Monday, August 19, 2024

"Ucapan saya di Nenggiri adalah fakta, tiada maksud hina raja' - Muhyiddin

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
- Ogos 19, 2024 @ 4:37pm
Gambar fail - Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempertahankan ucapan beliau ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini, sebagai fakta dan tidak bermaksud menghina institusi raja atau kecenderungan menghasut.

Muhyiddin percaya kenyataannya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

"Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.

"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh akan dipanggil memberi keterangan esok, berhubung ucapan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

Razarudin berkata, setakat semalam, polis menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Hasanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Muhyiddin.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-