Friday, October 18, 2024

1BestariNet: Belum tiba masa Muhyiddin dipanggil – Azam Baki

kosmo online.com
Oleh AZMI NORDIN
18 Oktober 2024, 12:48 pm
Azam pada sidang akhbar di Menara Perkeso, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memerlukan masa untuk menyiasat secara terperinci kes pemberian tender projek 1BestariNet sebelum memanggil beberapa individu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas Perdana Menteri itu antara individu yang akan dipanggil namun beliau dimaklumkan ketua siasatan kes bahawa banyak lagi perkara perlu dikumpulkan.

Katanya, pegawai penyiasat kini sedang melihat secara rawak tentang pembekalan data yang diberikan oleh syarikat berkenaan kepada pihak sekolah.

“Beliau (Muhyiddin) akan dipanggil dengan mana-mana pihak lain namun belum masanya lagi.

“Jadi, kita perlu mengkaji dengan teliti. Dalam kes 1Bestarinet, saya ulang sekali lagi bukan sahaja kita melihat dari segi isu jenayah di sini tetapi juga pelbagai isu berkaitan tatakelola dalam pemberian tender berkenaan kepada syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangi Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini, hari ini.

September lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia bernilai RM4 bilion yang di anugerahkan kepada YTL Communications Sdn. Bhd (YTL) pada tahun 2011.

SPRM telah membuat penggeledahan ke atas pejabat kerajaan dan YTL Communications Sdn. Bhd yang terletak di Kuala Lumpur.

Siasatan menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran lebih kurang RM2.7 bilion

Fokus siasatan SPRM juga adalah menjurus kepada elemen jenayah lain yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.

Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.

 – KOSMO! ONLINE.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-