February 13, 2025
Pinggir teras Melayu-Islam dan Perlembagaan secara terancang?
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, cadangan tidak masuk akal itu menggambarkan tahap pemikiran pemimpin DAP yang gagal memahami kerangka berperlembagaan sebenar.
“Malah, ia seolah-olah membenarkan usaha terancang untuk meletakkan kedudukan Islam yang sama rata dengan agama-agama lain di Malaysia.
“Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan. Namun, pengamalan agama-agama lain dibenarkan berdasarkan lunas Perlembagaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebelum ini pemimpin veteran DAP pernah membangkitkan mengenai Perdana Menteri dalam kalangan bukan-Melayu.
Ia terangnya disusuli cadangan untuk menambah keanggotaan pakar Perlembagaan bukan-Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam.
“Apakah mereka mempunyai perancangan terancang untuk meminggirkan teras Melayu-Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menguasai negara dengan agenda ‘Malaysian Malaysia’?
“Sedangkan hak bukan Islam sentiasa terjamin dalam pentadbiran kerajaan. Tidak ada apa yang boleh diharapkan melihatkan ‘abang besar’ yang semakin besar kepala dari hari ke hari.
Terdahulu media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mencadangkan pemisahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama kepada dua, iaitu khusus untuk Islam dan bukan-Islam, bagi memastikan keadilan dalam pengurusan agama serta memperkukuh perpaduan.
Beliau dilaporkan menegaskan bahawa pemisahan itu akan membolehkan perbincangan lebih mendalam dan mengelakkan kontroversi yang tidak diingini, seperti isu garis panduan kehadiran umat Islam dalam perayaan bukan-Islam.
Cadangan itu timbul selepas kontroversi berkaitan garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang akhirnya diputuskan oleh Kabinet untuk tidak diteruskan.
– HARAKAHDAILY 13/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.