Tuesday, October 15, 2024

Kes GISBH: Hassan Karim, Takiyuddin tak setuju guna Sosma

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli

-15 Oct 2024, 05:22 PM

Ahli Parlimen PKR dan PAS senada berhubung penggunaan Sosma ke atas individu berkait kes GISBH.

Hassan Karim dan Takiyuddin Hassan mahu menteri menjelaskan penggunaan Sosma ke atas individu berkait kes GISBH.

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen PKR dan PAS senada apabila tidak bersetuju dengan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma ke atas individu berkait kes Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Di Dewan Rakyat hari ini, Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mahu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan justifikasi Sosma digunakan ke atas individu terkait syarikat itu, yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hassan berkata negara mempunyai undang-undang lain untuk menangani dakwaan-dakwaan yang timbul, seperti akta berkaitan kanak-kanak, penderaan dan serangan seksual, pemburuhan, percukaian, dan agama.

Sosma adalah undang-undang berkaitan dengan ancaman kekerasan, keganasan, keselamatan negara. Soalnya adakah penyelewengan ajaran agama (dakwaan) GISBH ini termasuk kesalahan keselamatan? katanya, meminta penjelasan daripada menteri.

Pada 10 Okt lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan seramai 58 individu ditahan di bawah Sosma.

Sosma memperuntukkan langkah-langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan terhadap negara untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, dan semua perkara yang berkaitan.

Undang-undang itu digubal di bawah peruntukan Perlembagaan yang menyediakan kuasa luas terhadap subversi, ancaman kepada ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Antara lain, subseksyen 4(5) membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan bagi tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan, tanpa perintah mahkamah.

Atas dasar apa Sosma digunakan dalam penahanan suspek di bawah GISBH, kata Takiyuddin di Dewan Rakyat, selepas Hassan menuntut penjelasan.

Pada Feb tahun lepas, Saifuddin dilapor berkata Sosma adalah undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik, yang diperincikan jadual pertama undang-undang itu.

Katanya, polis masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-