Wednesday, September 18, 2024

'Ahli Parlimen yang waras tak akan terima MoU' - Takiyuddin

bharian.com.my
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@nstp.com.my
- September 18, 2024 @ 3:01pm
Takiyuddin pada sidang media di Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang dibuat oleh satu pihak iaitu kerajaan semata-mata tanpa ada sebarang perbincangan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata draf MoU terbabit sepatutnya dibuat berdasarkan perbincangan di antara PN dan kerajaan, bukannya satu pihak semata-mata.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kena dari segi amalan undang-undang, mana-mana pihak yang mahu membuat MoU atau perjanjian, kedua-dua pihak perlu berbincang dan menerusi perbincangan itulah terhasilnya MoU.

"Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana tiada perbincangan langsung dibuat antara kerajaan dan PN sedangkan Perdana Menteri sebelum ini meminta perbincangan dibuat di antara PN dan kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Malah saya sendiri sudah tiga kali dipertanggungjawab berjumpa dengan Datuk Seri Fadillah, namun tiada juga sebarang perbincangan dibuat sebelum draf MoU diberikan kepada PN yang diterima pada 6 Ogos lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat PAS Kota Bharu, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Sehari selepas penolakan PN itu, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.

Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

Pada masa sama, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS turut menyifatkan draf MoU yang dikemukakan itu berat sebelah dan tidak memberi kebebasan selain bercanggah dengan perlembagaan.

"Ahli Parlimen yang waras memang tidak akan menerima MoU yang dibuat itu, jika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang pun kita yakin mereka tidak akan menerima kandungan MoU ini

"Atas dasar ini kami menolak draf MoU ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-