Monday, March 18, 2024

Pembangkang perlu ketepi ego, contohi langkah PH meterai MOU bersama kabinet Ismail Sabri

malaysiadateline.com
Oleh WAN SITI AMINAH
18/03/2024
Pembangkang dinasihatkan supaya mengetepikan ego bagi menyelesaikan masalah peruntukan demi kepentingan masyarakat yang telah mengundi mereka.

Gesaan itu diutarakan Ahli Parlimen Labuan yang juga wakil rakyat dari parti Bersatu iaitu Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman tentang isu melibatkan pengagihan peruntukan.

Suhaili turut merujuk kepada tindakan yang pernah dilakukan parti Pakatan Harapan (PH) yang memeterai satu memorandum perjanjian persefahaman (MoU) pada 2021.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik itu ditandatangani tepatnya pada 13 September melibatkan PH bersama pihak Kerajaan Persekutuan.

Hal ini bagi memastikan segala perbezaan politik antara kerajaan yang ketika itu dipimpin Bekas Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri dengan PH dapat diketepikan.

MoU tersebut merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Jelas Suhaili, pihak pembangkang tidak boleh mengabaikan kepentingan pengundi mereka dengan berulang-ulang kali menggunakan yang alasan sama, lapor Majoriti.

“Sekarang ini bulan Ramadan dan tidak lama lagi Hari Raya di mana wakil rakyat perlu berdepan dengan masyarakat yang telah mengundi mereka.

“Adakah kita akan memberi mereka cerita yang sama (tiada peruntukan)? Orang sudah bosan mendengar alasan seperti ini,” katanya memetik laporan Majoriti.

Suhaili adalah salah seorang Ahli Parlimen Pembangkang yang mengisytiharkan sokongannya kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Suhaili turut mengakui bahawa pindaan diluluskan Bersatu baru-baru ini tidak akan menghalang lebih ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Suhaili mendakwa bahawa penyataan sokongan itu bukan sahaja boleh berlaku di peringkat Parlimen tetapi juga di Dewan Undangan Negeri (DUN).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-