March 18, 2024
Muhammad Hanif Jamaluddin
Itu penegasan dan peringatan yang diutarakan Naib Ketua Pemuda Dewan PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.
“Islam hanya pada sebutan nama sahaja, namun tidak dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Bahkan ada yang merasakan syariat Islam ini menyusahkan dan menyekat kebebasan mereka.
“Sebagaimana Hadis Riwayat al-Baihaqi berkata: “Akan hampir di mana berlaku di akhir zaman kepada manusia tidak tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja. Tidak kekal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja…”,” kongsinya dalam satu kenyataan.
Tidak bersatu atas nama Islam
Menurut beliau, faktor kedua pula faktor kelemahan umat Islam pada hari ini ialah umat Islam itu sendiri tidak bersatu atas nama Islam.
“Tatkala golongan bukan Islam bersatu di atas perkara-perkara yang mereka perjuangkan, umat Islam pula berpecah belah dan berbalah.
“Ada yang sering berbalah dalam perkara-perkara khilafiah sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar.
“Mereka yang menyeru atas nama Islam pula diberikan label yang bermacam-macam termasuk ‘‘tunggang agama’, ‘kumpulan suci’, ‘khawarij’ dan lain-lain,” luah beliau.
Kegagalan Kempen ‘Buy Muslim First’
Tambah Muhammad Hanif, faktor seterusnya yang melemahkan umat Islam pada hari sehingga sering dipermainkan di negara sendiri ialah tidak membantu atau menyokong sesama Islam.
“Islam menganjurkan agar saling tolong menolong sesama kita untuk menjadi kuat, namun apa yang sering berlaku adalah sebaliknya.
“Perasaan hasad terhadap orang lain. Pantang tengok perniagaan kawan maju dan berjaya, pasti ada ‘benda’ yang dilakukan untuk memastikan kawan itu jatuh.
“Umat Islam sendiri tidak menyokong ekonomi umat Islam,” kongsi beliau.
Beliau menegaskan, ia boleh dilihat merujuk kepada Kempen ‘Buy Muslim First’ yang tidak mendapat sambutan yang baik, dengan pelbagai alasan diberikan kononnya ‘mahal’, ‘mahukan untung cepat’ dan lain-lain
“Paling malang, ada yang mempersenda dan memperlekeh usaha-usaha umat Islam. Sebagai contoh usaha boikot barangan Israel yang dianggap lekeh dan tidak cerdik,” ujarnya.
Haram dianggap ‘normal’, halal dilihat ‘ekstrim’
Faktor keempat pula ujar beliau, ialah perkara haram dianggap ‘normal’, dan perkara halal pula dilihat sebagai ‘ekstrim’.
“Konsert-konsert yang melampaui batas syariat diberikan sokongan dan dokongan. Pandangan ulama atau mufti pula dianggap kosong dan tidak diendahkan.
“Bahkan ada pula yang akan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada yang menghalang aktiviti-aktiviti tersebut.
“Mencegah kemungkaran kini dilihat bersalah manakala pelaku pula dijulang sebagai hero,” katanya lagi.
Menyokong kepada penghinaan
Faktor kelima pula menurut beliau, umat Islam sendiri menjadi menyokong kepada penghinaan.
“Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menyokong tindakan mereka yang menghina Islam dengan menganggap itu adalah hak kebebasan mereka untuk bersuara.
“Maka semakin besarlah kepala mereka, semakin banyak penghinaan demi penghinaan dilakukan kerana mereka boleh memohon ‘maaf’,” tegasnya.
Justeru, beliau menampilkan solusinya bagi mengatasi masalah kepada umat Islam dipandang lemah.
Islam ‘The Way of Life’
“Jadikan Islam sebagai ‘The Way Of Life’. Suatu peraturan hidup yang bersepadu dan lengkap yang mengatur seluruh kehidupan manusia,” hujahnya.
Beliau menampilkan ayat al-Quran yang berbunyi, “Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagimu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telahKu redha Islam itu menjadi agamamu”. (al-Maidah: 3)
“Justeru tanamkan sikap tolong- menolong sesama Islam, saling membantu, tingkatkan ekonomi orang Islam, perbaiki sistem ekonomi, jauhi perasaan hasad dan semai kasih sayang.
“Insya-Allah Islam akan kuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.