Oleh KOSMO!
19 Ogos 2024, 12:11 pm
Mohd. Puad (kiri), Muhyiddin (kanan)
PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan Muhyiddin mengheret nama Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah keterlaluan.
“Kini ada 28 aduan polis dibuat terhadapnya. Muhyiddin wajib mohon maaf secara terbuka terlebih dahulu. Sepatutnya dia disiasat segera. Tindakan tegas mesti diambil terhadap Muhyiddin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mohd. Puad mendakwa, rakaman video yang tular membabitkan perkara itu mengandungi tuduhan yang serius seolah-olah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 tidak adil.
Dakwa beliau, ucapan Muhyiddin ‘Tetapi entah macam mana YDP Agong waktu itu tidak ajak jemput saya ke istana untuk angkat sumpah’ sebagai berbaur hasutan.
“Apatah lagi ia dibuat secara terbuka dan dalam kempen politik. Lima hari sudah berlalu. Muhyiddin membisu dan tidak mohon ampun. Sesuaikah dia jadi PM semula?,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin.
Muhyiddin secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum)
Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.
– KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.