Diterbitkan: Sep 13, 2024 1:13 PM
Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini tampil mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dikecam dan didesak supaya meletakkan jawatan semasa mesyuarat Muktamar Pemuda PAS di Kerdau, Temerloh semalam.
Bagi, Razlan Rafii, usul yang diluluskan oleh Pemuda PAS yang mahu Anwar berundur umpama "jantan tak cukup sifat".
Katanya, Pemuda PAS ibarat pendekar yang gemar "memukul curi" dalam beradu kekuatan dan hanya ingin menang secara percuma.
"Jika sifat seorang pemuda gagah berpencak silat, atur langkahnya pasti garang seperti seorang panglima tanpa ada gerakan 'sumbang' menanti lawan menyerang.
"Tetapi pemuda (PAS) yang satu ini pun teringin beradu kekuatan malangnya gemar memukul curi dari belakang tatkala lawannya sibuk mempersembahkan gerak 'bunga'. Pemuda jenis nak menang percuma tanpa berjuang lebih ini memang wujud dalam masyarakat kita hari ini.
"Jika berucap di hadapan pentas, habis semua ayat pendekar tujuh lapis langit diucapkan beserta dalil turut dipetiknya umpama jika dihimpunkan satu kampung boleh ditewaskan. Tetapi apabila turun ke gelanggang, hilang semua langkah silat dan bunyi jantannya.
"Hanya cacian serta makian dihamburkan berulang kali sambil batu-batu kecil dijadikan senjatanya dilempar ke arah lawan tanpa ada pertembungan sentuhan fizikal. Begitulah jantan tak cukup sifat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Pemuda PAS meluluskan usul bagi mendesak Anwar meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.
Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.
Jelasnya, sudah cukup tempoh selama dua tahun diberikan kepada kepimpinan Anwar untuk melaksanakan dasar dan janji yang selama ini mereka laungkan.
“Namun, setakat ini satu persatu janji manis dilanggar. Bukan itu sahaja, kepimpinan PMX (perdana menteri ke-10) tidak pernah cuba menjadi kerajaan yang matang dan bertanggungjawab dalam mentadbir.
“Sikap kepura-puraan dalam mentadbir serta keengganan mengambil tanggungjawab terhadap masalah ekonomi dihadapi negara menyebabkan rakyat makin meluat dengan pentadbiran PMX,” katanya pada sesi pembentangan usul Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, semalam.
Mengulas lanjut, Razlan berkata Pemuda PAS tidak perlu membuat gesaan sebulat suara menuntut Anwar meletakkan jawatan kerana empat sebab yang dibentangkan semalam hanyalah bersifat politik.
"Yakinlah bahawasanya PMX bersama jemaah menteri sedang melaksanakan amanah dan tanggungjawab memacu negara ke satu keadaan ekonomi yang lebih stabil dan lebih berdaya saing.
"Pemuda PAS wajar renung dan ingat kembali ketika zaman pemerintahan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, kepimpinan ketika itu yang turut dianggotai PAS amat caca marba, Dewan Rakyat diisytiharkan darurat politik, tidak dibenarkan bersidang mahupun meluluskan sebarang peruntukan tertentu ketika pandemik Covid-19.
"Ditambah lagi dengan nasib rakyat ibarat telur di hujung tanduk. Namun berkat usaha pelbagai gerakan bersama daripada rakyat di bawah telah 'menyelamatkan' mereka yang mengibarkan kain putih di kediaman ketika itu berjaya mewujudkan suasana kita jaga kita," katanya.
Tambahnya kerajaan pada masa itu wujud, namun hanya boleh dilihat melalui kaca televisyen sambil mengumumkan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan terhadap rakyat.
"Di mana suara PAS ketika itu terutamanya Pemuda Pas?
"Kami faham sekiranya Pemuda PAS terlalu walak dan tidak mahu bersuara disebabkan hal tertentu sehingga nyawa rakyat menjadi taruhan kerana bantuan disampaikan untuk yang terpilih.
"Ibarat ayam betina cuba berkokok di dalam reban sendiri, anak-anak ayam juga turut cuba ikut berkokok tapi lain bunyinya.
“Seharusnya hari ini, pemimpin PAS semakin menunjukkan sifat matang mereka memimpin anak-anak muda di dalam parti mereka," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.