Wednesday, March 6, 2024

DUN Kelantan lulus usul gubal semula peruntukan enakmen terbatal

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Mar 6, 2024 3:00 PM
DUN KELANTAN | Selepas sebahagian daripada peruntukannya dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada Feb lalu, DUN Kelantan menerima usul untuk menggubalkan semula 16 perkara dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Usul persendirian itu dikemukakan Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud, dan diluluskan selepas dibahaskan tiga wakil rakyat hari ini.

Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata usul itu berbunyi: Bahawa DUN yang bersidang hari ini merakamkan kekesalan dan sangat berdukacita atas pembatalan 16 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 dan menggesa penggubalan semula enakmen-enakmen yang dibatalkan tersebut.

Kata Mohd Amar selepas membuat penelituan dia berpendapat usul tersebut diterima untuk dibahaskan kerana memenuhi tiga syarat ditetapkan iaitu perkara tertentu dan mustahak, untuk kepentingan orang ramai, dan perlu disegerakan.

“Oleh itu saya menerima cadangan ini,” kata Mohd Amar.

Wan Rohimi kemudiannya membentangkan cadangan usul berkenaan kepada DUN.

Dia yang juga seorang peguam berkata, DUN Kelantan wajar melakukan sesuatu bagi memperkasa 16 perkara yang dibatalkan mahkamah tertinggi negara sebelum ini.

Justeru katanya 16 perara berkenaan perlu digubal semula.

Pada 9 Feb lalu, sembilan hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan 8-1 untuk membenarkan petisyen peguam dari Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk membatalkan 16 daripada 18 peruntukan dalam enakmen tersebut.

Mahkamah memutuskan semasa menggubal enakmen berkenaan DUN Kelantan melangkaui bidang kuasanya seperti yang termaktub dalam Senarai Negeri (Senarai II), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Selepas dibahaskan usul tersebut dibuka untuk undian.

Mohd Amar kemudian memutuskan usul berkenaan diterima dan dipersetujui ahli DUN yang hadir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-