Tuesday, September 17, 2024

‘Hina sangatkah orang Islam bergantung punca rezeki kepada judi?’

harakahdaily.net
September 17, 2024
Ahmad Fadhli dan Lee Chin Chen.

KUALA LUMPUR: “Umat Islam perlu berasa terhina dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin DAP yang menyatakan ‘tutup kasino Genting jejaskan ekonomi, mata pencarian umat Islam’.”

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya tidak berasa perkara itu, tandanya hati sudah keras dan mata telah buta dari melihat hakikat bahayanya rejim Pakatan Harapan (PH).

“Ia boleh dilihat kepada komen-komen kelompok yang mempertahankan kenyataan ini. Siapa kelompok mereka, boleh kenal dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi DAP Pahang, Lee Chin Chen, dilaporkan media tempatan membantah cadangan PAS Negeri Pahang untuk menutup kasino di Genting Highlands, dengan menegaskan bahawa langkah itu akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri serta mata pencarian umat Islam yang bekerja di kawasan itu.

Chin menekankan bahawa Genting Highlands merupakan destinasi pelancongan utama yang telah lama menyumbang kepada pendapatan negeri dan menarik jutaan pelawat.

Chin juga menambah bahawa kasino di Genting hanya membenarkan kemasukan bukan Islam, manakala sebahagian besar pekerja di sana adalah umat Islam.

PAS Pahang sebelum ini menegaskan komitmen untuk menutup semua premis perjudian, termasuk kasino di Genting, sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 semasa Muktamar Tahunan PAS di Kerdau, Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu mengakui terdapat cabaran dari segi bidang kuasa undang-undang, namun menyatakan bahawa PAS akan berusaha dalam ruang lingkup kuasa negeri untuk menghentikan aktiviti yang mereka anggap memudaratkan masyarakat.

Sehubungan itu, Fadhli berkata, sebab itulah kerajaan bersungguh-sungguh sangat mahu menutup mulut Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“(Ia adalah) Supaya jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang mereka sendiri akan takrifkan sebagai timbulkan kebencian.

“Dan mereka namakan ia ‘menyentuh 3R (agama, bangsa dan raja)’, supaya mereka bebas mengeluarkan apa jua kenyataan tanpa siapa boleh membalasnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu beliau memberikan contoh kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP itu yang dilihat sangat menghina orang-orang Islam.

“Hina sangatkah orang-orang Islam ini sehingga bergantung punca rezeki kepada judi?

“Tapi itulah, jika dijawab, yang bakal didakwa ialah mereka yang bangkit membela. Yang mentohmah kekal suci, dengan alasan ‘salah terjemahan’,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-