ByJanatul Firdaus Yaacob
13/02/2025
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan terutama berkaitan Perkara 3 berhubung kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu.
Asyraf berkata demikian mengulas cadangan supaya kerajaan melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan, beliau menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Hormati Perlembagaan Perkara 3 Kedudukan Islam dan Raja- raja Melayu pemelihara Islam. Tiada keperluan Menteri Hal Ehwal Agama lain.
“Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja!
“DAP hanya ada 40 kerusi. Jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam,” bidas Asyraf dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Tegas Pengerusi MARA itu lagi, penegasan ini merupakan pendirian Presiden dan pimpinan Umno.
“Bahkan bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sama ada DAP, PKR, UPKO, parti-parti dalam gabungan Sabah GRS, parti-parti dalam gabungan Sarawak GPS, sudah menanda-tangan perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, kedaulatan Raja- raja Melayu dan Bahasa Melayu.
“Ahli-Ahli Parlimen BN-Umno juga telah diarahkan untuk menyatakan pendirian Umno dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu ni dan minggu hadapan.
“Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, Islam adalah agama Persekutuan (Perkara 3), tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua (Perkara 11), namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam,” katanya.
Menurut Asyraf lagi, pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.
“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda.
“Ya! Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang ( dua pertiga 3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu,” tegas beliau lagi.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Yu Hui (PH-Raub) ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.