Wednesday, September 4, 2024

URA: PAS dedah empat isu ancam Melayu bandar

harakahdaily.com
September 4, 2024

Akta Pembaharuan Semula Bandar
Datuk Amzad mendedahkan ancaman kepada Melayu bandar

HANG TUAH JAYA: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibimbangi akan mengancam orang Melayu yang menghuni bandar.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat,
Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, terdapat empat isu hak orang Melayu berkaitan akta baharu tersebut yang memerlukan itu untuk sensitif dan wajar berasa bimbang.

Empat isu itu menurut beliau, pertama berkenaan dengan pelanggaran hak milik; kedua, penindasan golongan majoriti; ketiga kesan sosial yang negatif dan keempat pula ia mungkin boleh menyebabkan penindanan kepada akta-akta sudah sedia ada.

“Kadang-kadang kita orang Melayu ni merasa bangga dengan gah pembangunan banyak, kedai banyak supermarket, megamall dan sebagainya tapi orang Melayu duduk kat mana?

“Di mana kepentingan kita? Adakah kita semakin terpinggir? Adakah kita dipelihara dari segi kedudukan kita?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Ujar beliau, kerana itu orang-orang Melayu harus menilai dengan teliti kesan akta ini terhadap masyarakat Melayu bandar terutama dari segi hak milik tanah, pegangan ekuiti dan kedudukan sosioekonomi mereka.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Seminar Penerangan Akta Pembangunan Semula Bandar Peringkat Negeri Melaka di Dewan Mua’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, anjuran Lajnah tersebut, di sini malam tadi.

Jelas Amzad, isu pertama ialah berkenaan dengan pelanggaran hak milik iaitu berkaitan dengan keperluan untuk kerajaan mendapatkan ambang persetujuan 100 peratus yang bakal dikurangkan dengan akta baharu itu.

“Sebarang pembangunan semula yang tidak mendapat persetujuan 100 peratus pemilik rumah adalah melanggar Perkara 13 Perlembagaan Negara yang menjamin hak setiap warganegara untuk memiliki harta.

“Dalam hal ini hak asas pemilik mestilah dilindungi terutama bagi orang Melayu yang sudah lama menetap di dalam kawasan bandar,” tegas beliau.

Isu kedua menurutnya, berkaitan penindasan golongan majoriti yang bakal berlaku di kawasan bandar kerana hampir di semua kawasan bandar, Melayu adalah minoriti akan tertindas dengan pengurangan peratus ambang persetujuan itu.

“Yang memiliki hak di dalam memberi kata setuju di dalam pembangunan semula bandar ini. Jika ambang persetujuan hanya memerlukan 75 peratus, maka 25 peratus yang menjadi minoriti ini yang tidak bersetuju akan dipaksa menyerahkan rumah mereka.

“Ini adalah bentuk penindasan yang disebut sebagai ‘tyranny of majority’,” katanya.
Dato’ Iskandar menyampaikan pembentangan
Malah kata beliau, perkara itu adalah sesuatu yang sedang dirasai oleh Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional di mana kini pembangkang di Parlimen iaitu sering diperlakukan secara tidak adil oleh PH-BN selaku majoriti.

Perkara ketiga, jelas beliau adalah berkaitan kesan sosial negatif yang akan melanda golongan Melayu bandar sekiranya akta itu dikuatkuasakan.

“Pembangunan semula ini mungkin akan memaksa ramai orang Melayu termasuk yang berpendapatan rendah ataupun sudah bersara untuk berpindah dari kediaman asal mereka.

“Ini memberikan kesan yang negatif kepada komuniti kepada Melayu bandar yang mungkin tidak mampu mencari penggantian rumah yang setara ataupun yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, peningkatan kepadatan penduduk juga akan menjejaskan kualiti hidup secara drastik, khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Sementara isu keempat pula kata Amzad, akta baharu itu mungkin boleh menyebabkan penindanan kepada akta-akta yang sudah sedia ada.

Kata beliau lagi, proses pembaharuan semula bandar itu sebelum ini juga pernah berlaku di mana sudah ada 17 akta sedia ada yang mencukupi untuk mengurus pembangunan semula.

Menurut beliau, ia termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, di mana akta-akta ini telah berjaya digunakan di dalam pelbagai projek pembangunan yang berskala besar sebelum ini.

“Berdasarkan kepada keempat-empat kebimbangan ini, baru-baru ini Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur yang mewakili 61 persatuan penduduk termasuk enam NGO dan satu institusi pengajian tinggi telah mengeluarkan satu surat meluahkan kebimbangan berhubung dengan perkara-perkara saya sebutkan.

“Surat ini telahpun sampai kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Menteri KPKT sebagai membantah pembentangan akta ini. Mereka juga meluahkan hujah-hujah dan kebimbangan yang sama yang saya sebutkan tadi,” ujarnya.

Turut berucap di dalam seminar tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Dua pembentang kertas kerja telah membentangkan kertas kerja mereka di dalam seminar tersebut iaitu mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abd Samad dan Penyelidik, Penulis dan Ahli Persatuan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman.

Sementara Sr Mohd Safiee Junun yang merupakan mantan Pegawai Teknikal Kanan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Selangor Darul Ehsan bertindak sebagai moderator.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Peserta seminar melibatkan pimpinan-pimpinan PAS, BERSATU dan beberapa NGO berkaitan di mana ahli-ahli Umno turut dijemput di dalam seminar itu. 
Para peserta seminar

HARAKAHDAILY 4/9/2024

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-