Friday, February 14, 2025

Persatuan pengguna berang harga santan naik, ‘tak usah reka alasan’

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Feb 14, 2025 10:00 AM
Persatuan pengguna berang dengan alasan-alasan diberikan berkaitan jangkaan kenaikan harga santan menjelang Ramadan awal bulan depan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayangkan jangkaan-jangkaan itu sengaja dibuat bagi menyediakan minda orang ramai ketika kenaikan benar-benar berlaku.

“Berita-berita (kenaikan harga) ini seolah-olah memberikan isyarat awal pasti akan berlaku kenaikan.

“Jadi, orang ramai atau pun pengguna akan terima dan redalah sebab penghujungnya sebagai pengguna ialah kita, sama ada pengguna Melayu, India atau Cina, seolah-olah tidak ada pilihan,” kata setiausaha agungnya Maamor Osman.
Maamor Osman
Dia juga mendakwa alasan peningkatan permintaan dan kekurangan penawaran itu cuma rekaan.

Media sebelum ini melaporkan harga santan di beberapa negeri dijangka terus meningkat kepada RM20 sekilogram menjelang Ramadan berikutan bekalan kelapa masih berkurangan.

Situasi itu juga dilaporkan berlaku sejak awal Disember lalu yang menyebabkan harga santan pada asalnya sekitar RM9 hingga RM10 sekilogram meningkat kepada RM17 hingga RM18.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Maamor berkata isu kekurangan bekalan bukan perkara baru dan ia sepatutnya diuruskan lebih awal oleh pihak bertanggungjawab.

“Mereka sepatutnya dah tahu tarikh setiap perayaan di negara ini.

“Jadi, tak ada alasan barangan keperluan terbabit berkurangan,” katanya.

Maamor berkata tiada sebab bekalan berkurangan kerana Malaysia dan negara pengimport serantau seperti Indonesia tidak dilanda sebarang bencana alam.

Dia juga menyatakan kebimbangan dengan alasan kekurangan bekalan dalam pasaran.

Katanya, perkara itu hanya akan menggalakkan aktiviti menyorok barang.

“Tunggu harga naik (baru) mereka lambakkan dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesahkan harga santan segar menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan ini.

Setiausaha agungnya Saravanan Thambirajah berkata pada November 2024, harga santan segar dijual antara RM14 hingga RM20 sekilogram.

Pada Januari tahun ini pula, katanya, harga kelapa mencapai RM2.80 sebiji berbanding RM1.80 pada September tahun sebelumnya, yang turut mempengaruhi harga santan.
Saravanan Thambirajah
Menurutnya kenaikan harga itu juga disebabkan beberapa faktor, termasuk kekurangan bekalan kelapa tempatan akibat faktor cuaca dan pengeluaran yang tidak mencukupi.

“Kebergantungan kepada import dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand turut menjejaskan harga, terutama apabila kos pengimportan meningkat.

“Selain itu, permintaan tinggi menjelang Ramadhan juga menyebabkan lonjakan harga di pasaran,” katanya.

Import segera, kata Fomca

Fomca justeru menggesa kerajaan segera mengimport kelapa bagi menangani kekurangan bekalan dan menstabilkan harga di pasaran.

Langkah ini, katanya, penting untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga yang terlalu tinggi, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil.

“Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipercepatkan, termasuk memberi insentif kepada petani untuk menanam lebih banyak kelapa dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.
Fomca juga menyarankan agar kawalan harga diperketat bagi mengelakkan spekulasi yang tidak munasabah.

“Pihak kerajaan perlu memastikan rantaian bekalan lebih efisien dengan mengurangkan peranan orang tengah yang boleh menyebabkan kenaikan harga yang tidak terkawal.

“Di samping itu, pengguna boleh mencari alternatif lain dalam masakan yang tidak memerlukan santan atau menggunakan produk pengganti yang lebih murah, sekiranya kenaikan harga ini berterusan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-