BERNAMA
GAMBAR hiasan
Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pemantauan khas ke atas limau mandarin yang diimport sempena musim perayaan di kesemua 70 pintu masuk negara bermula November lalu.
Hal itu bagi memastikan limau mandarin yang memasuki negara mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM 1985) Akta Makanan 1983.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan China, Afrika Selatan, Jepun, Australia dan Mesir adalah pengeksport utama limau mandarin ke Malaysia sepanjang tahun lepas berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).
"Hasil pemantauan tersebut, sebanyak 243 sampel limau mandarin telah dianalisis dan didapati sembilan sampel atau 3.7 peratus tidak mematuhi kadar maksimum residu racun perosak di bawah PPM 1985. Semua sampel yang melanggar (peraturan) telah dilupuskan," menurut kenyataan itu.
KKM memaklumkan setiap pengimport yang terlibat dalam pelanggaran peraturan akan dikenakan pemeriksaan tahap 5 (Tahan, Uji dan Lepas) pada kemasukan seterusnya iaitu konsainan makanan akan ditahan bagi tujuan pensampelan dan kelulusan pelepasan hanya akan diberikan sekiranya keputusan analisis mematuhi standard.
Pengimport juga diingatkan supaya memastikan makanan yang dibawa masuk mematuhi PPM 1985 dan kementerian itu akan sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin, demi melindungi pengguna serta menjamin produk di pasaran selamat untuk dimakan.
KKM turut menjalankan operasi khas di seluruh negara yang dinamakan Ops Tahun Baru Cina bermula 19 Januari lalu hingga 1 Februari ini.
Disiarkan pada: Januari 24, 2025 @ 8:07pm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.