadap hidangan sup babi, bak kut teh sebagai sebahagian daripada makanan warisan negara mencetuskan polemik daripada pelbagai pihak.

Pengiktirafan itu ternyata mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan majoriti masyarakat negara kerana menyifatkannya jelas tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Shahier Sa’min turut senada dalam isu itu kerana menganggap pengiktirafan hidangan itu sangat tidak sesuai untuk diangkat menjadi makanan warisan.

Beliau menegaskan, sebarang perkara yang ingin diiktiraf sebagai warisan Malaysia seharusnya selari dengan citra dan budaya asal negara ini.

“Lagi pelik, negara Islam menjadikan hidangan babi sebagai makanan warisan negara? Tidak sesuai langsung.

“Melihat kepada usaha pihak-pihak tertentu yang sedaya upaya memasukkan bak kut teh sebagai makanan warisan negara kita, adalah suatu yang sangat membimbangkan.

“Sekali kita biarkan perkara songsang ini berlaku, berapa banyak pula hidangan babi yang akan diiktiraf sebagai warisan negara akan datang?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bak kut teh tersenarai di antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara menerusi Perisytiharan Objek Warisan 2024 disiarkan Jabatan Peguam Negara yang juga Warta Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Warisan, Muhamad Muda Bahadin bertarikh 16 Februari lalu.

Tahun lalu, perbahasan di Parlimen ‘panas’ apabila Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah meminta kerajaan mempertimbangkan mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara.

Permohonan untuk menyenaraikan bak kut teh sebagai makanan warisan mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (Motac) ketika itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-