Tuesday, September 17, 2024

Empat asas PN tolak cadangan MoU

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 
bhnews@bh.com.my
- September 17, 2024

PUTRAJAYA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan memorandum persefahaman (MoU) kerajaan adalah berdasarkan empat asas utama yang sarat dengan nilai.

Ketua Portfolio Pendidikan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan wakil rakyat untuk bersuara.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
"Empat perkara 'fundamental' itu adalah perkara yang mesti ditentang dan tidak boleh dikompromi.

"Ini kerana empat perkara itu berlawanan dengan nilai dan prinsip yang mendefinisi atau memberi makna mengenai apa itu Malaysia dan identiti nasional kita sebagai rakyatnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Fadillah Yusof (kiri) dan Hamzah Zainudin.
Beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mendakwa, dari segi Perlembagaan, MoU itu membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk mempersoalkan teras Perlembagaan Persekutuan, seperti kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, antara lain, ia akan menggugat dasar afirmatif yang bertujuan membela nasib dan kemajuan orang Melayu serta Bumiputera dalam pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

"Dari segi nilai kemanusiaan, MoU itu memberi ruang kepada fahaman hak asasi yang berlawanan dengan nilai agama dan budaya kita untuk berkembang dan diiktiraf secara tersurat mahupun tersirat.

"Contohnya, MoU menggunakan frasa "apa-apa faktor identiti yang lain." Identiti yang lain?" soalnya.

Beliau mendakwa, dari segi keadilan, MoU itu membuka peluang untuk pihak berkuasa mentafsir sesuatu perkara mengikut selera politiknya, seperti menimbulkan 3R (raja, bangsa, agama) isu yang bukan membabitkan 3R.

"Akhirnya, MoU itu menokok tambah peraturan yang bukan-bukan mengenai perlakuan Ahli Parlimen, sedangkan undang-undang berkaitannya sudah sedia ada. Ini akan mengurangkan kebebasan bersuara yang sedia ada.

"Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya. Bukan sahaja merosakkan identiti nasional, tetapi juga mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara kita," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-