Saturday, February 8, 2025

Peguam selar Hannah Yeoh beri alasan 'kaitan tugas' guna aset kerajaan hadir saman fitnah

MalaysiaNow
Februari 8, 2025 

Dua peguam mempersoalkan alasan menteri belia dan sukan itu yang menjadi sasaran kritikan kerana hadir di mahkamah dengan kenderaan rasmi dan ditemani 'bodyguard'.
Hannah Yeoh mempertahankan penggunaan kenderaan rasmi dan pengawal yang disediakan kepada beliau sebagai menteri untuk hadir bicara saman fitnahnya.

Dua orang peguam tampil mempersoalkan alasan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh selepas beliau dikritik kerana menggunakan kemudahan kerajaan untuk menghadiri perbicaraan saman fitnahnya terhadap seorang pensyarah, menyifatkannya tidak masuk akal.

Haniff Khatri Abdulla berkata Yeoh bukan sahaja memberi alasan yang tidak munasabah tetapi juga bersikap berdolak dalik dalam perkara yang tidak boleh dijustifikasikan.

Haniff Khatri Abdulla
Ujarnya lagi, saman fitnah yang mengheret pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff itu dikemukakan atas kapasiti individu, bukan sebagai seorang menteri.

"Hannah Yeoh yang saman Kamarul, bukan pensyarah itu yang saman dia. Dia saman atas kapasiti peribadi dia kerana (Kamarul) dikatakan menjatuhkan maruah atau nama baik dia kerana memfitnah.

"Jika alasan yang diberikan adalah penggunaan kenderaan dan pengawal keselamatan rasmi kerana dakwaan Kamarul berkaitan dengan tugasnya, maka itu adalah alasan yang tidak boleh diterima akal," katanya kepada MalaysiaNow.

Yeoh, yang akhir-akhir ini tidak lekang dengan pelbagai kontroversi, menjadi sasaran kritikan sekali lagi selepas pendedahan saluran Telegram "Edisi Siasat" tentang kehadiran beliau di mahkamah untuk mengikuti kes samannya.

Ahli Parlimen DAP itu bagaimanapun menolak kritikan orang ramai yang mempersoal penggunaan aset kerajaan untuk hadir ke mahkamah, sambil berkata tuduhan Kamarul yang menjadi intipati saman fitnah tersebut ada kaitan dengan tugasnya sebagai menteri.

Haniff tidak bersetuju dengan pendirian tersebut.

Menurut pemahamannya dalam kes tersebut, Kamarul membuat ulasan berdasarkan buku "Becoming Hannah: A Personal Journey" karangan Yeoh yang menyatakan niatnya untuk menyebarkan ajaran Kristian.

"Jadi apabila dia (Yeoh) masuk arena politik, menurut buku itu dalam pemahaman Kamarul, dia nak gunakan kedudukan politiknya untuk sebarkan agama Kristian.

"Kamarul tidak menyentuh secara khusus kedudukan Yeoh sebagai menteri sebaliknya kedudukan peribadi atau hasrat peribadi Yeoh untuk gunakan kedudukan politik bagi sebar agama.

"Ini dua perkara yang berbeza. Itu satu alasan yang tidak menjadi justifikasi yang sah."

Haniff turut meluahkan kebimbangan terhadap dakwaan Edisi Siasat bahawa Yeoh menggunakan pegawai-pegawai kementerian untuk hadir ke mahkamah termasuk membuat catatan mengenai perbicaraan tersebut.

Menurutnya, perbuatan itu sekiranya benar jauh lebih serius berbanding penggunaan kenderaan dan pengawal keselamatan rasmi, sekiranya dakwaan tersebut benar-benar berlaku.

Haniff berkata penggunaan kemudahan kerajaan seperti kenderaan rasmi dan pengawal peribadi tidak pernah menjadi persoalan undang-undang kerana menteri sememangnya diberikan kemudahan tersebut sepanjang masa.

Bagaimanapun, katanya persoalan utama adalah melibatkan moral seseorang menteri dalam mengguna pakai kemudahan tersebut di luar waktu tugas-tugas rasmi.

"Walaupun dia kata keluar dan masuk ('on and off') mahkamah, adakah itu menjustifikasikan secara moral untuk menggunakan kenderaan dan pengawal keselataman dalam urusan rasmi?"

Ujarnya lagi, pemimpin Pakatan Harapan yang sering mengingatkan ahli politik agar menunjukkan teladan yang baik termasuk tidak menyalahgunakan aset kerajaan, harus mengotakan kata-kata mereka sendiri dan tidak menggunakan alasan yang tidak munasabah untuk membenarkan tindakan masing-masing.

"Dari segi moral, anda mesti 'walk the talk', buat apa yang anda sendiri katakan."

'Kalau menang, siapa diberi pampasan?'
Sasha Lyna Abdul Latif.
Seorang peguam dari Bersatu turut menyelar alasan Yeoh yang menyatakan perbicaraan kes saman fitnah itu mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai menteri, sambil menyifatkannya salah dan mengelirukan orang ramai.

Sasha Lyna Abdul Latiff berkata Yeoh yang pernah menjadi pengamal undang-undang seharusnya lebih peka terhadap perkara itu sebelum membuat justifikasi yang cuba melibatkan nama kementerian tersebut dalam urusan peribadinya.

"Sekiranya Yeoh menang kes ini, dia yang akan menerima pampasan secara peribadi.

"Jika dia kalah, maka dia yang akan tanggung dan membayar kos yang tidak ada kaitan langsung dengan kementerian," kata Shasha dari Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu, kepada MalaysiaNow.

Yeoh dalam menafikan dakwaan menyalahgunakan aset kerajaan, turut berkata tugasnya sebagai menteri "langsung tidak terganggu" dengan menghadiri perbicaraan tersebut.

"Itu tidak menjadi isu. Boleh keluar masuk mahkamah dan masih dapat hadir mesyuarat dan temu janji, dan saya masih ke Parlimen," kata Yeoh.

Yeoh memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul atas dua hantaran Facebook yang dimuat naik pada 2017, di mana beliau dituduh cuba menyebarkan ajaran Kristian melalui kerjaya politiknya.

Kamarul turut merujuk buku "Becoming Hannah: A Personal Journey" karangan Yeoh, yang kandungannya mencetuskan perdebatan di media sosial selepas Yeoh tewas dalam satu lagi kes saman fitnah terhadap bekas ketua polis negara, Musa Hassan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-