Friday, August 30, 2024

Laporan polis penyalahgunaan peruntukan kerajaan hari ini

harakahdaily.net
August 30, 2024
Meor Naqiuddin (tengah) dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari ini, 30 Ogos 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

KUALA LUMPUR: “Kerajaan secara jelas cuba menyalahgunakan peruntukan kewangan untuk diberikan kepada Skuad Sabil Umno.

”Setiausaha Kerja Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin Shamsudin berkata, Skuad Sabil Umno merupakan organ politik Umno dan bukannya sebahagian daripada anggota penguatkuasaan kerajaan.

“Jadi, mengapa kerajaan perlu memberikan peruntukan kewangannya kepada skuad tersebut sedangkan mereka bukannya anggota kerajaan?

“Perkara ini saya lihat sendiri dalam satu rakaman ucapan yang tular di media sosial oleh Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai elaun Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang akan diberikan kepada squad tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang Media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) Zahin Zainal.

Menurut Meor lagi, Skuad Sabil juga tidak mempunyai kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah akta seperti badan unit beruniform kerajaan lain.

Tambah beliau, mereka bukannya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kita harus faham kerajaan membayar kesemua unit beruniform ini melalui cukai-cukai yang rakyat bayar.

“Mengapa nak gunakan duit kita sebagai rakyat untuk membayar Squad Sabil sedangkan mereka hanyalah komponen parti politik Umno semata-mata?

“Ini merupakan sesuatu yang amat jelas berlakunya penyalahgunaan wang rakyat oleh pihak kerajaan itu sendiri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Meor menyatakan Squad Sabil seharusnya dibiayai oleh parti Umno itu sendiri dan bukannya dengan wang kerajaan.

Kata beliau lagi, ini kerana mereka hanya mengendalikan kerja-kerja melibatkan parti Umno sahaja dan bukannya kerajaan persekutuan khas.

“Oleh yang demikian, saya percaya pengumuman tular yang dibuat oleh TPM1 merupakan salah di sisi undang-undang dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

“Maka, saya mengharapkan supaya PDRM membuat siasatan secara terperinci mengenai perkara ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-