Showing posts with label India. Show all posts
Showing posts with label India. Show all posts

Saturday, March 15, 2025

URA: PAS ancam turun ke jalanan, Anwar ikrar akan lawan dengan himpunan lebih besar

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
15 Mar 2025, 03:15 PM

Anwar Ibrahim beri amaran supaya pembangkang tidak terus ganggu usaha pentadbirannya untuk membangunkan masyarakat Melayu di bandar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan nak guna URA untuk pembangunan semula supaya orang Melayu di Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggerakkan himpunan lebih besar untuk mempertahankan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), jika pembangkang terus mengancam untuk turun ke jalanan.

Bercakap di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Majlis Amanah Rakyat, Anwar memberi amaran supaya pembangkang tidak terus mengganggu usaha pentadbirannya untuk membangunkan masyarakat Melayu di bandar.

“Kita nak gunakan undang-undang ini untuk bangunkan semula supaya orang Melayu di Kuala Lumpur umpamanya tidak hidup merempat, setelah 50 tahun, 60 tahun macam itu juga… satu kamar (tapi) ditentang, nak buat perhimpunan.

“Saya nak beritahu mereka, jangan cabar kita nak bela nasib orang miskin, majoriti Melayu, sebahagian kecilnya India dan ada juga Cina, tapi kamu nak ganggu.

“Kalau dia buat himpunan, kita boleh buat perhimpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela nasib orang Melayu,” kata Anwar di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Kelmarin, Anwar mendakwa pihak yang menentang Akta URA tidak mahu taraf kualiti hidup orang Melayu di bandar meningkat.

Beliau mendakwa ada pihak tertentu mahu ‘Melayu itu dilemahkan’ supaya kelompok terbabit dapat mengawal pemikiran mereka dengan terus menghasut melalui agama dan kaum.

Antara pihak yang keras menentang akta itu ialah Pemuda PAS yang menyuarakan hasrat untuk berhimpun di jalanan.

Timbalan Ketua Pemuda Hafez Sabri menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai ‘penjajahan moden’, selain mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) akan menentang RUU yang akan dibentangkan Jun ini kerana boleh mengganggu keharmonian.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagaimanapun menafikan RUU itu disasarkan kepada kaum tertentu.

Thursday, February 20, 2025

Larangan berceramah untuk Zakir Naik sudah tiada, kata Saifuddin

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Feb 20, 2025 3:26 PM
PARLIMEN | Tiada lagi sebarang kekangan untuk pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik, menyampaikan ceramah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata larangan sebelum ini dibuat pihak berkuasa adalah disebabkan siasatan yang dijalankan berhubung dua insiden melibatkan Zakir pada 2019.

Dalam tempoh itu, kata Saifuddin, pihak berkuasa mengenakan larangan berceramah.

"Saya baru semak semula sekarang (dan mendapati) tak ada larangan itu.

"Sebab (larangan tersebut) hanya merujuk kepada tempoh siasatan terhadap dua kenyataan yang dikeluarkan beliau dalam ucapan - kalau tak silap di Kota Bharu dan Perlis," katanya.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalam RSN Rayer (PH-Jelutong) yang ingin tahu status terkini larangan ke atas Zakir.

Kata Rayer, dia ingin tahu sama ada larangan berkenaan sudah dibatalkan atau sebaliknya.

Dia juga menegaskan tidak bercadang untuk membantah sesiapa saja menyampaikan ceramah agama kecuali Zakir.

"Bagi menjawab soalan Jelutong (Rayer) apakah sekarang larangan itu masih ada, (jawabnya) larangan itu tidak ada lagi sekarang," katanya.

Nama Zakir kembali menjadi perhatian baru-baru ini apabila dia dilihat menyampaikan ucapan dalam satu majlis di Perlis dan tidak disenangi Rayer.

Bagaimanapun keadaan itu dijelaskan Mohd Asri Zainul Abidin yang memberitahu Zakir dibenarkan berucap selepas mendapat izin daripada Mufti Perlis berkenaan.

Friday, February 7, 2025

Kenapa kaum bukan Islam Kelantan tahu batasan agama?

harakahdaily.net
February 7, 2025


TUMPAT: Masyarakat bukan-Islam di Kelantan telah memahami apa yang menjadi larangan terhadap umat Islam untuk diamalkan terutama melibatkan makanan.

Kefahaman itu berlaku hasil hubungan baik masyarakat berkenaan dengan umat Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Rusli Abdullah pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat sempena Tahun Baru Cina Peringkat DUN Wakaf Bharu petang semalam.

Majlis anjuran Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) itu diadakan di Taman Perumahan Kulim, dekat sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Khas Hubungan Antara Kaum Pejabat Menteri Besar Lim Guang Seng dan pemimpin masyarakat setempat.

Tambah beliau, masyarakat Tionghua di Kelantan khususnya lebih memahami batasan agama dalam meraikan perayaan bersama masyarakat Islam.

“Sebagai contoh, jika mengundang umat Islam ke majlis mereka, mereka akan memastikan makanan ditempah daripada penyedia halal dari luar serta menyediakan minuman seperti air kotak atau air mineral sebagai tanda hormat terhadap sensitiviti agama,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selagi sesuatu perayaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, kerajaan negeri bersedia untuk turut serta meraikannya bersama masyarakat.

Pada masa sama, Rusli turut menasihati rakyat agar tidak terpengaruh persepsi negatif pihak luar yang tidak faham keharmonian sebenar di Kelantan.

Beliau berkata, walaupun komuniti bukan-Islam kecil, mereka tetap diraikan sebagai sebahagian daripada masyarakat Kelantan yang harmoni.
“Walaupun jumlah mereka hanya sekitar lima peratus, perpaduan kaum di negeri ini amat kukuh. Wakaf Bharu sendiri dihuni masyarakat berbilang kaum, termasuk Melayu, Cina, Siam dan India,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusetia Penerangan, Komunikasi dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad memberitahu, kerajaan negeri terus aktif merai kepelbagaian budaya kaum minoriti di negeri ini.

Katanya, keraian itu termasuk melalui penganjuran sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, program seperti itu bertujuan memastikan kaum minoriti turut merasai manfaat di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang berlandaskan dasar ‘Membangun Bersama Islam’.

“Kerajaan Negeri Kelantan melalui UPKN sentiasa komited menganjurkan program sambutan perayaan bagi kaum minoriti, termasuk Tahun Baharu Cina.

“Ini membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam masyarakat tanpa menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Menurutnya, UPKN juga berperanan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat minoriti, khususnya masyarakat Tionghua, agar mereka tidak terpinggir daripada agenda pembangunan negeri. 

HARAKAHDAILY 7/2/2025

Sunday, January 26, 2025

Pelbagai kaum makan budu dalam pinggan sama

harakahdaily
January 26, 2025
Di Kelantan

KOTA BHARU: Kelantan terus menjadi contoh negeri yang memupuk perpaduan harmoni antara kaum apabila mereka seumpama ‘bersaudara’.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejarah membuktikan tidak pernah berlaku perbalahan kaum di Kelantan sehingga berlaku perkara tidak diingini sebagaimana berlaku di negeri lain.

“Ini adalah keistimewaan yang kita miliki, dan ia bukan sekadar kata-kata,” tegasnya ketika berucap merasmikan Majlis Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2025 di AEON Mall Kota Bharu malam tadi.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Antara Kaum Negeri, Zamakhshari Muhamad

Menurut beliau, kemakmuran masyarakat pelbagai kaum di Kelantan bukan sahaja dapat dilihat dalam kehidupan harian, tetapi juga dalam tradisi sambutan perayaan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa.

“Di Kelantan, kita tidak melihat perbezaan kaum, agama, atau tradisi sebagai punca perpecahan. Sebaliknya, ia menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan dan silaturrahim antara semua,” katanya.

Beliau menambah bahawa perpaduan erat ini menjadikan masyarakat Kelantan hidup sebagai sebuah keluarga besar, tidak kira bangsa dan agama.

“Bahkan, sambutan Aidilfitri di negeri ini sering dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum yang mempunyai masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain bangsa sebagai tanda perpaduan sejati,” katanya.

Sambungnya, kehidupan bermasyarakat terus ditonjol ketika makan tengahari bersama-sama terutama ketika menikmati menu masakan kampung.

“Nak cari di negeri mana seperti di Kelantan, orang Melayu, Cina, India dan Siam petak budu dalam pinggan yang sama ketika menikmati hidangan tengah hari.

“Saya rasa tidak jumpa di negeri lain, tetapi di Kelantan inilah yang berlaku, mu (kau) picit lada dalam budu, aku petak sama dan makan,” ujarnya sambil disambut sorakan para hadirin yang hadir.

Dato’ Nassuruddin turut menyeru agar budaya harmoni ini terus dipertahankan.

“Hidupkan budaya yang berbeza ini, dan saya yakin Kelantan akan menjadi lebih makmur. Kita mahu perpaduan ini kekal dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menekankan bahawa hubungan erat antara kaum di Kelantan adalah asas utama untuk membina negeri yang lebih sejahtera dan bersatu. 

HARAKAHDAILY 26/1/2025

Friday, September 6, 2024

Kaum lain patut kenang budi bangsa Melayu, kata Hadi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 12:50 PM
Abdul Hadi Awang berkata, bangsa bukan Melayu sepatutnya mengenang budi kepada orang Melayu negara ini di sebalik sejarah panjang yang dikaitkannya dengan zaman Rasulullah SAW.

Kata Presiden PAS itu juga di Malaysia ini ada hubungan yang erat di antara Melayu dan Islam dan ia "tidak boleh dipisahkan" dan wajar dihargai oleh bangsa lain "yang dibawa masuk oleh penjajah".

Dakwa Abdul Hadi, di negara ini sesiapa saja yang menganut Islam akan dinamakan Melayu tanpa mengambil kira suku kaumnya, termasuk jika individu terbabit berasal dari Arab, India, Cina dan sebagainya.

"Apabila seseorang Melayu keluar dari Islam, maka dia dikira bukan Melayu lagi," katanya dalam catatan di media sosial.

Tambah Abdul Hadi lagi Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan Islam ialah agama bagi persekutuan, hak istimewa Melayu dan bumiputera (dijamin), serta bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.

Selain itu Ahli Parlimen Marang berkenaan mendakwa bahasa Melayu dan tulisannya yang berhuruf Arab dan Parsi menjadi bahasa kebangsaan, serta menjadi perantaraan masyarakat majmuk.

Seterusnya, kata Abdul Hadi, bahasa Melayu menjadi bahasa agama di samping bahasa Arab sehingga dijadikan bahasa ilmu di Nusantara.

"Maka Melayu Islam boleh dijadikan syarat kepimpinan kerajaan di rantau ini seperti kedudukan raja-raja Melayu yang dikekalkan," katanya lagi.

Dianggap lemah dan hina

Dalam konteks itu Abdul Hadi menegaskan amalan tersebut dibuat sebagai mencontohi langkah Rasulullah SAW serta kerajaan Islam selepas baginda.

"Penerimaan bangsa Melayu Islam terhadap masyarakat majmuk ialah pengaruh ajaran Islam yang pernah berdaulat, dan ia sepatutnya dihargai dan dikenang budinya oleh kaum dan bangsa lain yang dibawa masuk oleh penjajah selepas mereka merampas kuasa Islam di rantau ini," katanya lagi.

Penegasan berasaskan kaum itu bukanlah yang pertama dibuat Abdul Hadi.

Sebelum ini dia yang pernah dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri mendakwa amalan rasuah di negara ini banyak melibatkan orang bukan Islam atau bukan bumiputera.

Menurut Abdul Hadi lagi pemikiran orang ramai khususnya Melayu dirosakkan oleh penjajah walaupun bangsa itu telah "dimuliakan oleh Islam" sehingga menjadi kaum yang memimpin sejak Islam tiba.

Kini dakwa ahli politik berusia 76 tahun itu orang Melayu menjadi bangsa yang lemah di tanah air sendiri.

Keadaan bangsa yang lemah dan hina, menurut pandangan Abdul Hadi, ada diperingatkan oleh Allah dalam al-Quran.

Memetik ayat ke-38 dan ke-39 surah at-Taubah, Abdul Hadi mendakwa kelemahan tersebut berlaku apabila ada bangsa yang tidak berjuang mendapatkan kuasa politik Islam.

Bahkan dia turut mengaitkan keadaan itu dengan orang Melayu di Singapura dan mencadangkan agar ia dijadikan pengajaran di Malaysia.

"Hilangnya kuasa politik Arab sehingga kekayaannya tidak berfaedah dan tidak mampu membebaskan Palestin yang dikuasai Zionis yang kecil jumlahnya, malah menjadi hina.

"Begitu juga hilangnya kuasa politik Melayu di Singapura menjadi teladan terdekat, apabila hilangnya kesedaran akan kepentingan peranan politik," katanya.

Sunday, April 7, 2024

Mahkamah Agung India tangguh perintah haramkan sekolah Islam

bharian.com.my
April 5, 2024 @ 10:03pm
Umat Islam berbuka puasa di dalam madrasah yang juga berfungsi sebagai masjid di Kampung Nayabans. - Foto AGENSI

NEW DELHI: Mahkamah Agung India menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengharamkan sekolah Islam di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, kata peguam yang terbabit dalam kes itu.

Keputusan mahkamah pada Jumaat lalu memberi kelegaan kepada beribu-ribu pelajar dan guru sekolah Islam di seluruh negeri itu.

Penghakiman itu dibuat beberapa hari sebelum pengundian peringkat kebangsaan pilihan raya umum (PRU) bermula, yang mana Perdana Menteri India, Narendra Modi dan parti pimpinannya, Bharatiya Janata Party (BJP), mengharapkan kemenangan penggal ketiga.

Mahkamah Agung menyemak semula cabaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi Allahabad pada 22 Mac lalu, yang membatalkan undang-undang 2004 mengenai sekolah Islam yang dipanggil madrasah di Uttar Pradesh, di mana 20 peratus daripada 240 juta penduduknya beragama Islam.

Mahkamah Agung berpendapat undang-undang itu melanggar dasar sekular dalam Perlembagaan dan mahkamah Tinggi turut mengarahkan semua pelajar Islam yang terjejas dipindahkan ke sekolah konvensional.

"Kami berpendapat isu yang dibangkitkan dalam petisyen ini mempunyai merit untuk penelitian lebih rapi," kata Mahkamah Agung pada Jumaat, yang dipetik portal berita Live Law.

Sementara itu, peguam berkata kes berkenaan akan didengar semula Julai ini dan 'semua akan kekal seperti sedia ada' sehingga tempoh berkenaan. Untuk rekod, PRU Persekutuan India akan berakhir pada Jun.

Ketua Lembaga Pendidikan Madrasah di uttar Pradesh, Iftikhar Ahmed Javed, mengalu-alukan perintah mahkamah itu dan menyifatkannya sebagai kemenangan besar.

"Kami benar-benar bimbang mengenai masa depan kira-kira 1.6 juta pelajar dan penangguhan perintah mahkamah itu memberi kelegaan besar kepada kami semua," katanya.

Dalam tempoh 10 tahun pentadbiran Modi, ahli BJP dan sekutunya berulang kali dituduh membuat ucapan berunsur kebencian dan keganasan terhadap Islam.

Modi bagaimanapun, menafikan diskriminasi terhadap minoriti berlaku di bawah kerajaan pimpinannya, yang beliau tegaskan berfungsi untuk kebaikan semua.

 - REUTERS

Sunday, February 18, 2024

PAS yakin tawan Selangor pada PRU16

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
18 Feb 2024, 7:32pm

Parti itu akan melancarkan projek khas dengan slogan ‘PAS for All’ dalam usaha menawan negeri itu.
Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata pihaknya berikrar menjadikan negeri itu lebih berdaya saing dan bersih daripada pemimpin politik korup. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS yakin akan memimpin Selangor pada PRU16 sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya saing.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata perkara itu adalah ikrar dinyatakan pihaknya pada permukiman selama tiga hari buat kali pertama bagi pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Ab Halim Tamuri.

“PAS berikrar akan menjadikan Selangor sebagai negeri lebih berdaya saing dalam sektor ekonomi, bersih daripada pemimpin politik yang korup, penggunaan sumber yang berkesan, infrastruktur berkualiti dan tadbir urus cekap untuk semua kaum dan agama selepas PRU16,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PAS yakin Selangor hanya akan lebih makmur dan mampu menyediakan peluang pekerjaan lebih tinggi apabila negeri itu dibangunkan bersama secara adil oleh tokoh masyarakat kaum Melayu, Cina, India dan kaum lain.

Zurk berkata, pihaknya akan melancarkan projek khas dengan slogan “PAS for All” bagi mencapai resolusi bertindak yang melibatkan tokoh pemikir pelbagai kaum dan agama sebagai titik mula kepada usaha menawan Selangor.

Pada PRN Selangor sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kekal memerintah selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Manakala PAS yang bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menang di 22 DUN.

Saturday, December 23, 2023

Anwar mohon maaf jika istilah 'keling' timbulkan salah faham

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 23, 2023 8:19 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul daripada penggunaan istilah "keling" ketika program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Anwar berkata penggunaan frasa itu dipetik daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah, dan bukan bertujuan untuk menghina mana-mana pihak.

"Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya.

"Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama," kata pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya hari ini.

Semasa sesi dialog di UPSI pada Khamis lalu, perdana menteri menceritakan mengenai Hang Tuah ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, termasuk fasih dalam pelbagai bahasa.

Pahlawan Melayu itu, kata Anwar, boleh bercakap dengan baik bukan sahaja dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam "Bahasa Jawa, Bahasa Siam, dan juga 'Bahasa keling' atau Tamil.

Rakaman video ucapan perdana menteri itu dikongsi di media sosial, dengan sebahagian netizen mengkritik Anwar kerana menggunakan istilah yang dianggap menghina oleh kaum India di Malaysia.

"Saya kata orang kalau baca, Hang Tuah itu dia kuasai bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam, bahasa keling. Itu guna istilah daripada bahasa kalinga dalam buku itu.

"Sekarang ini istilah keling itu tak disenangi banyak pihak, jadi saya tak gunakan. Saya cuma quote (petik) konteks dalam buku itu,” jelasnya.

Anwar bukanlah perdana menteri Malaysia pertama menerima kecaman kerana menggunakan istilah 'keling' di khalayak ramai.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad juga pernah diselar selepas menggunakan perkataan itu ketika mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya pada 2018.

Semasa mengkritik suruhanjaya itu, Mahathir berkata: "Saya nak guna perkataan 'keling'. Orang 'keling' kata podah.

Mahathir juga pernah membuat kenyataan serupa pada 2016.

Thursday, June 22, 2023

Lokman kini jadi jurucakap dan pembela DAP, kata MCA

satuberita.my
By SatuBerita
-June 22, 2023
SELAMA berdekad MCA dan DAP menjadi musuh tradisi dan saling menyerang, sehinggalah selepas penubuhan kerajaan tahun lalu yang memaksa mereka “mengadakan gencatan senjata”.

Namun, menurut Naib Presiden MCA Ti Lian Ker, peranan menyerang parti itu kini nampaknya telah diambil alih oleh anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Lokman Adam.

Ti malah mengucapkan tahniah kepada DAP kerana Lokman – yang dahulunya berseteru dengan parti itu – kini menjadi “jurucakap dan pembela” mereka.

MIC dan MCA hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhaap Lokman kerana menganggap mereka sebagai “biawak hidup” dalam BN kerana gagal memberi impak sejak PRU 2008.

Dalam kenyataan hari ini, Ti mengecam Lokman dan membangkitkan Deklarasi Setapak yang dibuat DAP pada 1967 yang menekankan prinsip kesamarataan kaum dan menentang pengasingan antara bumiputera dan bukan bumiputera dalam proses membina negara.

Ekoran naratif itu, Ti berkata DAP mendapat sokongan popular manakala undi orang Cina dan India terhadap BN merosot.

Dia juga membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai politik dalaman Umno yang menghakis sokongan Melayu, dengan ada pemimpin parti itu yang keluar dan menubuhkan parti lain dan menarik penyokongnya.

“Personaliti-personaliti (bekas) UMNO ini juga diperalat dan ditunggang oleh DAP sehinggalah DAP bukan sahaja berjaya memonopoli undi Cina dan India, tetapi juga menambah sokongan pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar dan tradisi BN,” kata Ti.

‘Jangan biadab’

Ti turut membangkitkan seruan perubahan yang dilaungkan DAP sebelum ini dengan menyifatkan Umno sebagai “penyamun” denan BN bertindak balas dengan penegasan “No DAP”.

“Inilah latar belakang dan hakikat politik yang perlu kita terima secara kolektif.

“Janganlah Lokman menjadi biadab seperti DAP yang pernah gelar MCA sebagai ‘anjing Umno’ dengan melabel MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’. Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan,” katanya lagi.

Sejak menganggotai BN, kata Ti, MCA sentiasa mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati perbezaan.

” Adakah Lokma mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?

“Sedar atau tidak, DAP sering menuduh MCA dan MIC gagal mempertahankan atau membela kaum Cina dan India. Malah DAP juga sudah lama menanam doktrin bahawa MCA dan MIC ‘tunduk’ kepada UMNO,” katanya lapor Malaysiakini.

‘Bawa Umno keluar BN’

Sementara itu, jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan berkata antara punca kegagalan partinya dan MIC untuk menarik sokongan adalah kerana “segelintir pemimpin Umno yang kurang matang dan tidak bertanggungjawab” yang membuat kenyataan yang menghakis sokongan terhadap BN sejak beberapa PRU lalu.

Chong berkata MCA sentiasa menjunjung semangat kekeluargaan dalam BN yang membolehkan gabungan itu mengharung segala halangan dan cabaran sehingga hari ini.

“Namun begitu, fitnah tidak berasas yang dilemparkan oleh Lokman semasa telah mencemarkan integriti dan imej MCA dan MIC di kalangan umum.

“Memandangkan dia telah menyatakan secara terang pandangan terhadap MCA dan MIC, berdasarkan semangat demokrasi dia dipelawa memohon kepada partinya untuk menarik diri daripada BN dan menyertai PH secara rasmi,” katanya yang turut mendesak Lokman agar memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuatnya.

Wednesday, February 15, 2023

Halang eksport bukan import telur

bebasnews.my
By Hassan Mohd Noor
-15/02/2023
KUALA LUMPUR — Isu bekalan telur terus menarik perhatian apabila wakil kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengimport telur dari India.

Dua Ahli Parlimen dari Johor menyentuh isu itu ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ketika perbahasan menegaskan import telur ayam dari India bukan penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan, sebaliknya menimbulkan isu diskriminasi kepada penternak tempatan.

Ia berikutan telur dari India yang bersaiz gred D dibenarkan dijual pada harga 50 sen sebiji di pasaran tempatan, sedangkan telur gred A, B dan C yang dikeluarkan pengusaha tempatan terpaksa dijual pada harga di bawah 50 sen.
Foto Twitter MITI Malaysia
Beliau mencadangkan kementerian mengikut cadangan persatuan penternak yang meminta kerajaan kembali kepada kaedah subsidi telur bagi menampung lonjakan kos operasi mereka, selain mengawal eksport telur ke luar negara.

“Di kawasan saya, ada lebih 100 ladang ayam. Ladang di kawasan saya hasilkan empat juta biji telur dan 800,000 biji boleh dijual kepada Singapura. Ertinya, kita ada keupayaan.

“Saya minta ambil pandangan persatuan. Biar mereka jual telur pada harga 50 sen sebiji, tetapi kerajaan tampung sedikit dengan subsidi dan harga diapungkan.

“Kerajaan juga boleh pilih untuk bantu keluarga B40 dengan khususnya subsidi sembilan sen atau 10 sen kepada keluarga B40 dan kalau RM200 boleh dapat lebih 2,000 telur untuk satu keluarga B40.

“Jadi kerajaan perlu pilih nak bantu penternak tempatan atau keluarga B40. Kita tak boleh benarkan telur dari India datang ke sini dan dijual pada harga 50 sen sebiji kerana kita mendiskriminasi petani tempatan,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula berpandangan kerajaan sepatutnya bertindak menghalang eksport telur ayam ke luar negara seperti dilakukan pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu yakin pendekatan itu lebih sesuai kerana Malaysia selaku antara pengeksport utama telur ayam dunia, memiliki lebihan telur ayam untuk mengatasi isu kekurangan bekalan dan harga bahan makanan itu.

Katanya, semasa beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Pertanian, ketika timbul isu bekalan barang, kerajaan memanggil semua pembekal.

“Saya diberitahu Malaysia antara pengeskport telur terbesar di dunia, bermakna ada lebihan (telur ayam). Sewaktu kekurangan (telur) dalam negara, kenapa tak sekat bekalan eksport? Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) buat.

Ini supaya tidak ada telur yang mengalir (keluar) ke sana (luar negara) dan telur masuk ke dalam negara kita. Jadi harga boleh kekal, malah mungkin boleh dijual lebih murah lagi,” katanya.

— BebasNews

Tuesday, December 27, 2022

PM X jadi soalan Who Wants to Be a Millionaire India

utusantv.com
Oleh Farwizah Samsudin
-December 27, 2022

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi bualan warganet sejak semalam selepas menjadi salah satu soalan dalam sebuah rancangan kuiz terkenal, Who Wants to Be a Millionaire India.

Rancangan dikenali sebagai Kaun Banega Crorepati itu dihoskan oleh pelakon terkenal India, Amitabh Bachchan.

Menerusi episod 101, musim ke-14 yang disiarkan pada Jumaat lalu, Anwar menjadi soalan bernilai 640,000 rupee atau RM34,000.

Soalan yang berbunyi “Negara manakah yang memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada tahun 2022?” telah berjaya dijawab oleh peserta apabila memilih Malaysia sebagai jawapan.

Antara pilihan jawapan lain yang disediakan ialah negara Iraq, Bahrain dan Indonesia.

Rata-rata warganet di ruangan komen turut bangga apabila nama Anwar dijadikan soalan dalam rancangan kuiz terkenal itu.

“Itu pengaruh Anwar Ibrahim, satu dunia ikthiraf dia,” komen Advanceanalyst.

“Anwar Ibrahim conquered Bollywood ! Manahan diri,” ujar Afiqazni.

“mmg satu dunia menunggu dan raikan anwar ibrahim jadi PM,” kata Sayyidsafari.

Monday, December 26, 2022

DAP kecam tindakan Zahid lantik wakil NGO jaga masyarakat India

agendaily.com
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baharu sehari Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan DAP kini sudah menerima UMNO selepas berada bersama-sama dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), Timbalan Perdana Menteri itu dikritik dan dikecam kerana membuat pelantikan di luar bidang kuasa dan portfolionya.

Hari ini (25 Disember 2022), seorang pemimpin kanan DAP mengecam tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana melantik seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ramesh Rao sebagai pegawai khasnya bagi menjaga hal ehwal masyarakat India di Malaysia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, walaupun tidak menyebut nama Ramesh, berpendapat Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia itu tidak layak memegang jawatan berkenaan.

Dalam kenyataan di Facebooknya petang tadi beliau berkata Zahid tidak boleh sewenang-wenangnya melantik seorang pemimpin NGO bagi menjaga hal ehwal kaum India, malah menyifatkan pelantikan itu satu penghinaan kepada kaum berkenaan.

“Bukan, seorang pemimpin NGO yang dilihat lebih mementingkan pemimpin UMNO sejak dari dahulu hingga sekarang,” kata Ramasamy sambil menegaskan hal ehwal kaum India bukannya terletak di bawah portfolio Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang mengingatkan mengenai penderitaan masyarakat India di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Beliau turut mempersoalkan apakah dengan pelantikan itu Zahid beranggapan dia akan berbeza kali ini dalam menangani masalah dihadapi masyarakat India.

“Saya tidak pasti sama ada pelantikan sebegitu adalah sesuatu yang pujian atau penghinaan terhadap kaum India di negara ini.

“Apabila BN secara keseluruhannya tidak dapat menyelesaikan masalah utama masyarakat India, bagaimana mungkin perlantikan seorang NGO yang kontroversi akan mengubah nasib masyarakat yang banyak berkorban untuk pembangunan negara.

“Zahid sendiri ketika pelantikannya berkata beliau akan menyalahkan pemimpin NGO itu jika gagal menangani isu kaum India. Jadi jelas sekali bahawa Zahid sedar sepenuhnya tentang kapasiti orang ini tentang apa yang dia boleh lakukan dan tidak.

“Ia hanya menunggu masa sebelum dia mengumumkan bahawa orang ini telah gagal untuk berkhidmat kepada masyarakat India dan oleh itu dia memecatnya,” katanya lagi.

Ramasamy melihat bahawa Zahid dapat membebaskan dirinya daripada kesalahan sekiranya pemimpin NGO terbabit gagal menangani isu masyarakat India pada masa depan.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri membenarkan Zahid membuat pengumuman dan keputusan tidak masuk akal itu.

“Nasihat saya kepada Zahid supaya beliau menumpukan perhatiannya kepada peranannya sebagai timbalan perdana menteri dan portfolio yang beliau pegang.

“Dia tidak seharusnya sesat dengan membuat pelantikan ad hoc yang bukan dalam bidang kuasanya. Saya ulangi bahawa pelantikan pemimpin NGO itu mungkin lebih mendatangkan mudarat daripada kebaikan kepada masyarakat India,” katanya.

Laporan media menyebut, Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila NGO yang diasaskannya kerap membuat laporan polis terhadap pihak yang mengkritik kerajaan.

Dia juga pernah menganjurkan sidang media untuk balu penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, A Santamil Selvi bagi memohon maaf kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Thursday, December 22, 2022

Harga telur import Gred C 50 sen sebiji, lebih mahal daripada Gred A tempatan

satuberita.my
By SatuBerita
-December 22, 2022
TELUR ayam yang diimport daripada India untuk memenuhi keperluan pengguna negara ini, dijual pada harga 50 sen sebiji, lebih mahal daripada telur Gred A, walaupun saiznya lebih kecil daripada Gred C tempatan.

Ketika ini, telur Gred C tempatan dijual pada harga 41 sen sebiji, manakala Gred A pula adalah 45 sen sebiji.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin, mengakui harga telur import itu lebih mahal, namun ia masih mendapat permintaan daripada pengguna.

“Walaupun saiz telur import itu lebih kecil daripada Gred C, manakala harganya lebih mahal daripada Gred A, namun sekurang-kurangnya kita ada bekalan itu terutamanya ia adalah sumber protein yang paling murah boleh didapati.

“Kebanyakan makanan di negara ini memerlukan telur, disebabkan itu ia tetap ada pembeli walaupun harganya sebegitu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian Online.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari untuk menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan selain bagi tujuan mengawal harganya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, import telur itu sudah bermula sejak 15 Disember lalu dengan permulaan kemasukan sebanyak 100,000 biji telur.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai telur ayam import yang diterima oleh pasar raya Mydin, Ameer berkata, ketika ini bekalan yang diperoleh mereka hanya cukup untuk dijual menerusi cawangan Subang Jaya.

“Telur ayam import itu sudah diterima dan setakat ini dianggarkan jumlah itu cukup untuk menampung bekalan antara dua hingga tiga hari di cawangan Subang Jaya.

“Minggu depan akan masuk lagi bekalannya dan akan diagihkan kepada semua cawangan Mydin di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ameer berharap selepas telur ayam kembali stabil, kerajaan membiarkan ia dijual pada harga pasaran, tidak meletakkannya di bawah harga kawalan.

Katanya, kerajaan tidak perlu takut dengan kenaikan harga telur ayam kerana mengikut perkiraan ia hanya akan meningkat sekitar lima hingga tujuh sen sahaja.

Malah katanya, tindakan itu juga dapat mengelakkan pembekal ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan kepada perkara lain.

“Kalau bekalan telur ayam pada pembekal tempatan ini sudah mencukupi, kita tidak perlu lagi import dari luar. Kita mahukan situasi menang-menang. Diharapkan selepas perayaan Krismas ini kerajaan tidak buat harga kawalan kepada telur.

“Setiap kali adanya kawalan harga sudah tentu terdapat ‘underground economy’ di sebaliknya. Mungkin kerajaan kini tidak tahu, walaupun ada harga kawalan ia akan disekalikan dengan ‘underground economy’.

“Ini bermakna harga barangan itu dijual lebih mahal, kalau harga kawalan menetapkan sebiji telur itu dijual dengan harga 45 sen sebiji, tetapi peniaga ini tidak akan mendapat bekalan dengan harga berkenaan,” katanya.

Ameer mendedahkan, hanya mereka yang sanggup bayar lebih sahaja akan menerima bekalan daripada pembekal.

“Walaupun dalam invois harga telur ayam ini akan kekal sama, namun pembekal bertindak ‘main harga’ dengan mengenakan caj tambahan pada pengangkutan atau caj pengendalian.

“Ini tidak betul, ia babitkan harga yang mahal namun dengan cara yang tidak telus, disebabkan kerajaan nak semua dibuat secara telus jadi kita cadangkan untuk tidak membuat harga kawalan selepas perayaan Krismas ini,” katanya.

Monday, June 13, 2022

India roboh kediaman pemimpin Islam yang bantah kes hina Nabi

ismaweb.net
zuhayati


India roboh kediaman pemimpin Islam yang bantah kes hina Nabi
Antaranya kediaman milik ahli politik, Javed Ahmed Khan

NEW DELHI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Pasukan keselamatan India meroboh beberapa kediaman milik ulama Islam yang terlibat dalam himpunan bantahan susulan kenyataan biadab dua ahli politik negara itu mengenai Nabi Muhammad ï·º.

Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adiyanath mengarahkan kerja-kerja meroboh terhadap kediaman individu yang terlibat dalam himpunan minggu lalu.

Dalam kejadian tragis itu, pemilik telah diberitahu supaya mengosongkan kediaman mereka sebelum kerja-kerja meroboh dilakukan.

Salah satu daripada rumah yang dirobohkan adalah milik ahli politik, Javed Ahmed Khan dan anak perempuannya Afreen Fatima yang merupakan aktivis hak asasi manusia Islam.

Selain itu, dua lagi kediaman turut diroboh kerana didakwa terlibat dalam himpunan selain membaling batu ke arah pasukan keselamatan.

Sementara itu penasihat media kepada Ketua Menteri negeri, Mrityunjay Kumar berkongsi beberapa gambar menunjukkan sebuah jentolak sedang merobohkan bangunan kediaman berkenaan.

Tindakan itu mendapat kecaman teruk, ramai yang mengutuk tindakan ia sebagai tidak bertanggungjawab.

Dua ahli politik India, Nupur Sharma dan Naveen Jindal didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah ï·º dalam debat televisyen serta atas komen di media sosial.

Susulan itu, himpunan besar-besaran diadakan di beberapa bandar di India termasuk New Delhi ketika umat Islam berarak sambil membawa sepanduk dengan melaungkan slogan bantah kerajaan serta menggesa Sharma ditahan segera.

Polis menahan kira-kira 300 penduduk yang terlibat dalam himpunan apabila berkumpul di luar masjid Jama di ibu kota lama dan melaungkan slogan menentang kerajaan parti BJP.

 – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Tuesday, May 17, 2022

'Saya Melayu': Mahathir ancam saman Zahid

malaysiakini.com
Diterbitkan: May 17, 2022

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad jarang mengugut hendak menyaman seseorang.

Bagaimanapun kali ini berbeza sama sekali.

Mahathir hari ini mengancam hendak menyaman presiden Umno Zahid Hamidi kerana mempertikaikan status kaumnya sebagai orang Melayu.

“Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” katanya sambil menyifatkannya kenyataan Zahid sebagai “memualkan”.

Mengaku mempunyai darah India, Mahathir menegaskan namanya dalam kad pengenalan menggunakan bin, bukan anak lelaki.

“Mengikut takrifan perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

“Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum merdeka dan kami semua beragama Islam.

“Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu,” katanya.

Zahid pada Julai 2017, ketika menjadi menteri dalam negeri, menunjukkan gambar didakwa salinan kad pengenalan Mahathir, yang menurutnya memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

A/L adalah singkatan kepada “anak lelaki” yang biasa diguna pakai sesetengah kaum, termasuk India. Kutty ialah nama dalam bahasa Tamil.

Nama Melayu menggunakan gelaran 'bin' atau 'binti', istilah Arab yang merujuk kepada anak lelaki atau anak perempuan.

Menyifatkan Zahid sebagai seorang pembohong tegar, ahli parlimen Langkawi itu erkata, tujuan Zahid berhubung kenyataan kad pengenalannya itu sewaktu kempen pilihan raya umum ke-14 hanya untuk memburukkan dirinya.

Zahid juga, kata Mahathir, menggambarkan seolah-olah dia menipu mengenai status bangsanya.

“Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

“Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.

“Ia bukan saja kerana ia merosakkan reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya,” katanya.

Friday, May 13, 2022

53 tahun berlalunya peristiwa berdarah 13 Mei

freemalaysiatoday.com
Mohsin Abdullah
-May 13, 2022 9:15 AM
Adakah rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup aman damai penuh harmoni? Jawapannya “ya”. Tontonlah iklan atau video yang terbit sempena hari perayaan masyarakat Malaysia. Tak kiralah Hari Raya, Tahun Baharu Cina mahupun Deepavali. Tengok juga pelbagai kisah yang disediakan untuk Hari Kebangsaan, khususnya yang dihasilkan Yasmin Ahmad dulu. Betapa harmoninya kita hidup rukun damai, bantu-membantu sesama rakyat.

Itu dalam wayang, bagaimana pula realiti? Sekali lagi jawapannya “ya”. Contohnya beberapa kejadian ketika tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang saya tahu secara langsung. Saya dilahirkan di wad bersalin Hospital Kuala Lumpur. Ketika peristiwa berdarah 13 Mei, saya di kampung saya – Kampung Baru – di mana peristiwa itu mula-mula tercetus. Masa itu saya berusia 14 tahun. Cukuplah saya katakan banyak yang saya lihat dan dengar. Ada yang mahu saya lupakan dan ada yang saya mahu ingat buat selamanya.


Antara kenangan yang ingin saya kongsikan dengan anda secara ringkas, bermula dengan kisah sepupu saya, Othman Omar yang pada 1969 bekerja sebagai pemandu untuk seorang tauke Cina yang kedainya di Jalan Raja Laut, berdekatan Chow Kit.

Pada petang kejadian, sekumpulan pemuda Cina bersenjatakan parang datang ke kedai dan mendesak tauke itu beritahu di mana “driver Melayu” beliau berada. Kita tahu mengapa mereka mahu “jumpa” pemandu itu.

Si tauke jawab, pemandunya sudah pulang sejak tengah hari lagi, padahal apabila beliau dengar cakap-cakap pergaduhan tercetus, beliau cepat-cepat menyembunyikan pemandunya di siling kedai. Daripada celah-celah siling asbestos itu, sepupu saya dapat lihat kumpulan bersenjata yang sedang menyoal taukenya.

Kumpulan pemuda Cina itu amat marah apabila diberitahu pemandu Melayu yang mereka kerap lihat sebelum ini bekerja untuk tauke itu sudah tidak ada di kedai. Mahu tidak mahu, mereka beredar dari kedai berkenaan. Othman hanya dapat keluar dari kedai itu beberapa hari kemudian, apabila taukenya berjaya menyerahkannya secara senyap kepada anggota tentera yang meronda.

Itu kisah di kawasan orang Cina di Chow Kit yang letaknya tidak jauh dari penempatan Melayu, Kampung Baru.

Di depan rumah saya pula, di Jalan Daud, jiran saya Pak Cik Rahim menyembunyikan dua tukang kayu Cina yang sejak pagi berada di rumahnya untuk melakukan kerja baik pulih. Sebaik pergaduhan tercetus kira-kira 6.30 petang itu, Pak Cik Rahim menyuruh dua pemuda Cina itu “duduk diam-diam” dalam biliknya supaya “tidak diapa-apakan” kumpulan pemuda Melayu berselendang merah bersenjatakan parang yang lalu-lalang di depan rumah. Mereka berdua diseludup keluar beberapa hari kemudian dan diserahkan kepada anggota Rejimen Askar Melayu Diraja yang mengawal Kampung Baru.

Mengapa Pak Cik Rahim dan tauke Cina sepupu saya berbuat demikian, walaupun sedar mereka berdepan bahaya jika dituduh “pengkhianat” terhadap bangsa sendiri kerana menyelamatkan “musuh”?

Hakikatnya, ketika kebencian orang Melayu-Cina memuncak, insan seperti tauke Cina dan Pak Cik Rahim tetap mementingkan perikemanusiaan dan sifat menyayangi sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Begitu juga kawan sekolah saya, Chang Kum Yun dan Teh Jit Siang, serta guru Tingkatan 2 saya, Rene Chang. Mereka duduk di kawasan Kampung Baru. Rumah mereka dibakar. Mujur mereka sempat melarikan diri ketika diserang.

Pun begitu, apabila sekolah dibuka semula beberapa bulan kemudian, Rene menjalankan tugasnya sebagai guru tanpa prejudis atau rasa benci terhadap pelajar Melayunya, termasuk saya, meskipun yang membakar rumahnya ialah orang Melayu.

Jit Siang dan Kum Yun akrab dengan saya hingga hari ini. Mereka juga tidak berdendam dengan orang Melayu kerana kata mereka, yang membakar rumah mereka ialah “kumpulan Melayu luar”, manakala jiran Melayu merekalah yang menolong mereka lari dari Kampung Baru.

Itu kisah lama yang menyentuh diri saya. Ini pula kisah baharu. Ramadan lalu, saya membaca laporan seorang wanita India yang memandu kereta ke rumah ibunya bersama anak perempuan terkandas di tengah-tengah jalan sesak dengan lalu lintas di Ampang.

Kereta yang dipandu itu tiba-tiba rosak. Beliau panik apabila kenderaan lain membunyikan hon, menyuruhnya jangan halang lalu lintas. Muncul seorang lelaki Melayu dari surau berhampiran bersama beberapa pemuda yang membantunya menolak kereta ke tepi jalan.

Mereka berusaha memanggil mekanik dan sebagainya. Azan berkumandang, namun mereka melengahkan berbuka puasa. Sebaliknya, mereka memberikan wanita itu dan anaknya minuman serta sedikit juadah, sementara bereskan usaha membantu sehingga wanita itu dapat meneruskan perjalanan.

Beberapa hari kemudian, wanita berkenaan menyumbang kepada tabung surau, di mana jemaahnya telah menolongnya tempoh hari sebagai penghargaan.

Saya lihat juga video seorang lelaki Cina berkongsi makanan yang dipesannya dengan penghantar makanan berbangsa Melayu ketika berbuka puasa. Sebenarnya banyak kisah seperti ini. Cerita benar yang menyentuh perasaan yang membuatkan kita bangga menjadi rakyat Malaysia.

Namun, ada juga di antara kita yang rasis, dan terus-menerus rasis. Ada orang Melayu benci orang Cina, benci orang India, malah benci semua orang bukan Melayu. Ada orang Cina dan India yang benci orang Melayu. Ada prejudis. Mengapa? Tidak perlu saya huraikan. Hakikatnya, wujud orang seperti ini dalam kalangan kita sejak sekian lama.

Lebih menyedihkan, ada pihak tertentu yang mengapi-apikan keadaan. Ada orang politik yang mencari jalan mudah untuk memenangi pilihan raya supaya dapat berkuasa dengan membakar sentimen perkauman. Apa jua isu dijadikannya isu ras. Malangnya, ada dalam kalangan kita yang telan bulat-bulat apa yang dijaja golongan rasis ini.

Benar kita tidak bersengketa sampai tercetusnya pertumpahan darah seperti apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Namun, tidak dapat dinafikan sifat prejudis dan benci-membenci antara kaum tertanam dalam jiwa kalangan rakyat. Tidak mungkin ini dapat dihapuskan sama sekali. Ini realitinya.

Bagaimanapun, yang mesti dipastikan, jangan dibiarkan sifat dan sikap benci ini membiak sehingga tidak dapat dikawal. Harapan kita ialah bilangan rakyat anti-rasis lebih ramai daripada bilangan sang rasis. Biar rasis jadi minoriti yang mengecil saban hari.

Hari ini, 13 Mei 2022. Saya tidak dapat elak daripada mengimbau apa yang berlaku 53 tahun lalu. Didoakan Tuhan memberkati mereka yang terkorban dan yang berkorban pada 13 Mei 1969.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Friday, November 5, 2021

Di mana keadilan, soal pakar ekonomi mengenai peruntukan bajet Bumiputera, bukan Bumiputera

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
-November 5, 2021 9:35 AM

Jumlah keseluruhan peruntukan untuk Bumiputera dalam bajet sejak tiga tahun lalu adalah kira-kira RM30 bilion, menurut Muhammed Abdul Khalid.
(Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi mempersoalkan sikap adil kerajaan dalam Bajet 2020 sambil menyatakan terdapat perbezaan besar dalam pengagihan antara komuniti Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Muhammed Abdul Khalid yang pernah menjadi Penasihat Ekonomi bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berkata komuniti Bumiputera mendapat peruntukan berjumlah RM11.4 bilion berbanding komuniti Cina dan India yang hanya mendapat kira-kira RM345 juta.

“Ini hanya 3% daripada apa yang Bumiputera dapat.

“Yang penting bagi saya, Bumiputera ramai orang Islam dan ini adalah konsep keadilan. Di mana keadilannya?

“Ya memang benar bahawa ramai Cina kaya tetapi ramai juga yang miskin. Adilkah kita?,” katanya dalam rancangan bual bicara bertajuk “Bajet 2022: Mampukah Rawat Ekonomi Melayu” anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), malam tadi.

Khalid juga berkata, jumlah keseluruhan peruntukan untuk Bumiputera dalam bajet sejak tiga tahun lalu adalah kira-kira RM30 bilion.

“Apa hasilnya, kita pun tidak tahu. RM30 bilion pergi mana? Bumiputera yang mana yang dibantu?”

Sebelum ini, bekas menteri Zaid Ibrahim berkata “senang” untuk menjadi Bumiputera apabila berbilion wang telah diperuntukkan untuk komuniti itu.

“Ini mesti menjadi satu-satunya negara yang mempunyai bajet mengikut kaum,” katanya dalam hantaran di Twitter selepas pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt.

Selain itu, Khalid turut membidas cadangan pelaksanaan Cukai Makmur yang mana pendapatan korporat melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 33% berbanding 24% sebelum ini.

Reaksi terhadap cukai itu berlaku dengan begitu cepat di Bursa Malaysia apabila jumlah permodalan pasaran syarikat tersenarai mencatatkan penurunan sebanyak RM33.8 bilion, manakala Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa mengakui pada Selasa lalu, ia mungkin disebabkan kebimbangan terhadap cukai berkenaan.

“Kita tidak pernah dengar (tentang cukai ini). Tiba-tiba (cukai) naik ke 33%. Kita mahu kutip RM3 bilion, pasaran jatuh RM33 bilion,” kata Khalid sambil menjelaskan penurunan itu turut menjejaskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Idea keseluruhannya ialah untuk mengutip cukai lebih besar daripada pengeluar sarung tangan yang menjana keuntungan empat hingga lima kali ganda berbanding sebelum ini (Covid-19) tetapi anda ingin sasarkan kepada semua.”

Katanya, masalah besar dengan cukai itu ialah pelaksanaan dasar yang mengejutkan dan ia menjejaskan keyakinan pasaran.

Beliau menegaskan ketelusan dalam pelaksanaan dasar dan sikap konsisten amat penting.

“Pasaran akan bertolak ansur dengan beberapa bentuk cukai tetapi bukan seperti ini. Konsepnya ialah cukai secara adil,” katanya.

Sunday, February 7, 2021

Ekonomi orang Melayu masih perlu dibantu – Dr. M

peraktoday.com.my
FEBRUARY 7, 2021


BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa ekonomi orang-orang Melayu masih perlu dibantu.

Menurutnya, orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di Malaysia masih merupakan kumpulan paling miskin berbanding lain-lain kaum di negara ini.

Jelas beliau, ketidak seimbangan pengagihan kekayaan antara lapisan masyarakat boleh menyebabkan keganasan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dalam wawancara portal berita FMT, apakah nasihat kepada kaum minoriti India dan Cina yang rasa diketepikan oleh cakap-cakap mengenai dominasi kaum dan agama secara berterusan dalam politik Malaysia hari ini.

Dr. Mahathir berkata, kaum bukan Melayu telah berjaya dari segi ekonomi. Malah kebanyakan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi datang dari kaum tersebut.

“Jadi perlu mengimbangi orang bukan Melayu dan Melayu. Seperti yang anda tahu, katakan negara ini hanya ada satu kaum, kalau perbezaan terlalu lebar antara golongan kaya dan miskin keadaan itu boleh menyebabkan keganasan. Seperti revolusi yang kita lihat di banyak negara.

“Jadi penting untuk kita mengimbanginya. Walaupun orang Melayu majoriti, mereka juga paling miskin. Kita perlu membantu mereka. Maka perlu ada keseimbangan dari segi pengagihan kemewahan antara komuniti berbeza ini,’ kata Dr. Mahathir.

Sebelum itu Dr. Mahathir ditanya pendapat beliau mengenai kesan terhadap naratif politik kaum dan dominiasi Melayu-Islam jika diulang secara melampau.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, naratif tersebut boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada negara.

“Tak boleh kerana ia akan membawa kepada ketidakstabilan, orang akan meninggalkan negara ini.
Kita perlu menerima hakikat negara ini sudah menjadi negara pelbagai kaum.

“Ya dengan dominasi Melayu, pada asalnya negara ini orang Melayu, tetapi sekarang kita sudah menerima sejak merdeka bahawa negara ini pelbagai kaum. Jadi kita perlu sebuah negara pelbagai kaum,” kata Dr. Mahathir.

Ketika ini ada pihak yang berasa senang dengan Kerajaan Perikatan Nasional yang ada kerana ia didominasi oleh tiga parti Melayu dan Islam iaitu Bersatu, Pas dan UMNO.

Ada pihak mendakwa pemimpin parti terbabit sering menguar-uarkan keperluan menggembeleng semua parti politik bawah PN untuk menjamin kelangsungan kaum Melayu dan memperkukuh kedudukan Islam.

-SM

Saturday, July 11, 2020

Chin Tong: Mereka yang mahu DAP hanya tumpu pada kubu Cina itu tolol


Senator dari DAP, Liew Chin Tong sekali menyatakan bahawa parti itu harus melangkaui kubu Cina dan menyelar mereka yang masih berkeras untuk memberi tumpuan hanya kepada satu demografi semata-mata.

“Saya beritahu ahli kita, setiap kali kolum akhbar atau sesiapa sahaja, dalam mahupun luar parti, yang memberitahu kita bahawa DAP hanya patut jaga 'kubu Cina', orang-orang ini sama ada tolol atau mempunyai niat jahat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Kata Liew, beliau menyampaikan perkara itu dalam sesi taklimat untuk ahli DAP yang dianjurkan Anggota Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dan Adun Bentayan Ng Yak Howe.

Katanya lagi, mereka bercakap kepada pemimpin-pemimpin akar umbi utama di situ mengenai keresahan tentang politik semasa.

Beliau turut memberi amaran terhadap usaha untuk menjadikan DAP hanya fokus kepada kubu-kubu Cina.

“Kita mesti sangat sedar akan niat daripada usaha seperti itu, dan tidak terikut-ikut dengan percaturan musuh kita.

“Tak ada ‘kerusi Cina’ seperti yang diperkatakan. Semua kerusi yang kita tandingi adalah kerusi pelbagai kaum.

“Semua kerusi parlimen yang ditandingi DAP di Johor mempunyai komposisi pelbagai kaum,” katanya.

Liew turut menyenaraikan kerusi parlimen DAP yang ditandingi di Johor, berserta komposisi kaumnya sekali:

Bakri: Cina 53.1 pera; Melayu 44.23 peratus; India 2.15 peratus

Labis: Cina 44.94 peratus; Melayu 37.98 peratus; India 14.68 peratus

Kluang: Cina 47.49 peratus; Melayu 41.63 peratus; India 9.38 peratus

Kulai: Cina 54.04 peratus; Melayu 34.96 peratus; India 10.24 peratus

Iskandar Puteri: Cina 49.79 peratus; Melayu 36.65 peratus; India 12.46 peratus

Ayer Hitam: Cina 37.97 peratus; Melayu 57.68 peratus; India 4.01 peratus

“Tak ada kerusi yang lebih 55 peratus pengundi Cina, manakala semua kerusi ini mempunyai pengundi Melayu (sekurang-kurangya) 35 peratus ke atas, dengan sesetengah pula mempunyai bilangan pengundi India yang sangat signifikan,” katanya.

Tegas Liew lagi, matlamat DAP sentiasa untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan latar belakang agama.

“DAP mesti melakukan semua yang ia mampu, untuk melindungi (rakyat) daripada mereka yang mahu mencetuskan perpecahan kaum,” katanya.

[Baca berita asal]

Saturday, May 30, 2020

Eksport minyak sawit naik selepas India sambung pembelian

Robin Augustin
-May 30, 2020 9:54 AM

India bersetuju membeli 200,000 tan minyak sawit dari Malaysia minggu lalu.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis minyak sawit meramalkan prospek untuk eksport minyak sawit negara ke India terus meningkat susulan laporan pengimport di negara Asia Selatan itu minggu lalu menandatangani perjanjian untuk membeli 200,000 tan komoditi itu.

Sathia Varqa yang berpangkalan di Singapura memberitahu FMT, pengeluar Malaysia akan mendapat manfaat besar memandangkan harga minyak sawit mentah kini mencecah RM2,300 setan.

Beliau mengaitkan penyambungan permintaan dari India itu kepada penukaran kerajaan di Malaysia 3 bulan lalu.

Pembelian India terjejas selepas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan New Delhi dalam beberapa isu, termasuk dasarnya ke atas Kashmir dan undang-undang kerakyatan penuh kontroversi.

Sathia berkata, harga minyak sawit mentah boleh mencecah RM2,400 setan, jika India dan China mengekalkan pembelian mereka.

“Ini dilihat mungkin berlaku ketika kedua-dua negara melonggarkan sekatan dan menyambung semula penyimpanan bekalan.

“Stok minyak makan India kini sangat rendah dan di tahap defisit selama 11 bulan berturut-turut dari tahun ke tahun.”

Awal minggu ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyuarakan keyakinan terhadap harga komoditi itu akan mencecah RM2,300 hingga RM2,400 setan dalam beberapa bulan akan datang hasil hubungan diplomatik lebih baik dengan India.

Sathia berkata, Malaysia mempunyai kelebihan berbanding Indonesia kerana eksport minyak sawit republik itu tertakluk kepada levi eksport yang meningkat sebanyak AS$5 kepada AS$55, manakala cukai eksport minyak sawit Malaysia akan dikurangkan daripada 4.5% sekarang kepada 0%.

Bagaimanapun, katanya, harga mungkin merosot pada suku terakhir tahun ini dengan pengeluaran memuncak dan stok bertambah.

Beliau berkata, rancangan kerajaan untuk menyambung semula program biodiesel B20 pada September ini, selepas membatalkannya akibat perintah kawalan pergerakan akan membantu permintaan untuk minyak sawit.

“Tetapi, sama ada ini boleh dilaksanakan ialah perkara lain disebabkan harga rendah minyak mentah dan harga tinggi minyak sawit, yang bermakna kos pengeluaran biodiesel adalah tinggi.”

Beliau menganggarkan dengan harga ketika ini, kerajaan akan perlu memberi subsidi kepada program biodiesel sebanyak AS$400 juta untuk menandingi harga diesel.

Jika masalahnya ialah mengekalkan permintaan, katanya, kerajaan perlu memilih perjanjian perdagangan dua hala, diskaun untuk pasaran membangun terpilih, mewujudkan mekanisme pembiayaan untuk menjadikan biodiesel lebih mampan dan mempromosikan penggunaan minyak sawit secara agresif.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-