Sunday, September 8, 2024

PRU15 hingga 1BestariNet: Rentetan isu ‘tak sebelahi’ Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
Nicholas Chung dan Sean Augustin
-08 Sep 2024, 

Serbuan SPRM minggu lalu berkait projek seliaan Muhyiddin Yassin menjadi isu terbaru membelenggu bekas perdana menteri itu.
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, baru-baru ini didakwa kerana menghasut susulan ucapannya ketika berkempen pada PRK Nenggiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Serbuan agensi antirasuah di pejabat YTL Communications pada Rabu menjadi rentetan terbaru peristiwa terkait bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Pada 2011, YTL Commission dianugerahkan projek 1BestariNet, yang mana dimulakan Muhyiddin ketika menjadi menteri pendidikan dalam kerajaan Najib Razak.

Meskipun serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama sekali tidak melibatkan Muhyiddin, namun ia mengundang tanggapan ‘sangat buruk’ memandangkan projek itu sinonim dengannya, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Masalah Muhyiddin bermula selepas PRU 2022 apabila menolak cadangan dikemuka Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH). Justeru, menjadikan Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri, pada November 2022.

Lima bulan kemudian, Muhyiddin didakwa salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait program Jana Wibawa, inisiatif bagi membantu kontraktor Bumiputera, yang dimulakan di bawah pakej rangsangan Covid-19 ketika menjadi perdana menteri.

Muhyiddin, bekas perdana menteri kedua selepas Najib dibawa ke mahkamah mohon dibicarakan dan mendakwa tuduhan dihadapi berunsur pendakwaan politik.

Walaupun berdepan masalah peribadi, gabungan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan prestasi baik di pada PRN enam negeri pada Ogos 2023 apabila terus menguasai di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, selain menang banyak kerusi di Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – negeri diperintah PH.

Masalah Bersatu

Kepimpinan Muhyiddin dalam Bersatu mula dipersoalkan selepas tujuh wakil rakyatnya mengisytihar menyokong kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim, sedangkan wakil rakyat PAS kekal setia bersama partinya.

Di sebalik apa berlaku, beliau mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan presiden Bersatu pada Perhimpunan Agung Tahunan, pada November 2023.

Sehari selepas pengumuman dibuat, Muhyiddin menarik balik kenyataan tersebut dan menyatakan menerima nasihat isteri bahawa Bersatu ‘kekal memerlukannya’ untuk kekal sepenggal lagi.

Beliau kemudian mengemukakan formula menjelang pemilihan parti bagi menyegarkan pimpinan Bersatu, di mana Setiausaha Agung Hamzah Zainudin menjadi orang nombor dua, dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, mengambil alih jawatan Hamzah.

Sikap dingin PAS

Muhyiddin kelihatan semakin hilang keyakinan oleh parti komponen utama PN, PAS. Ia terserlah kurangnya keghairahan PAS berkempen untuk calon Bersatu pada PRK Kuala Kubu Baharu pada Mei.

Situasi itu semakin terang apabila PAS berjuang berhabisan pada PRK Sungai Bakap sebulan kemudian, dan menang kerusi itu dengan majoriti besar, 4,267 undi.

Ketika PAS dan Gerakan bertelingkah peranan syarikat arak dalam menyumbang dana kepada sekolah Cina, Hamzah muncul pendamai, tanpa kelibat Muhyiddin yang berada di United Kingdom menghadiri majlis graduasi cucu perempuannya.

Tamparan hebat

Bagaimanapun, ucapan Muhyiddin pada kempen PRK Nenggiri Ogos lalu menjadi tamparan paling besar didepaninya, sehingga membawa kepada pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Dalam ucapannya, Muhyiddin didakwa mempersoal mengapa beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk dilantik perdana menteri selepas PRU 2022 walaupun mengatakan sudah mempunyai sokongan 115 Ahli Parlimen.

Sambil mempertahan kenyataan itu merupakan ‘fakta’, namun ia membawa akibat lain. Selain diheret berdepan pertuduhan di mahkamah, Istana Pahang sendiri menyangkalnya.

Penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, juga berkata ucapan Muhyiddin antara penyumbang kekalahan PN di Nenggiri.

Sekutu menjauh

PAS kemudian menjarakkan diri daripada Muhyiddin dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong titah Tengku Mahkota Pahang supaya Muhyiddin disiasat, sambil menegaskan kesetiaan kepada Sultan Abdullah.

Pada hari Muhyiddin didakwa kerana menghasut, kepimpinan atasan PAS tidak kelihatan, hanya setiausaha agung dan ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan hadir tanda sokongan terhadap pengerusi gabungan itu.

Sambil pimpinan PAS cuba menafikan ketidakhadiran mereka merujuk Ketua PAS Perak Razman Zakaria juga hadir pada prosiding, namun tidak pula mengulas kehadiran pimpinan lebih kanan seperti Presiden Abdul Hadi Awang, timbalannya, atau seorang daripada tiga naib presiden.

Kesan 1BestariNet

Namun, isu terbaharu siasatan SPRM terhadap 1BestariNet mungkin tidak menjadi ‘hukuman mati’ terhadap kerjaya politiknya, kata penganalisis Azmi.

Katanya, kontroversi 1BestariNet telah berlarutan sejak sekian lama dan hubungkait projek itu dengan Muhyiddin hanya kerana inisiatif berkenaan di bawah seliannya.

Ia tidak meletakkannya dalam kedudukan janggal berbanding ucapannya di Nenggiri, katanya kepada FMT mengambil kira ucapannya terhadap Agong sebelum ini mengatasi kontroversi menyelubungi 1BestariNet.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-