Saturday, February 15, 2025

Gangguan bekalan air: LRA Bukit Temoh kini beroperasi 75 peratus

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 15, 2025 9:34 AM
Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh kini beroperasi pada kapasiti 75 peratus selepas pengoperasian semula saluran paip air mentah bersaiz 825 milimeter (mm) dari muka sauk Batu 7 yang membolehkan peningkatan bekalan air mentah ke situ.

Lembaga Air Perak (LAP) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, ekoran peningkatan aliran air mentah ke loji itu, situasi bekalan air di kawasan terjejas akan terus menunjukkan pemulihan positif dan masih dipantau dari semasa ke semasa.

"Masih akan ada kawasan yang mungkin menghadapi tekanan rendah disebabkan sistem bekalan air ini belum pulih sepenuhnya kerana operasi loji belum mencapai 100 peratus," katanya.

LAP memaklumkan status bekalan air di kawasan Tapah dan Bidor mencatatkan 90 peratus pemulihan namun Kampung Coldstream dan Kuala Bikam masih mengalami tekanan air rendah.

Tambah LAP, status bekalan air di kawasan Hilir Perak mencatatkan 55 peratus pemulihan dengan kawasan yang masih mengalami gangguan ialah Sungai Manik, Kampung Sungai Tukang Sidin, Kampung Sungai Air Deras Langkap, Kampung Pematang Sungai Manik, Kampung Pengkalan Daun, Kampung Pematang Pelanduk, Kampung Orang Asli Redang Ponggor, Taman KPJ, Taman Orkid Jalan Bidor Teluk Intan dan Kampung Changkat Jong.

"Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dengan penambahan bekalan air mentah ke loji," katanya.

Selain itu LAP memaklumkan, status kerja tambakan tanah di Taman Bunga Raya mencapai 70 peratus dengan tumpuan diberi kepada penstabilan struktur tanah.

Status kerja pemasangan paip baru pula, tambah LAP, berada pada tahap lima peratus.

"Pemasangan paip baharu masih di peringkat awal dan dijangka mengambil masa beberapa minggu lagi sebelum siap sepenuhnya," kata LAP.

Justeru, LAP menasihatkan pengguna menggunakan air secara berhemah sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Semalam, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, memaklumkan beberapa kawasan terjejas di Batang Padang dan Hilir Perak akibat gangguan bekalan air susulan kebocoran paip bawah tanah milik LAP kembali pulih.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-