Tuesday, March 12, 2024

'Maaf kami terpaksa naikkan harga' - Peniaga bazar Ramadan

bharian.com.my
Oleh Azhar Shahrulnizam 
bhnews@bh.com.my
- Mac 12, 2024 @ 6:46pm
Kenaikan kos bahan mentah menyebabkan peniaga Bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga jualan.. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Kenaikan kos bahan mentah menyebabkan kebanyakan peniaga Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual.

Tinjauan BH di sini, hari ini mendapati peniaga terpaksa menaikkan harga juadah sekitar RM1 sehingga RM2.

Peniaga murtabak Suhaimi Ahmad, 54, berkata beliau terpaksa menaikkan harga murtabak yang dijual daripada RM5 kepada RM7.

"Harga bawang hari ini meningkat sehingga RM7 sekilogram (kg). Selalunya kita gunakan bawang India tetapi hari ini bawang tersebut sudah tiada lagi di pasaran.

"Murtabak menggunakan bawang yang banyak. Dulu kami menghadapi masalah kekurangan telur. Inilah antara masalah yang dihadapi peniaga hari ini," katanya ketika ditemui BH.

Suhaimi berkata, bagaimanapun beliau sudah memaklumkan kepada pembeli lebih awal lagi.

"Bergantung kepada pembeli untuk menerima kenaikan harga dengan hati yang terbuka. Kami peniaga tiada pilihan. Mohon maaf kepada semua pelanggan," katanya.

Peniaga Roti John, Asmah Jamilus, 43, pula berkata, beliau terpaksa menaikkan harga Roti John kerana kenaikan harga sos cili, sos lada hitam dan juga daging.

"Sebenarnya saya ingin menaikkan harga kepada RM10 tetapi suami saya menasihatkan cukuplah sekadar RM9. Tahun lalu saya menjual Roti John dengan harga RM8.

"Saya terpaksa menaikkan harga kerana daging cincang yang kami gunakan naik daripada RM18.50 kepada RM21.50. Sehari kami gunakan 15kg daging.

"Saiz roti kami tidak kecilkan cuma naikkan RM1 sahaja. Kami berniaga sudah lama di sini. Kami sudah maklumkan kepada pelanggan lebih awal," katanya.
Suasana orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan TTDI untuk membeli juadah berbuka puasa.- Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Sementara itu, peniaga kuih tepung pelita, Mohd Redzuan Musa tidak menaikkan harga sebaliknya mengekalkan harga yang sama seperti tahun lalu.

Bagi pekerja swasta, Hadiya Hamzah, 34, beliau menganggap harga juadah di bazar ini masih lagi berpatutan.

"Semua barang naik harga sekarang, saya faham peniaga terpaksa menaikkan harga. Pada saya, sekiranya kita membeli juadah di luar kita tetap akan membayar jadi terpulang kepada individu bagaimana untuk terima kenaikan harga ini.

"Untuk belanja di bazar Ramadan saya memperuntukkan tidak lebih RM50 untuk dua orang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-