Hariz Mohd
Diterbitkan: Feb 15, 2025 9:00 AM
Pertubuhan masyarakat sivil menggesa kerajaan bersikap telus berhubung draf akhir penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).
Kumpulan terbabit menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus terakhir dengan semua pihak berkepentingan sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata mereka menyambut baik hasrat kerajaan membentangkan rang undang-undang itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini namun menegaskan ia perlu memberikan "fungsi autonomi" kepada badan perundangan.
“… rang undang-undang itu perlu menepati semangat untuk memastikan berlakunya pengasingan kuasa antara eksekutif dan parlimen.
“Ia meliputi kuasa yang bebas kepada parlimen, sumber kewangan yang mencukupi kepada parlimen dari Perbendaharaan, serta pemberdayaan kapasiti untuk mengukuhkan Jawatankusa untuk memastikan Jemaah Menteri / Eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Lebih utama, sebelum pembentangan dibuat, satu sesi khas bersama pemegang taruh harus dilakukan untuk diberikan pandangan kepada draf akhir sebelum pembentangan dilakukan di parlimen,” katanya kepada Malaysiakini.
Faisal turut menegaskan kepentingan PSA dengan menyifatkannya sebagai "ibu kepada reformasi institusi” bagi membolehkan parlimen menjadi badan semak dan imbang institusi penting negara seperti SPR, SPRM dan lain-lain.
Sementara itu, Thomas Fann dari Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) menyenaraikan empat perkara utama yang perlu ada dalam rang undang-undang itu untuk memperkukuhkan PSA.

"Badan pengurusan bebas seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen dan Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat perlu ditubuhkan untuk mengurus kewangan, pentadbiran dan kakitangan parlimen tanpa campur tangan kerajaan.
“Jika PSA baru tidak merangkumi elemen-elemen ini, ia akan menjadi versi yang lemah dan benar-benar gagal memperkasakan parlimen atau menjadikannya lebih bebas,” katanya.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata kerajaan berhasrat membentangkan semula PSA dalam sesi parlimen kali ini.
Dia berkata, ini berdasarkan mesyuarat pra-majlis yang dihadirinya bersama ahli parlimen penyokong kerajaan yang lain dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 2 Feb lalu.
Kerajaan berjanji membentangkan semula PSA tahun lalu, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata proses penggubalannya telah "90 peratus disiapkan."
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali digubal pada tahun 1963, beberapa bulan sebelum penubuhan Malaysia.
Ia membolehkan parlimen berfungsi sebagai badan yang benar-benar bebas, menguruskan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya.
Bagaimanapun, ia dimansuhkan pada tahun 1992 dan kini diletakkan sebagai agenda reformasi utama di bawah pentadbiran sekarang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.