Saturday, October 19, 2024

Belanjawan 2025: Pelbagai insentif kurangkan beban, perkukuh ekonomi

bharian.com.my
Oleh Shahrizan Salian 
shahrizan_salian@bh.com.my
- Oktober 19, 2024 @ 8:01am
Anwar membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan antara rancangan perbelanjaan terbaik negara yang sarat dengan inisiatif untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, pengagihan hasil negara secara adil dan menyeluruh serta memperkukuh ekonomi.

Membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah melalui peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus dan RM86 bilion belanja pembangunan, kerangkanya diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI bagi menstruktur semula ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Mengandungi 60 ikhtiar yang menyusuli semua penanda aras Ekonomi MADANI, Belanjawan 2025 memberikan tiga tumpuan iaitu usaha untuk membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.

Menumpukan kepada kesejahteraan rakyat terbanyak, Perdana Menteri berkata kerajaan mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.

"Bagi mengelakkan kekeliruan, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat. Maknanya, kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat," katanya membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Bagi mencapai matlamat ini, penyasaran subsidi akan tertumpu kepada golongan 15 peratus berpendapatan teratas atau mahakaya bagi meringankan beban kewangan kerajaan.

Ini termasuklah penyasaran subsidi petrol kepada warga asing dan 15 peratus pendapatan teratas yang menikmati 40 peratus subsidi RON95 bernilai RM8 bilion, yang sewajarnya dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Anwar turut menyentuh subsidi untuk murid sekolah berasrama penuh (SBP) yang mencecah RM15,000 setahun, tetapi 30 peratus daripadanya dinikmati murid daripada keluarga berpendapatan tinggi.

Begitu juga, subsidi yuran pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan (UA) kini turut diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga, yang mana jika ia dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan UA untuk manfaat semua pelajar.

Penyasaran subsidi akan turut melibatkan kesihatan awam, yang mana golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital kerajaan.

Manfaatkan penjimatan

Anwar berharap penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik.

Perdana Menteri berkata, langkah yang diambil untuk memperbaiki pengurusan kewangan kerajaan itu secara langsung adalah bagi mengupayakan bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.

Dengan menaikkan jumlah bantuan sosial untuk golongan berpendapatan rendah menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion, Anwar mengumumkan selepas ini tidak ada rakyat di Malaysia berpendapatan kurang RM1,100 sebulan, belum mengambil kira bantuan daripada kerajaan negeri, zakat dan yayasan.

STR dan SARA berjumlah RM13 bilion adalah penambahan daripada RM10 bilion tahun ini, yang akan memberikan manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.

Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600, berbanding RM3,700.

Pendapatan rakyat turut menjadi tumpuan kerajaan MADANI apabila Perdana Menteri menegaskan penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Sehubungan itu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Dasar Gaji Progresif untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja yang mula dilaksana secara rintis Jun lalu juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun depan.

Bagi memperkasakan ekonomi negara, Belanjawan 2025 mengumumkan pelbagai insentif mengukuhkan pelaburan, syarikat mula niaga selain memperkasakan sektor eksport, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, perladangan dan industri halal, begitu juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dari segi peruntukan, Kementerian Pendidikan menerima bahagian terbesar dalam sejarah sebanyak RM64.1 bilion dengan tumpuan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara, manakala Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan RM18 bilion.

Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion untuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Sementara itu, dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan RM19.5 bilion, manakala Kementerian Pertahanan pula menerima RM21.2 bilion.

Belanjawan 2025 turut memberikan tumpuan kepada perumahan rakyat, prasana desa, ketersambungan digital, pengangkutan awam, wanita, golongan muda, kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang asli dan golongan diberikan peluang kedua (bankrap).

Bagi menghargai penjawat awam, kerajaan turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM500 kepada kakitangan gred 56 dan ke bawah yang akan disalurkan pada Februari 2025.

Merumuskan pembentangan Belanjawan 2025, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu mencerminkan komitmen untuk memupuk kemakmuran bagi semua rakyat Malaysia, memastikan tiada yang ketinggalan dalam perjalanan menuju masa depan lebih saksama.

"Kami percaya bahawa inisiatif Belanjawan 2025 yang dicadangkan ini bukan sahaja akan menangani cabaran ekonomi dan fiskal utama, malah meletakkan asas untuk kemampanan jangka panjang ekonomi Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-