Wednesday, September 4, 2024

Umno pilih calon boleh menang untuk PRK Mahkota

malaysiakini.com
NS Ramli
Diterbitkan: Sep 4, 2024 11:33 AM

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa calon yang akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) Mahkota adalah calon yang boleh menang.

Selain itu, katanya, calon berkenaan juga seorang yang boleh diterima pengundi dan memenuhi kriteria ditetapkan parti.

Dia bagaimanapun memaklumkan setakat ini perbincangan teliti berkaitan calon untuk PRK Mahkota belum diadakan.

"Calon... mestilah calon yang boleh menang, yang boleh diterima oleh pengundi.

"Sama ada Pemuda (atau) Wanita, belum dibincangkan lagi... ia akan diputuskan presiden," katanya ketika ditemui media di Kuantan, Pahang hari ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang hadir pada majlis penyerahan ambulans kelas A kepada hospital di Pahang.

Ditanya sama ada semangat kemenangan BN pada PRK Nenggiri bulan lalu akan dibawa ke PRK Mahkota, dia berkata perkara itu sudah menjadi satu kemestian.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy turut meluahkan rasa bangga apabila Adun Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menggunakan tagline 'Tiada Janji, Lihat Bukti' - yang sudah digunakan Wan Rosdy sejak 2018 - dalam menjalankan kerja sebagai Adun kawasan itu.

"Baguslah... benda yang elok itu, eloklah diikuti.

"Kita pun rasa banggalah, seolah-olah satu pengiktirafan... ini cakap-cakap tapi buat tak.. tak 'deliver' pun, marah orang," katanya.

Dalam PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu, Mohd Azmawi Fikri, 38, memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya daripada PN, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-