Friday, August 30, 2024

PM 'pekena' nasi kandar gulai ikan sebelum Solat Jumaat

hmetro.com.my
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada program Ramah Mesra Bersama Masyarakat di Warung Nasi Kandar Masjid Kubang Semang. FOTO DANIAL SAAD

Permatang Pauh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati juadah nasi kandar gulai ikan bersama orang ramai di Kedai Tok Simpang Tiga di sebelah Masjid Kubang Semang di sini, sebelum menunaikan solat Jumaat.

Anwar mengenakan baju Melayu warna biru muda tiba di kedai berkenaan pada 12.40 tengah hari dengan disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan kemudiannya dilihat menyantuni orang ramai sebelum menikmati juadah yang disediakan.

Menurut pekerja kedai berkenaan, Mohd Nazri Abdul Rahman memaklumkan mereka memasak beberapa menu untuk dihidangkan secara percuma kepada 250 pelanggan yang turut menjamu selera dengan Perdana Menteri.

"Juadah yang mereka minta antaranya gulai ikan dan ayam goreng termasuk beberapa lagi menu yang kami mula masak sejak pagi tadi.

"Kami gembira semua orang gembira menikmati juadah yang kami sediakan apatah lagi dengan kehadiran Perdana Menteri," katanya di sini, hari ini.

Selain juadah nasi kandar di kedai terbabit, orang ramai turut beratur mendapatkan juadah nasi kandar bergerak yang diberikan secara percuma.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, Perak.

Beliau turut meluangkan masa mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) dan Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Disiarkan pada: Ogos 30, 2024 @ 3:02pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-