Tuesday, September 10, 2024

'Saya tak takut... kita jumpa di mahkamah' - Dr Muhamad Akmal tegaskan kepada Teresa

bharian.com.my
Oleh Mahani Ishak 
mahani@bh.com.my
- September 10, 2024 @ 9:27pm
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, beliau tidak gentar berdepan tindakan mahkamah yang mungkin akan difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, terhadapnya susulan kenyataan berkait isu pensijilan halal.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak bimbang untuk berdepan tindakan undang-undang terbabit, malah bersedia 'berjumpa' Naib Pengerusi DAP berkenaan di mahkamah.

"Hari ini, apabila Teresa Kok dipanggil ke ibu pejabat polis tadi, beliau mengeluarkan kenyataan akan mempertimbangkan untuk saman saya di mahkamah.

"Saya nak beritahu kepada Teresa Kok... bring in on, I am not afraid... no fear, no surrender (teruskan, saya tidak takut... tiada gentar, tidak menyerah kalah). Kita jumpa di mahkamah," katanya dalam rakaman video pendek yang dikongsikan melalui Facebook beliau, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan Teresa sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataan balas Ketua Pemuda UMNO itu berkait isu pensijilan halal, termasuk mahu 'logo tidak halal' ditampal pada dahi Setiausaha Publisiti DAP berkenaan.

Teresa dipetik memaklumkan kepada pemberita setelah memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini, bahawa beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada barisan peguamnya berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal dipetik menempelak tindakan Teresa yang dilaporkan mendakwa bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan, hanya menambah beban terhadap peniaga.

Dr Muhamad Akmal dilapor menegaskan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan saja membabitkan larangan kandungan arak serta babi tetapi turut merangkumi bagaimana sesuatu makanan itu disediakan dan sumber penyediaannya.

"Saya nak beritahu... sijil halal dulu berbulan nak dapat. Hari ini, kita sudah pendekkan hingga 23 hari saja sudah dapat sijil halal.

"Jadi, apa masalah kamu dengan sijil halal ini. Kalau kamu tidak suka, ia tidak membabitkan kamu pun," kata Dr Muhamad Akmal melalui TikTok beliau, Sabtu lalu.

Media sebelum ini melaporkan Teresa mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Selain itu, Teresa mendakwa, ia juga bertentangan semangat kepelbagaian budaya, malah mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilapor menegaskan kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal itu tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), selain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-