Saturday, February 15, 2025

‘Biadab, keterlaluan menyakiti, timbulkan marah dan resah’

harakahdaily.net
February 15, 2025

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO Islam telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berhubung cadangannya mewujudkan portfolio hal ehwal agama bukan-Islam di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Sekretariat Kedaulatan Agama Negara (SKAN), Ustaz Masridzi Sat berkata, cadangan tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen.

“YB Chow Yu Hui bersumpah untuk menjaga Perlembagaan, namun beliau sendiri mencadangkan sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan. Ini tidak wajar dan membuktikan beliau bukan seorang Ahli Parlimen yang baik,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (PERKID) berkata demikian dalam sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali serta lain-lain.

Masridzi merujuk kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan atau diubah tanpa melalui proses yang sah.

Menurutnya, cadangan pemisahan hal ehwal agama Islam dan bukan-Islam itu dianggap sebagai cubaan menjejaskan keistimewaan Islam dalam sistem pentadbiran negara.

“Kita nampak bahawa hak agama dalam Perkara 3(1), hak agama Islam sebagai agama negara ni nampaknya dah diceroboh dan mula nak dihapuskan keistimewaan ini.

“Keistimewaan raja-raja sebagai penaung keistimewaan agama ini sebagai agama negara mula nak diceroboh,” tambahnya.

Selain itu, Ustaz Masridzi turut menyatakan bahawa cadangan tersebut boleh membuka ruang kepada penyebaran agama lain kepada umat Islam, yang bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan Chow Yu Hui berpotensi membuka ruang kepada unsur-unsur yang boleh mengganggu keharmonian agama serta memberi kesan kepada kestabilan dan keamanan dalam negara kita.

“Cadangan beliau ini telah menimbulkan ketegangan dan kekeliruan dalam masyarakat terutama apabila melibatkan isu berkaitan pentadbiran agama yang sensitif.

“Saya dan kami semua berpandangan bahawa kenyataan beliau perlu disiasat kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam serta mencetuskan ketidakharmonian antara kaum dan agama di dalam negara kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, SKAN menurutnya menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Chow Yu Hui di bawah undang-undang berkaitan, termasuk Akta Hasutan 1948, sekiranya terdapat unsur yang boleh mengancam keharmonian negara.

“Kami membantah sekeras-kerasnya cadangan ini kerana ia bercanggah dengan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga menyeru pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerajaan Malaysia, serta Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“(Ia) agar dapat menghentikan segera segala gangguan dan campur tangan serta kekacauan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin DAP, pemimpin bukan-Islam termasuklah MP Raub, Chow Yu Hui.

“(Dia) biadab dan keterlaluan menyakiti, menimbulkan kemarahan dan keresahan kepada rakyat Islam dalam negara ini akibat campur tangan mereka kepada peranan dan fungsi institusi agama seperti JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“(Juga) Jabatan Mufti, Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam serta lain-lain agensi yang berkaitan dengan agama Islam dalam negara ini,” tegasnya memaklumkan telah memulakan tindakan dengan membuat sebelas laporan polis. 

– HARAKAHDAILY 15/2/2025

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-