Sunday, April 7, 2024

Mahkamah Agung India tangguh perintah haramkan sekolah Islam

bharian.com.my
April 5, 2024 @ 10:03pm
Umat Islam berbuka puasa di dalam madrasah yang juga berfungsi sebagai masjid di Kampung Nayabans. - Foto AGENSI

NEW DELHI: Mahkamah Agung India menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengharamkan sekolah Islam di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, kata peguam yang terbabit dalam kes itu.

Keputusan mahkamah pada Jumaat lalu memberi kelegaan kepada beribu-ribu pelajar dan guru sekolah Islam di seluruh negeri itu.

Penghakiman itu dibuat beberapa hari sebelum pengundian peringkat kebangsaan pilihan raya umum (PRU) bermula, yang mana Perdana Menteri India, Narendra Modi dan parti pimpinannya, Bharatiya Janata Party (BJP), mengharapkan kemenangan penggal ketiga.

Mahkamah Agung menyemak semula cabaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi Allahabad pada 22 Mac lalu, yang membatalkan undang-undang 2004 mengenai sekolah Islam yang dipanggil madrasah di Uttar Pradesh, di mana 20 peratus daripada 240 juta penduduknya beragama Islam.

Mahkamah Agung berpendapat undang-undang itu melanggar dasar sekular dalam Perlembagaan dan mahkamah Tinggi turut mengarahkan semua pelajar Islam yang terjejas dipindahkan ke sekolah konvensional.

"Kami berpendapat isu yang dibangkitkan dalam petisyen ini mempunyai merit untuk penelitian lebih rapi," kata Mahkamah Agung pada Jumaat, yang dipetik portal berita Live Law.

Sementara itu, peguam berkata kes berkenaan akan didengar semula Julai ini dan 'semua akan kekal seperti sedia ada' sehingga tempoh berkenaan. Untuk rekod, PRU Persekutuan India akan berakhir pada Jun.

Ketua Lembaga Pendidikan Madrasah di uttar Pradesh, Iftikhar Ahmed Javed, mengalu-alukan perintah mahkamah itu dan menyifatkannya sebagai kemenangan besar.

"Kami benar-benar bimbang mengenai masa depan kira-kira 1.6 juta pelajar dan penangguhan perintah mahkamah itu memberi kelegaan besar kepada kami semua," katanya.

Dalam tempoh 10 tahun pentadbiran Modi, ahli BJP dan sekutunya berulang kali dituduh membuat ucapan berunsur kebencian dan keganasan terhadap Islam.

Modi bagaimanapun, menafikan diskriminasi terhadap minoriti berlaku di bawah kerajaan pimpinannya, yang beliau tegaskan berfungsi untuk kebaikan semua.

 - REUTERS

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-