Wednesday, September 11, 2024

Muktamar PAS dijangka jadi medan bincang siapa lebih layak teraju PN

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli dan Faiz Zainudin
11 Sep 2024

Penganalisis tidak menolak kemampuan PAS mengetuai PN berdasarkan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen dengan 43 wakil rakyat.
Muktamar PAS dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 pemimpin dan ahli berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, Temerloh, Pahang, dari 11 hingga 15 Sept.

PETALING JAYA: Muktamar PAS ke-70 bermula hari ini dijangka menjadi medan meniupkan semangat ahlinya menjelang PRU16, namun isu seperti parti itu sebagai peneraju Perikatan Nasional (PN) mungkin dibangkitkan, kata penganalisis.

Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia berkata, kes mahkamah terbaru dihadapi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkait hasutan pada kempen PRK Nenggiri bulan lalu, mungkin mencetuskan alasan untuk beliau digantikan.
Zaireeni Azmi.
Tidak menolak kemampuan PAS mengetuai PN berdasarkan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen dengan 43 wakil rakyat, beliau bagaimanapun berpendapat perubahan itu sewajarnya dibuat atas persefahaman dan kepentingan rakyat.

Kenapa tidak? (PAS terajui PN), lagipun dalam komponen itu masing-masing mempunyai peranan tertentu, katanya kepada FMT sambil menjangkakan strategi untuk menarik sokongan orang muda pada PRU16 akan turut dibangkitkan.

Muktamar PAS dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 pemimpin dan ahli berlangsung di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, Temerloh, Pahang, dari 11 hingga 15 Sept.
Azmi Hassan.
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan, berpandangan sudah tiba masa PAS mendapatkan jawatan ketua pembangkang bagi menunjukkan parti itu lebih dominan.

PAS perlu atur strategi bagaimana nak dapatkan jawatan itu ketika Bersatu berdepan masalah dalaman begitu kronik dengan presidennya begitu lemah kerana berdepan pendakwaan, katanya.
Ariff Aizuddin Azlan.
Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata kejayaan pentadbiran di empat negeri ditadbir PAS (SG4) akan turut mendominasi muktamar.

Katanya, fokus akan disasarkan ke arah hubungan sesama negeri dinaungi kerajaan PAS dan peranan Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat dalam mengukuhkan kerangka ekonomi negeri tersebut.

Dari segi persiapan PRU16, Ariff berkata muktamar itu juga mungkin mengetengahkan pemimpin yang boleh dicalonkan di posisi utama pentadbiran Putrajaya antaranya Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tidak mustahil nama popular seperti Dr Sam akan turut dicanang kerana beliau dilihat mendahului dan juga sebagai calon berpotensi untuk menyaingi populariti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-