Sunday, April 7, 2024

Kesederhanaan kunci Umno kembalikan sokongan rakyat, kata Zambry

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-07 Apr 2024

Zambry Abdul Kadir berkata Umno yang menaungi BN termasuk ketika menjadi kerajaan tidak pernah mengambil jalan politik ekstrem.

Zambry Abdul Kadir yakin pemimpin Umno dan BN tetap berpegang prinsip kesederhanaan sebagai asas perjuangan parti.

PUTRAJAYA: Prinsip kesederhanaan diperjuangkan Umno yang manfaatnya dirasai semua lapisan masyarakat harus ditekankan bagi membantu parti itu kembali meraih sokongan rakyat, kata seorang pemimpinnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Zambry Abdul Kadir berkata Umno yang menaungi kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama 41 tahun sehingga 2018, tidak pernah mengambil jalan politik ekstrem.

Beliau yang juga setiausaha agung BN berkata, walaupun diakui ada sebahagian kecil ahlinya menyuarakan sentimen seumpama itu, namun mereka akan kembali ke jalan pertengahan, sesuatu yang harus dibuktikan kepada rakyat.

“Tentunya ini cabaran dan saya melihat dengan gelombang kaum dan agama dimainkan hari ini, kita mempunyai cabaran meyakinkan rakyat.

“Tetapi saya yakin pimpinan BN dan Umno akhirnya tetap berpegang kepada asas perjuangan parti, tetap berada di garis pertengahan,” kata menteri pendidikan tinggi itu dalam temu bual dengan FMT.

“Kita kena kekal relevan dengan prinsip kita bawa untuk Malaysia selama ini…itulah prinsip kesederhanaan.”

Bekas menteri besar Perak itu mengulas bagaimana Umno boleh mengembalikan semula sokongan rakyat yang mula terjejas selepas BN hilang tampuk pemerintahan Putrajaya pada PRU 2018.

Pada PRU 2022, pengaruh BN terus merosot apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen namun menjadi sebahagian kerajaan perpaduan menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan dan beberapa parti lain.

Kekalahan di kebanyakan kerusi majoriti pengundi Melayu turut memberi kesan pada PRN Ogos tahun lalu, apabila Umno hanya menang 19 DUN di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, serta Terengganu.

Dalam mendepani isu kontroversi stoking kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart yang turut membabitkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, Zambry berkata, kedua-dua reaksi dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah, serta seruan orang ramai untuk menenangkan keadaan perlu ada.

“Kedua-dua reaksi itu perlu ada. Dan kalau kita ada pertimbangan ini, maka insyaAllah kita akan kembali semula kepada rasional kita,” katanya.

Zambry mengingatkan bahawa ahli Umno supaya tidak lupa kepada asas kesederhanaannya.

“Jangan kita lupa kedudukan kita sebagai parti berteraskan prinsip kesederhanaan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-