February 8, 2025
Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani terus mencetuskan kontroversi apabila mesyuarat Kabinet mendahului keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berhubung garis panduan penyertaan umat Islam dalam perayaan agama lain.
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir berkata, perkara ini terbongkar apabila jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Parlimen menyatakan bahawa garis panduan tersebut sepatutnya dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Ke-126 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.
Menurutnya, keputusan ini menimbulkan persoalan besar kerana kelihatan seperti campur tangan langsung dalam urusan agama Islam yang sebelum ini menjadi bidang kuasa negeri dan institusi berkaitan.
“Lebih mengejutkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan bahawa garis panduan tersebut “tidak perlu” kerana umat Islam sudah mengetahui batas mereka dalam menyertai perayaan agama lain.
“Kenyataan ini menimbulkan kekeliruan dan seolah-olah meremehkan peranan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang sekian lama menjadi rujukan dalam isu-isu berkaitan hukum hakam Islam di peringkat persekutuan,” katanya dalam tulisan di media sosial, hari ini.
Muhammad Nazrul Hakim, berkata, tindakan kerajaan menimbulkan beberapa persoalan penting, iaitu apakah Kabinet telah mendahului dan meminggirkan Jawatankuasa Muzakarah MKI dalam menetapkan keputusan berhubung garis panduan ini?
Selain itu, katanya adakah Kabinet telah melanggar bidang kuasa negeri dalam menetapkan bahawa garis panduan agama Islam hanyalah bersifat nasihat dan bukan dasar dan apakah keputusan Jemaah Menteri ini satu langkah untuk mencairkan autoriti institusi Islam di negara ini?
Beliau berkata, walaupun keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI tidak bersifat mengikat kerana perlu melalui Jawatankuasa Fatwa Negeri, menjadi amalan kebiasaan bagi sebarang isu agama di peringkat Persekutuan untuk dirujuk dan dibincangkan di peringkat muzakarah terlebih dahulu.
Justeru itu, katanya tindakan kerajaan dilihat sebagai satu langkah yang tidak menghormati sistem sedia ada dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak kerajaan agar memberikan penjelasan segera mengenai tindakan mendahului keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI dan memastikan urusan agama Islam terus berada di bawah bidang kuasa yang sepatutnya tanpa campur tangan politik keterlaluan.
– HARAKAHDAILY 8/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.