Showing posts with label Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Show all posts

Tuesday, March 18, 2025

PM gesa imarah masjid, suburkan kegiatan ilmiah

bharian.com.my
Oleh Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
 - Mac 18, 2025 @ 7:08pm
Anwar menandatangani plak simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai. - Foto NSTP/Danial Saad

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya umat Islam mengimarahkan masjid dengan menyuburkan kegiatan ilmiah yang dapat menarik semua golongan terutama wanita dan anak muda.

Perdana Menteri Anwar berkata, Islam amat menekankan penguasaan ilmu agama khususnya Al-Quran yang akan memberikan kebijaksanaan serta keupayaan kepada masyarakat untuk menilai perkara baik dan buruk, sekali gus mengelak perpecahan mahupun perbalahan dalam kalangan manusia.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan masjid disaran untuk memperbanyakkan lagi program dan kelas pengajian yang mampu menarik minat masyarakat.

"Ramadan ini, kesempatan kita untuk menyempurnakan ibadah dengan niat yang jelas dan memperbanyakkan amal (termasuk) menguasai Al-Quran dan cuba memahami serta menghayatinya.

"Ini kerana jika Al-Quran ini difahami dan berada di hati ia akan menjadi petunjuk kepada manusia, memberikan kekuatan untuk membuat penilaian dan pencerahan kepada umat.

"Pengetahuan adalah dengan menguasai ilmu yang mana dengan menguasai ilmu, akan ada kebijaksanaan, hikmah dan rahmah yang sebab itu institusi masjid perlu disuburkan dengan kegiatan keagamaan bukan sahaja pada bulan Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Anwar meluluskan peruntukan RM100,000 untuk digunakan pihak pengurusan masjid berkenaan untuk melaksanakan program mengimarahkan masjid antaranya kebajikan anak kariah.

Untuk rekod, Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk kawasan berkenaan pada tahun 1979 dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.

Mengulas lanjur, Anwar berkata, menerusi penguasaan ilmu agama juga dapat dijadikan sebagai benteng untuk melawan kejahatan yang memporak perandakan hubungan masyarakat.

"Ini yang berlaku dalam polemik negara. Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan bukan platform untuk menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Jangan gunakan Islam itu hanya untuk porak-peranda, menyerang. Bagi dia (orang yang tidak tahu) kefahaman. Apapun sebelum buat keputusan kena ada kefahaman.

"Nak berbeza pendapat boleh tak perlu cerca dan maki hamun serta tak perlu untuk menidakkan orang. Kena ada perbezaan pendapat tapi tidak cepat menghukum," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata umat Islam juga diminta untuk mempertahankan institusi zakat dalam memastikan nasib dan kepentingan orang miskin terbela.

"Islam membela rakyat miskin melalui zakat dan atas sebab itu jangan ada pecah belah yang boleh menghancurkan institusi zakat," katanya.

ULASAN | Bailout Sapura: Bukti kasih Madani kepada maha kaya

malaysiakini.com
Amira Aisya Abd Aziz
Diterbitkan: Mar 18, 2025 2:00 PM
Kerajaan Madani sering kali menyebut golongan “maha kaya” sebagai golongan yang perlu dimusuhi marhaen. Golongan maha kaya ini digambarkan sebagai kelompok yang mengambil hak ekonomi marhaen untuk membiayai gaya hidup mewah golongan elit.

Siapakah maha kaya ini tidak pernah ditakrifkan secara jelas, meskipun ramai dalam kalangan barisan kabinet Madani sendiri memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit.

Konsep maha kaya ini mencipta naratif “kita lawan mereka” dalam perbincangan pengelasan sosial dan struktur ekonomi negara. Kita boleh melihat permainan naratif ini dalam isu penarikan subsidi minyak, di mana golongan maha kaya dikatakan banyak mendapat manfaat yang tidak sepatutnya. Muda bersetuju bahawa mereka yang berpendapatan tinggi tidak wajar mendapat subsidi kerajaan.

Namun apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada syarikat minyak dan gas Sapura Energy Berhad, ramai yang mempersoalkan rasional mengapa maha kaya seperti ini berhak menerima dana besar daripada wang rakyat.

Bukan pertama kali

Perlu diketahui bahawa ini bukan kali pertama Sapura Energy diselamatkan dengan wang rakyat. Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebuah syarikat pelaburan amanah Bumiputera, kini terpaksa menanggung kerugian besar selepas harga saham Sapura Energy jatuh kepada 5 sen setelah RM2.68 bilion dilabur untuk membeli hak boleh pindah saham pada harga 30 sen setiap satu.

Walaupun Sapura Energy berdepan tempoh kerugian dan ketidakcekapan operasi, pemilik serta bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Shamsuddin, masih menerima imbuhan tahunan purata antara RM71.9 juta hingga RM89.4 juta.
Dari tahun 2013 hingga 2021, Shahril telah meraih pendapatan sebanyak RM443.9 juta, iaitu sejumlah kekayaan yang amat sesuai dengan definisi maha kaya itu sendiri. Hampir setengah bilion ringgit digunakan hanya untuk membayar pendapatan yang tidak selari dengan prestasi pemilik syarikat.

Tidak ada ketelusan

Kerajaan Madani mendakwa bahawa tanpa suntikan dana RM1.1 bilion ini, sebanyak 2,000 vendor Bumiputera tidak akan menerima pembayaran, sekali gus memberi kesan buruk kepada pekerja Bumiputera.

Adakah kerajaan Madani akan membentangkan senarai vendor yang akan menerima suntikan dana ini kepada umum? Saya fikir tidak. Jauh sekali mahu bahaskan keperluan bailout ini di dalam Dewan Rakyat.

Apa yang jelas, sekurang-kurangnya tiga daripada vendor ini mempunyai kaitan langsung dengan keluarga maha kaya tersebut, iaitu Sapura Holdings Bhd, Sapura Resources Bhd dan Sapura Mines Property. Sinonim sekali dengan “masuk poket kiri, keluar poket kanan”.

Risiko tinggi wang rakyat

Ada pihak yang cuba mempertahankan suntikan RM1.1 bilion ini dengan mendakwa ia bukan "bailout" tetapi hanya pinjaman. Namun, ingin saya tegaskan di sini, pinjaman kepada golongan maha kaya ini hanya dikenakan faedah sebanyak 2 peratus setahun, sedangkan ramai usahawan mikro, kecil dan sederhana bukan sahaja tidak diberi peluang mendapat geran perniagaan, tetapi turut perlu membayar faedah yang jauh lebih tinggi mengikut kadar pasaran.
Lebih membimbangkan, suntikan RM1.1 bilion ini tidak menjamin bahawa Sapura Energy akan dapat pulih daripada kemelut kewangan yang sedang dihadapinya. Setakat ini, Sapura Energy masih mempunyai baki hutang sebanyak RM10.8 bilion.

Kerajaan juga menanggung risiko “opportunity cost” lagi apabila pulangan nilai sukuk kerajaan Malaysia itu sahaja sudah boleh memberikan pulangan setinggi 3.8 peratus setahun. Jelas sebenarnya bahawa pinjaman ini diberikan tanpa mengambil kira kemaslahatan rakyat, tetapi sekadar untuk menyelamatkan golongan maha kaya.

Masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia tidak lagi menanggung kegagalan golongan maha kaya, lebih-lebih lagi apabila pelaburan sebanyak RM4 bilion oleh PNB sebelum ini masih belum memberikan sebarang pulangan kepada golongan Bumiputera khususnya.

Saya tidak setuju apabila Perdana Menteri katakan bahawa Sapura Energy ini adalah satu-satunya pemain tempatan dalam industri ini, apabila ada lagi syarikat minyak dan gas tempatan lain yang jelas lebih baik pengurusannya seperti Bumi Armada dan Yinson Holdings.

Maka, penyokong kerajaan juga tidak perlulah membantah apabila ada rakyat Malaysia yang membuat kira-kira wang RM1.1 bilion ini kalau digunakan untuk menambahbaik infrastruktur awam atau memberi gaji yang lebih bermaruah kepada petugas kesihatan daripada memberi nyawa kepada syarikat bermasalah.

Memetik kata-kata George Orwell dalam Politik Kandang, "semua haiwan itu sama, namun ada yang lebih sama berbanding yang lain". Begitu jugalah situasinya dalam pentadbiran Madani. Walaupun suara golongan marhaen sering dilaungkan, namun hakikatnya golongan maha kaya jugalah yang sentiasa diberi keutamaan dalam dasar-dasar ekonomi Madani.

AMIRA AISYA Abd Aziz ialah pemangku Presiden Muda dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sunday, March 16, 2025

Guan Eng ingatkan Anwar: DAP rakan setia tapi bukan 'yes-man'

malaysiakini.com
Zarrah Morden & Cha Zhi Ting
Diterbitkan: Mar 16, 2025 11:12 AM
Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mengingatkan bahawa parti itu tidak akan menjadi yes-man atau pak turut meskipun merupakan ‘rakan setia’ kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 hari ini, Lim mengetuai seramai 4,203 perwakilan dan pemimpin parti itu bangun dan memberikan tepukan kepada Anwar yang hadir buat pertama kali atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

"DAP adalah rakan yang setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah pun dibuktikan sejak Lim Kit Siang menjadi setiausaha agung hingga sekarang Anthony Loke, kita tidak berbelah bagi menyokong Datuk Seri Anwar ibrahim.

"DAP rasa bangga bahawa kita boleh bantu sama Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri dan kita akan terus memberikan sokongan sedemikian.

"Marilah kita bangun untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan beliau.

"Namun biar saya tegaskan bahawa DAP bukan parti yes-man. DAP hanyalah yes-man kepada pengundi kita dan rakyat Malaysia," tegas Lim pada kongres yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideas, Shah Alam.

[Berita penuh menyusul]

SURAT | URA: Anwar Ibrahim perlu henti retorik politik bantu Melayu

malaysiakini.com
Mohamad Shafiq Abdul Halim
Diterbitkan: Mar 16, 2025 10:17 AM
Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) berpotensi memberi kesan negatif yang signifikan kepada pemilik hartanah di bandar, merentasi semua golongan masyarakat.

Retorik politik yang cuba membataskan skop RUU ini kepada membantu golongan miskin bandar, khususnya Melayu, adalah tidak tepat dan mengelirukan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu berhenti menyembunyikan risiko sebenar dan bercakap benar kepada rakyat.

Cadangan penurunan ambang persetujuan untuk pembangunan semula (80 peratus untuk bangunan kurang 30 tahun, 75 peratus untuk lebih 30 tahun, dan 51 peratus untuk bangunan terbiar) boleh membuka ruang kepada jualan paksa dan pemindahan komuniti, di mana pemilik minoriti boleh dipaksa menjual hartanah mereka walaupun tidak bersetuju. Ini amat membimbangkan bagi pemilik di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana.

Kejelasan dan keadilan pampasan yang akan diberikan kepada pemilik yang terjejas masih samar. Rakyat berhak mengetahui bagaimana nilai pasaran akan ditentukan, sama ada mereka akan menerima unit penggantian yang setara, dan pampasan untuk kos pemindahan serta gangguan emosi.

Wujudnya potensi besar untuk opportunisme pemaju dan kurangnya ketelusan dalam pelaksanaan projek di bawah RUU PSB. Penubuhan jawatankuasa kerajaan untuk meneliti projek adalah langkah yang baik, tetapi keberkesanannya bergantung pada kebebasan dan ketelusan mereka. Ketiadaan kriteria pemilihan pemaju yang jelas juga menimbulkan kebimbangan.

RUU PSB berisiko menyebabkan peningkatan kos sara hidup (yuran penyelenggaraan, cukai, dan lain-lain) yang tidak mampu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang boleh mengakibatkan pemindahan mereka dari kawasan bandar.
Terdapat potensi konflik antara RUU PSB dan undang-undang sedia ada seperti Akta Hakmilik Strata 1985 yang memerlukan persetujuan 100 peratus daripada semua pemilik, serta keperluan untuk memastikan ia selaras dengan hak perlembagaan untuk memiliki harta serta undang-undang lain berkaitan.

Harus diingatkan juga adalah bahawa RUU PSB ini bukan hanya terpakai kepada pemilik di kawasan PPR atau setinggan. Undang-undang ini juga berpotensi untuk digunakan kepada semua jenis pemilik hartanah di kawasan bandar pada masa akan datang, termasuk pemilik apartment, kondominium, dan premis komersial. Ini bermakna, tanpa penelitian dan perincian yang teliti, pemilik hartanah dari pelbagai latar belakang boleh terjejas oleh pelaksanaan RUU ini.

Saya menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk berhenti menggunakan retorik politik yang mengabaikan potensi keburukan RUU PSB. Beliau perlu mengakui dan menangani kebimbangan yang sah ini secara terbuka dan telus. Rakyat berhak mengetahui kebenaran sepenuhnya mengenai implikasi undang-undang ini terhadap hak milik dan kehidupan mereka.

MOHAMAD SHAFIQ ABDUL HALIM ialah Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Hulu Langat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Saturday, March 8, 2025

PAS senada Anwar gesa hindari ‘tunggang agama’ demi kepentingan peribadi

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-08 Mar 2025, 11:15 AM

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin parti tidak kira kaum supaya tidak menunggang isu agama bagi meraih kepentingan politik.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum di Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS senada dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menghindari tindakan mempergunakan isu agama dan kaum demi kepentingan peribadi kerana boleh merosakkan hubungan rakyat berbilang kaum.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara keharmonian dan hubungan baik antara kaum dalam negara.

“PAS juga mengalu-alukan pendirian kerajaan berhubung kedudukan Islam sebagai agama persekutuan yang mesti dimartabatkan, selain keperluan semua pihak ‘tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum’ berkait agama serta kaum.

“Penegasan ini selari dengan dasar PAS sejak sekian lama berhubung kepentingan dan keutamaan sikap saling menghormati, memahami, menghargai sebagai identiti teras masyarakat Malaysia yang berbilang kaum serta agama,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar memberi amaran kepada pemimpin parti tidak kira kaum supaya tidak menunggang isu agama bagi meraih kepentingan politik.

Katanya, kerajaan tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak cuba memainkan polemik 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang dikhuatiri akan menggugat perpaduan rakyat.

Polemik terbaharu tercetus apabila pendakwah bebas, Zamri Vinoth menyifatkan penganut Hindu yang membawa kavadi seperti “orang kena rasuk sambil mabuk todi” dalam catatan Facebook.

Beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Ahli Parlimen dari DAP Ramkarpal Singh dan RSN Rayer membidas kenyataan Zamri. Saravanan turut menggesa tindakan segera diambil bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Takiyuddin berkata kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas, adil dan segera hanya akan mengundang respons buruk daripada kelompok terkesan.

Justeru, katanya PAS mengulangi gesaan supaya kerajaan tegas dalam mengawal dan mengurus tindak-tanduk anggotanya sendiri yang dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

“PAS percaya kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.

“Tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk sedia ada serta suasana tidak harmoni yang terbentuk akan menjadi tanah subur kepada pihak-pihak berkepentingan menabur angin yang berpotensi menjadi badai lebih ganas.”

Thursday, March 6, 2025

Wujud usaha jahat tanam persepsi k'jaan diam Islam dihina - PMO

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 6, 2025 4:50 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada isu-isu semasa yang melibatkan penghinaan agama untuk membangkitkan lagi sentimen perkauman atau menabur benih kebencian.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar sedar "wujud usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan yang cuba menanam persepsi "double standard" (dua darjat) dalam mengambil tindakan" terhadap kes-kes tertentu.

"Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali. Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa," menurut kenyataan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tunku Nashrul (gambar bawah) menegaskan tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah "fitnah dan tidak berasas."
Dia memetik beberapa kes penghinaan agama yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum:

Apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000;

Seorang lelaki persenda perkataan "Allah" didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan;

Peniaga jagung bakar letak notis perkauman, didenda RM400;

Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000.

Hentikan hina agama, kaum

Tuduhan dan persepsi kononnya Kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas.

"Kesemua tindakan tersebut adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara," katanya.

Tunku Nashrul berkata tindakan berkenaan mesej yang tegas buat semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya dan kaum di mana-mana ruang di Malaysia.

"Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik," kata taklimat harian PMO lagi.

Thursday, February 27, 2025

Anwar menghadap Sultan Kedah, sembah maklum pembangunan negeri

kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
27 Februari 2025
Anwar menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah hari ini.

Anwar dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, beliau berkesempatan menyembah maklum kepada Sultan Kedah mengenai pembangunan negara dan negeri itu, selain menyentuh soal kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

“Usai sesi menghadap, saya menyertai Baginda Tuanku dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, untuk santapan tengah hari.

“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam keadaan ‘afiyah dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku,” katanya di sini hari ini.

 – KOSMO! ONLINE

Kerajaan umum RM5.376 bilion untuk tingkatkan hasil padi negara

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
- Februari 27, 2025 @ 7:11pm
Anwar meninjau petak sawah padi yang baru di tuai pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastrukur Bagi Menyokong Program Penanamam Padi Lima Musim Dua Tahun di Kampung PIDA 4 . - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir

JERLUN: Kerajaan mengumumkan peruntukan RM5.376 bilion bagi meningkatkan produktiviti hasil padi negara termasuk membangunkan infrastruktur menyokong penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan Muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata projek itu akan dibangunkan secara berfasa dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion bermula tahun ini, seperti yang diumumkan pada Belanjawan MADANI tahun lalu.

"Kita buat projek ini secara keseluruhan RM5 bilion, kita segerakan fasa pertama dan perlu yakinkan pesawah boleh dilakukan.

"Kerajaan perlu amanah dalam melaksanakan tugas. Apabila saya bersara nanti, semua usaha ini mestilah terus dijalankan.

"Kita tidak boleh mengabaikan kebajikan pesawah kerana mereka adalah tulang belakang kepada sektor makanan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluncurkan Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Muda di Kampung Pida 4, Ayer Hitam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata antara cadangan utama bagi pembangunan projek itu ialah membangunkan prasarana pengairan, termasuk menaik taraf sistem tali air dan Empangan Pedu yang mempunyai kepentingan besar.

Katanya, kerajaan terpaksa mendapatkan kepakaran dari negara yang mahir dalam sistem peparitan dan tebatan banjir.

"Kita terpaksa mendapatkan kepakaran dari Belanda, salah satu negara paling mahir dalam sistem perparitan dan tebatan banjir.

"Perbelanjaan untuk ini perlu disegerakan bagi memastikan pengairan sawah padi lebih terjamin. Kita telah merangka satu pelan jangka panjang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1 bilion untuk fasa pertama projek ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, peruntukan RM1 bilion untuk satu kawasan bukan jumlah yang kecil dan hal ini tidak boleh diremehkan.

"Seperti juga masalah tebatan banjir jika tidak diselesaikan, ia bukan sahaja merosakkan tanaman tetapi juga menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Wednesday, February 26, 2025

“Saya bukan pergi berjalan, main golf tapi cari pelaburan untuk negara” – Anwar

suara.tv
ByJanatul Firdaus Yaacob
26/02/2025

HANOI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang menasihati beliau supaya “jangan berjalan banyak sangat”, yang disifatkan beliau sebagai tidak mengetahui kerja keras dilakukannya dalam mencari pelaburan untuk negara.

Beliau berkata sebagai sebuah negara dagang, Malaysia memerlukan pelaburan kerana tanpa pelaburan negara tidak boleh menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan atau mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan rakyatnya.

“Pelaburan membantu memesatkan pembangunan (negara). Soalnya apakah saya perlu terus berkunjung ke luar negara? Ada yang tegur, ‘kita jangan berjalan banyak sangat’. Dia tak tahu kita datang malam, tak sampai hotel terus ada dua pertemuan kemudian sambung lagi, duta tambah pre-council hingga tengah malam.

“Kemudian pagi-pagi, 7 pagi sudah ada mesyuarat dua hala. Itu tugas kita sampai sekarang dan terus balik bekerja.

“Saya tak ambil satu hari pun untuk bermain golf,” kata beliau kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam dan dihadiri Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Ucaptama Perdana Menteri pada forum itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja dua hari beliau ke Vietnam, yang merupakan kali pertama sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, lapor Bernama di Hanoi.

Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi pada 7.10 malam tadi.

Sebaik tiba di Hanoi, Perdana Menteri terus mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di ibu pejabat parti berkenaan dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit berbincang tentang pelbagai perkara melibatkan kepentingan dua hala.

Selepas itu, Anwar bergegas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta dan meluangkan masa kira-kira satu jam bersama pemimpin itu berbincang tentang isu dua hala Malaysia dan Timor-Leste.

Selepas kunjungan hormat terhadap Ramos-Horta, Perdana Menteri menghabiskan masa pula mempengerusikan mesyuarat pre-council dengan delegasi Malaysia yang turut sama dalam lawatan kerjanya di Vietnam sebelum menamatkan harinya yang sibuk itu.

Seawal 7.30 pagi (waktu tempatan) hari ini, Anwar telah mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dan bersarapan bersama delegasi Vietnam yang diketuai oleh Pham dengan isu-isu kepentingan bersama menjadi perhatian kedua-dua pihak.

Perdana Menteri kemudian menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan kedua, sebelum mengadakan sidang media dengan media Malaysia yang mengikuti lawatan kerja dua harinya ke negara Asia Tenggara itu.

Sebelum pulang ke tanah air, Anwar berkesempatan melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong, sekali gus menamatkan lawatan kerja dua harinya yang padat dengan pelbagai atur cara rasmi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mempunyai peranan yang strategik berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata Malaysia akan menerima lawatan daripada pemimpin-pemimpin Afrika Selatan bulan depan diikuti China.

“Pada April Presiden China Xi Jinping. Maknanya bila kita tunjukkan persahabatan beliau pun datang, bila datang (ke Malaysia) itu, beliau datang dengan rombongan perniagaan, berpuluh dan beratus orang, memberikan pendedahan kepada peluang-peluang (perniagaan dan perdagangan) di Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM378.5 bilion pada 2024, yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah negara.

Bercakap dalam sidang media tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beliau berkata ia merupakan suatu peningkatan sebanyak 14.9 peratus dari tahun ke tahun dan jumlah pelaburan itu menjangkau 6,700 projek merentas sektor utama.

Tengku Zafrul berkata jumlah pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 207,000 pekerjaan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.

Walaupun menghadapi cabaran ekonomi global yang berterusan katanya, Malaysia terus menarik pelaburan yang besar dengan pelaburan domestik menyumbang RM208.1 bilion (55.0 peratus) dan pelaburan asing menyumbang RM170.4 bilion (45.0 peratus).

Keyakinan pelabur asing di Malaysia kekal sangat kukuh, dengan pelaburan strategik datang daripada lima negara utama iaitu Amerika Syarikat mendahului dengan RM32.8 bilion, diikuti Jerman (RM32.2 bilion), China (RM28.2 bilion), Singapura (RM27.3 bilion) dan Hong Kong (RM7.4 bilion).

Tafsiran PMX bersandar dalil Al-Quran tak tepat

harakahdaily.net
February 26, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak autoriti agama supaya mengambil langkah menegur Perdana Menteri yang menyandarkan pandangannya kepada dalil Al-Quran secara tidak tepat dan menyalahi disiplin tafsir Al-Quran.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, ayat berpuasa ‘sepertimana umat terdahulu’ tidak harus menjadi sandaran hujah bahawa orang bukan-Islam juga berpuasa sepertimana umat Islam berpuasa.

“Kenyataan PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) jelas terdapat kekeliruan yang nyata. Maksud ‘umat yang terdahulu berpuasa’ dalam ayat Al-Quran tersebut adalah atas dasar syariat, ketauhidan dan kepatuhan ke atas ajaran Islam.

“Umat Nabi Nuh AS juga disyariatkan berpuasa, begitu juga jalur kenabian daripada Nabi Ibrahim AS dan umat-umat yang lahir selepasnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, ayat tersebut memberikan gambaran bahawa perintah berpuasa sudah ada sebelum disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

“Ia tidak boleh ditafsirkan bahawa golongan bukan-Islam juga berpuasa dengan disandarkan kepada ayat ‘umat terdahulu juga berpuasa’.

“Puasa yang diamalkan oleh golongan bukan-Islam sepertimana puasa 40 hari sebelum Hari Easter dalam ajaran Kristian, puasa orang Yahudi mahupun dalam agama Hindu tidak sama dengan ajaran tauhid yang terdapat dalam agama Islam.


“Malah, dalam konteks perubatan juga ada istilah berpuasa. Namun, persamaan ini hanya dari sudut literal, bukan dari sudut istilah pensyariatan.

“Justeru, menyandarkan maksud puasa tersebut dalam satu bakul semua agama berpuasa apatah lagi menggunakan ayat Al-Quran sebagai hujah adalah perbuatan yang tidak beradab,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya ingin menyatakan teguran kepada PMX di atas kekhilafan beliau yang menafsirkan ayat tersebut dan meletakkannya dalam konteks salah.

“Malah, sewajarnya pihak autoriti agama yang menasihati PMX sendiri seharusnya menangani salah faham ini sebelum ia terus merebak dan merosakkan pandang sisi masyarakat terhadap pensyariatan berpuasa,” katanya. 

HARAKAHDAILY 26/2/2025

Sunday, February 23, 2025

Akmal: Pemuda Umno bukan penjilat macam Nazri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 6:21 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membalas kenyataan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz dengan menegaskan sayap parti itu bukanlah golongan pengampu.

"Kami Pemuda (Umno) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri.

"Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami.

"Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula," perli Akmal pada hantaran di media sosial.
Nazri sebelum ini pernah dilantik sebagai timbalan ketua Pemuda Umno pada tahun 1993 dan memangku jawatan ketua sayap parti itu dari 1994 hingga 1996.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa."

Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan Adun Merlimau itu hanya mewakili "satu perempat" daripada empat sayap Umno, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.
Sementara itu, Akmal menyoal jika Nazri sendiri mewakili majoriti orang Melayu.

"Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?

“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi," katanya.

Awal bulan ini, Nazri kembali ke Malaysia dan menafikan dakwaan bahawa beliau telah "dipanggil balik" sebelum tamat tempoh perkhidmatannya.

Nazri menjelaskan sebagai duta yang dilantik secara politik, dia telah menandatangani kontrak dua tahun dengan Kementerian Luar Negeri.

Prestasi kabinet: Anwar akui tak semua sempurna

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 23, 2025 8:15 AM
Jemaah Menteri menerima baik sebarang teguran serta kritikan berhubung prestasi mereka dan akan mengambil langkah memperbaikinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025, ahli kabinet telah mendengar laporan serta pandangan bebas mengenai prestasi mereka yang dibentangkan ahli akademik dan penjawat awam.

"Kemudian kita beri ruang kepada menteri untuk berikan pandangan mereka tentang iltizam dan komitmen untuk meningkatkan prestasi.

"Setakat ini saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasinya (Jemaah Menteri) membanggakan kerana mereka ambil serius teguran yang mereka terima dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki prestasi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025 di Bangi, semalam.

Perdana Menteri berkata permukiman itu membincangkan mengenai keperluan bagi kerajaan untuk melihat semula pendekatan diambil bagi mengurangkan kesan inflasi kepada rakyat.

Anwar berkata walaupun terdapat statistik yang menunjukkan prestasi membanggakan namun masih ada beberapa masalah yang harus kerajaan selesaikan seperti kenaikan harga barang.

"Walaupun angka-angka statistik menunjukkan inflasi kita rendah, rakyat mengeluh tentang kenaikan harga barang, terutamanya barang perlu (barangan asas).
"Ini satu cabaran yang kita beri penekanan kerana kita faham bahawa angka-angka tentang lonjakan ekonomi, peningkatan pelaburan dan keamanan serta tarikan pelancongan itu hanya lebih bermakna sekiranya kita dapat kawal kenaikan harga yang membebankan sebahagian rakyat kita," katanya.

- Bernama

Nazri: Siapa lagi PM kesebelas jika bukan Anwar?

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Feb 23, 2025 8:30 AM
WAWANCARA | Setelah menamatkan tempoh dua tahun sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Nazri Aziz kini kembali ke Kuala Lumpur dan memberi tumpuan kepada perkembangan politik tempatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas ahli parlimen Padang Rengas selama enam penggal itu berkata fokusnya kini termasuklah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan memastikan presiden PKR itu kekal memimpin Putrajaya selepas PRU16.

Pada temu bual bersama Malaysiakini, Nazri berkata sokongan terhadap Anwar antaranya berpunca daripada kebimbangan kerana tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri, termasuk dalam partinya sendiri, Umno.

"Saya sangat bimbang untuk negara ini kerana tanpa PMX, siapa yang akan menjadi perdana menteri?
"Menyedihkan untuk dikatakan, sistem kita tidak membenarkan pembentukan pemimpin intelektual yang tidak memainkan sentimen perkauman dan agama.

"Cuba beritahu saya siapa? Ia akan menjadi bencana bagi kita jika Anwar tidak menjadi perdana menteri untuk lima tahun lagi selepas 2026," kata bekas menteri undang-Undang itu.

Nazri, yang mengesahkan dia tidak berhasrat kembali ke parlimen pada PRU16, selepas tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2022, turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakpastian politik mengenai calon perdana menteri seterusnya.

"Saya hidup dalam kebimbangan kerana saya tidak tahu siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya," katanya sambil ketawa, tetapi menegaskan komitmennya untuk membantu Anwar.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantunya (Anwar) dalam pilihan raya umum akan datang, termasuk turun padang berkempen dan memainkan peranan bagi memastikan beliau menang.

"Kerana saya risau. Tiada seorang pun yang saya yakin boleh mengambil alih sekiranya Anwar tiada," kata veteran Umno yang masih mengetuai bahagian Padang Rengas itu.

Umno tiada calon PM?

Selepas PRU15, Anwar membentuk kerajaan perpaduan dengan pelbagai gabungan dan melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta Naib Pengerusi Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof sebagai dua timbalan perdana menteri.
Umno kini hanya memiliki 26 kerusi di Dewan Rakyat, satu kedudukan yang menurut Nazri, tidak memberikan parti itu peluang untuk menamakan calon perdana menteri.

Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan pengganti Anwar turut merangkumi Umno, Nazri secara sinis merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Saleh.

"Boleh kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa?" katanya.

"Saya mungkin boleh menyokong kamu. Tetapi berikan saya satu nama. Bahkan kamu sendiri pun tidak boleh memberikan satu nama," katanya.
Secara tradisi, presiden Umno calon perdana menteri Barisan Nasional (BN), kecuali Ismail Sabri Yaakob, yang menjadi perdana menteri ke-9 selama 15 bulan (2021-2022) walaupun hanya memegang jawatan naib presiden Umno pada ketika itu.

Menyentuh peranan Ketua Pemuda Umno, Nazri menegaskan pandangan Akmal tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama Umno.

"Dalam Umno, kita ada Pemuda, Wanita, Puteri dan Umno induk.

"Umno dalam parlimen hanya ada 26 kerusi, dan Akmal hanya mewakili satu perempat daripada Umno.

"Perlukah kita bimbang bahawa semua ahli Umno berfikir seperti dia?

“Atau adakah semua orang Melayu berfikir seperti dia," soal Nazri.

Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas tanggapannya terhadap Akmal yang sering mengambil pendirian lebih keras berbanding Zahid dalam beberapa isu yang menjejaskan hubungan dengan parti dalam kerajaan, terutamanya DAP.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, meminta Akmal menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung garis panduan acara bukan Islam yang dihadiri oleh orang Islam.

‘Majoriti senyap’ tapi tak setuju

Akmal sebelum ini menolak pendirian perdana menteri bahawa garis panduan itu tidak diperlukan, dengan alasan tidak semua orang Islam memahami batasan ketika mengunjungi tempat ibadat bukan Islam.

"Ada yang tidak bersetuju dengannya (Akmal), tetapi mereka tidak akan menyatakannya secara terbuka.

"Mereka ini majoriti senyap [...] Tetapi bagi saya, Pemuda Umno sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu. Jadi, abaikan sahaja mereka," kata Nazri.

Ketika ditanya jika Umno patut kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16, Nazri berkata dia tidak berada dalam badan pembuat keputusan parti dan hanya akan menumpukan kepada menyokong Anwar serta kerajaan sedia ada.

[Baca berita asal]

Tiada syarat sokong PM untuk dapat peruntukan, Anwar beritahu PN

freemalaysiatoday.com
Bernama
-22 Feb 2025, 11:45 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata berbincang untuk mendapatkan peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang bukanlah perkara baharu. (Gambar Bernama)

BANGI: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah ada sebarang syarat yang menetapkan Ahli Parlimen daripada pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan.

“Mereka sebelum apa-apa pun sudah tuduh kita paksa sokong perdana menteri. Kita tidak ada langsung syarat-syarat yang dikemukakan,” katanya pada sidang media selepas permukiman Jemaah Menteri.

Beliau mengulangi nasihatnya kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Anwar berkata perbincangan sedemikian bukanlah perkara baharu malah beliau sendiri semasa Pakatan Harapan menjadi pembangkang pernah berbincang dengan Perdana Menteri Kesembilan Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi saya rasa benda ini kalau boleh jangan dihebahkan di luar tetapi jalur untuk mengadakan perjumpaan bukan perkara baharu, kita bincanglah dulu,” katanya.

Ditanya jika beliau secara peribadi akan berjumpa dengan wakil pembangkang mengenai perkara itu, Anwar berkata ia tidak perlu kerana mandat untuk mencapai kata sepakat diberikan kepada Fadillah.

“Seperti kita tahu sudah dua tahun lebih dia (Ahli Parlimen pembangkang) berdolak-dalik. Kita tidak ada masalah, kita dah beri ruang.

“Saya kalau nak berjumpa secara berasingan itu tidak apa, tetapi dalam hal ini memang mandat diberikan Jemaah Menteri dan semua parti dalam kerajaan Madani (kepada Fadillah),” katanya.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang menasihati pemimpin pembangkang supaya berunding dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk Ahli Parlimen mereka.

Johari dipetik berkata pembangkang disaran berjumpa dan berbincang dengan Anwar mengenai isu tersebut memandangkan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat adalah berdasarkan keputusan perdana menteri.

Saturday, February 22, 2025

'Tak perlu...saya dah bagi mandat penuh kepada Fadillah' - Anwar

bharian.com.my
Oleh Latifah Arifin 
latifah@bh.com.my
Februari 22, 2025
Anwar pada sidang media Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di Pusat Kepimpinan Petronas. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. - Foto ASYRAF HAMZAH

BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuknya terbabit dalam perbincangan berhubung isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah memberikan mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof dengan perkara itu dipersetujui semua Jemaah Menteri dan parti komponen dalam Kerajaan MADANI.

"Kita sudah beri mandat penuh kepada TPM (Fadillah) untuk menemui mereka tetapi seperti mana kita tahu dah dua tahun mereka berdolak-dalih. Kita tak ada masalah dan dah beri ruang.

"Tak perlu saya sendiri (jumpa pembangkang). (Sekiranya) saya nak jumpa secara berasingan, tak mengapa. Jadi saya rasa boleh (jika nak PM berjumpa pembangkang) cuma jangan dihebahkan di luar, mesti ada jalur (yang betul) untuk adakan perjumpaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025 di PETRONAS Leadership Center, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dr M: Anwar bohong setiap kali buka mulut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2025 12:02 PM
Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong apabila menafikan pemimpin luar disekar dari bertemu bekas perdana menteri itu.

“Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.

“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang 'setiap kali buka mulut mesti bohong’," kata Mahathir dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan Mahathir itu selepas Anwar menyangkal dakwaan kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengan bekas perdana menteri itu.

Anwar berkata tiada mana-mana pemimpin luar negara yang ingin bertemu dengan Mahathir dan sekiranya ada sekalipun, dia tidak ada halangan.

Sementara itu, Mahathir dalam kenyataannya hari ini turut mengecam Anwar kerana mengulangi dakwaan mengenai harta anaknya.

"Kemudian dia ulang lagi pasal anak saya mempunyai harta RM1.2 bilion. Ini dia asaskan kepada kenyataan (Ketua Pesuruhjaya) SPRM Azam Baki.

"Tapi dia tak cerita habis yang Azam Baki kata tu adalah harta yang dijumlahkan sejak 43 tahun yang lalu.

"Sedangkan Azam Baki juga yang menyata harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta," kata Mahathir.

Bulan lalu, Azam berkata anak lelaki bekas presiden Umno itu, Mirzan dan Mokhzani, mengisytiharkan kira-kira RM1 bilion aset.

Selepas menolak liabiliti, nilai bersih peribadi Mokhzani berjumlah kira-kira RM360 juta manakala Mirzan berjumlah RM120 juta.

Mahathir juga menegaskan bahawa Anwar terus mengulangi dakwaan itu untuk "meneruskan pembohongannya".

"Seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti dari jadi perdana menteri.

"Hakikatnya, saya telah saman dia (Anwar) dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak (mengandungi bukti) pun yang dia buktikan," tambahnya.

Peruntukan pembangkang: Rundinglah dengan PM, kata Johari

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 22, 2025 8:00 AM
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul menasihatkan pembangkang supaya berunding dengan kerajaan persekutuan bagi mendapatkan peruntukan kewangan untuk ahli parlimennya.

“Kita (Dewan Rakyat) tiada kuasa berkaitan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM)....itu bukan kuasa kita, itu hak PM (Perdana Menteri Anwar Ibrahim).

"Seperti PM dahulu di zaman Ismail Sabri, selepas lakukan beberapa rundingan pihak pembangkang juga dapat (peruntukan), maka buatlah rundingan dengan PM dan beritahu apa yang anda mahu," katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Johari, masalah terjadi kerana wakil rakyat pembangkang enggan datang berjumpa perdana menteri untuk membincangkan peruntukan yang diperlukan.
Gambar fail, PM Anwar bersama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud. Kelantan diperintah PAS.
"Itu yang PM kata datang (berjumpanya) dan runding apa perkara yang anda mahu, anda hendak apa sebenarnya tetapi tidak datang (berjumpa PM)," katanya.

Johari dilaporkan mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin sebelum ini ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan dana pembangunan kawasan untuk ahli parlimen pembangkang.

Hamzah berkata pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini hanya melibatkan ahli parlimen kerajaan yang menerima peruntukan khas perdana menteri sebanyak RM1.7 juta untuk kawasan parlimen di Semenanjung manakala RM2.2 juta bagi Sabah dan Sarawak.

"Nak kemas kini macam mana jika tiada apa-apa yang mereka (pihak kerajaan) buat, jemput kita, nak duduk (berbincang) dan sebagainya.
"Peruntukan (yang diumumkan Dr Zaliha) itu diberikan kepada mereka (ahli parlimen kerajaan), bukan kita (pembangkang).

"Sebab itu sekarang sudah banyak dipanggil penyelaras parlimen, mereka sudah lantik (perlantikan oleh kerajaan bagi kawasan yang diwakili pembangkang)," kata Hamzah pada Khamis.

Pada sesi parlimen November lalu, Timbalan Perdana Menteri II, Fadillah Yusof berkata dia terbuka untuk berbincang dengan ahli parlimen pembangkang mengenai peruntukan kawasan.

Menurutnya, Ahli Parlimen Muar dari parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman satu-satunya wakil rakyat yang telah memberikan maklum balas terhadap memorandum persefahaman (MOU) dan memberi jaminan dia akan memberikan respons dalam masa terdekat.
Gambar fail, Syed Saddiq melakukan larian amal bagi mengumpul dana kawasan parlimennya.
Kenyataan Fadillah itu dibuat selepas laporan pada September lalu, yang menyatakan pimpinan PN menolak draf perjanjian Putrajaya mengenai peruntukan kawasan kepada ahli parlimen pembangkang.

Namun, pada Selasa lalu, Syed Saddiq mengadu walaupun sudah menjalani lima rundingan dengan Fadillah namun masih tiada kemajuan dalam isu itu.

Keadaan ini memaksanya mencari dana melalui cara lain, termasuk menjadi model dan melakukan larian amal bagi mengumpul dana.

NGO seperti Bersih telah menggesa kerajaan supaya memberikan peruntukan pembangunan kawasan kepada semua ahli parlimen secara adil, tanpa mengira parti politik yang mereka wakili.

Friday, February 14, 2025

Kerajaan tolak cadangan wujudkan menteri agama bukan Islam

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 14, 2025
Kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi bukan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata cadangan itu tidak diterima oleh Jemaah Menteri, dan melihatnya sebagai pandangan peribadi seorang Ahli Parlimen.

“Kita ada Menteri Agama, Menteri Perpaduan, ada jawatankuasa harmoni yang mewakili semua kaum, semua agama di Malaysia, jadi saluran itu memadai.

“Soal pelantikan itu (jawatan Menteri) pun budi bicara Perdana Menteri, dan ia tiada dalam perkiraan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana di Puchong hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.

Yu Hui dilapor berkata langkah itu penting bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.

-Bernama

Thursday, February 13, 2025

Adendum: Pembangkang sengaja tak endah undang-undang, kata PM

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri & Ili Aqilah
Diterbitkan: Feb 13, 2025 12:43 PM
PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pembangkang tidak menghormati undang-undang negaraa apabila terus cuba membangkitkan soal titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong kepada Najib Razak.

Anwar menegaskan hal itu selepas pembangkang terus mendesak meminta penjelasan mengenai apakah isu adendum turut memberi kesan terhadap kejatuhan pelaburan di negara ini.

Terdahulu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN - Machang) dalam soalan tambahanya mempersoalkan apakah punca aliran bersih keluar modal asing berkait dengan persepsi rasuah dan juga adendum yang difikirkan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.

Soalan pemimpin Bersatu itu kemudian disusuki pula kritikan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN - Larut) yang tidak puas hati dengan cara jawapan disampaikan perdana menteri.

Anwar (PH-Tambun) kemudian menegaskan dan mengulangi komitmennya untuk menjelaskan isu adendum tersebut selepas kes di mahkamah diselesaikan.

"Soal tidak jawab adendum, saya dah bagi tahu. Saya nak jawab macam mana (sebab) ini kes mahkamah. Saya boleh jawab, saya dah bagi jaminan di parlimen.

“(Apabila) Selesai kes mahkamah saya akan jawab, saya nak tengok ketua pembangkang hadir atau tidak,” katanya disambut rasa tidak puas hati beberapa ahli parlimen blok pembangkang.

Kata Anwar, dia tidak keberatan dengan sikap ahli parlimen pembangkang yang terus tidak berpuas hati dan mereka boleh menjerit sebanyak mana yang dimahukan.

Bukan tak mahu dengar

Hal itu kerana, kata Anwar, dia tahu setiap fakta yang melatari isu berkenaan namun pihak pengkritikk terus mendesaknya agar menyentuh kedudukan raja-raja Melayu.

“Saya tidak boleh (melanggar batasan) dan saya dalam hal ini, boleh check, saya memang ada hubungi raja-raja.

"Pergi tanya Sultan Kelantan,” katanya.

Anwar juga sekali lagi menegaskan untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan selepas pertikaian di mahkamah berakhir.

"Tetapi saya tidak boleh (jelaskan) sekarang kerana kes itu di mahkamah. Tetapi pembangkang tidak peduli subjudice, tidak peduli kerana dia anggap dia above the law," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Tambah Anwar, dia membangkitkan soal adendum ketika itu kerana pembangkang mengaitkannya dengan hujah mendakwa ia menjadi punca pelaburan negara merosot.
Hamzah Zainudin
"Saya nak tanya angka ini dari mana? Pelaburan meningkat jadi cakap itu tidak bertanggungjawab. Sebab itu kita jawab tegas, cakap mengarut tidak berdasarkan fakta.

"Kalau bagi cadangan umpamanya Bursa Malaysia harus menjalankan reformasi, saya setuju, ada perubahan pimpinan Bursa Malaysia dengan maksud memberikan peluang reform.

"Ada cadangan awal tetapi saya setuju harus ditingkatkan tetapi kena faham juga dalam keadaan sekarang pun jumlah dagangan saham meningkat RM2 trilion.

“Ini yang saya bangkitkan… bukan masalah tidak mahu dengar, saya dengar tetapi kita tahu juga bahawa adendum inilah menyebabkan keyakinan," katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Hamzah menafikan wujud soal subjudice.

"Sebab itu saya bangkit nak minta soalan yang timbul kepada saya tentang keyakinan pelaburan terhadap kerajaan Malaysia yang ada hari ini disebabkan banyak perkara, bukan hanya bab adendum.

"Tapi apabila perdana menteri bangkitkan adendum saya nak katalah, adendum keluar bulan Jan tetapi afidavit masuk beberapa bulan sebelum itu, mana ada subjudice.

"Kalau ada sikap keterbukaan dan berterus-terang, jawablah sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya.

Kerajaan akan pinda Akta Perhimpunan Aman, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou
-13 Feb 2025, 10:30 AM

Perdana menteri berkata, keperluan mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta itu akan dikeluarkan.
Antara pindaan adalah mengeluarkan Seksyen 11 dalam akta itu yang memerlukan penganjur mendapat persetujuan penghuni bagi mengadakan perhimpunan aman.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan pelaksanaan keputusan daripada kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan aman.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keperluan untuk mendapat persetujuan penghuni bagi penganjuran perhimpunan seperti di bawah Seksyen 11 akta tersebut akan dikeluarkan.

Katanya, penganjur hanya perlu memaklumkan polis lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi tujuan pengawalan.

“Beberapa tindakan sebelum ini termasuk siasatan terhadap perhimpunan anti-rasuah yang melibatkan mahasiswa akan dihentikan dan tiada tindakan diambil.

“Begitu juga mogok tunjuk perasaan (membantah Sosma) beberapa hari lalu juga tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata mulai sekarang tiada keperluan untuk sebarang kelulusan bagi penganjuran himpunan dan beliau percaya penganjur boleh memberikan kerjasama kepada polis.

Anwar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan untuk meminda Akta Perhimpunan Aman bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.

Khoo turut mencadangkan kerajaan mengwujudkan satu tempat khas sebagai lokasi khusus untuk sebarang perhimpunan diadakan.

Sebelum ini, jurucakap Rakyat Benci Rasuah Zaim Zulkifli dilaporkan mengecam tindakan polis yang memanggil pelajar universiti untuk siasatan berkaitan himpunan pada 25 Jan lalu, dan turut menyifatkan ia sebagai satu bentuk intimidasi.

Ini selepas 10 pelajar terbabit dipanggil untuk dirakam keterangan dan proses didakwa mengambil masa lebih sejam setengah.

Pada himpunan 25 Jan lalu, menyaksikan 200 berhimpun di pekarangan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, yang kebanyakan pelajar universiti.

Sementara itu, kertas siasatan turut dibuka melibatkan himpunan ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Mereka juga melancarkan mogok lapar yang berlangsung sehari bagi menunjukkan solidariti bersama tahanan, selepas Suhakam berkata, badan itu akan menyiasat dakwaan rawatan penjagaan kesihatan tidak mencukupi dan penangguhan perbicaraan dihadapi beberapa tahanan Sosma.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-