Thursday, February 13, 2025

Kelantan buka kilang beras di Pasir Mas, dijangka beroperasi tahun ini

bharian.com.my
Oleh BERNAMA 
- Februari 13, 2025 @ 10:14pm
Kilang Beras Darul Naim akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi padi pesawah-pesawah tempatan - NSTP/WAN NABIL NASIR

MACHANG: Kilang Beras Darul Naim yang akan dibuka di negeri ini dijangka memperkukuh bekalan beras negara selain menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kilang itu akan dibuka di Meranti, Pasir Mas bagi menyokong pengusaha padi tempatan dan memastikan hasil padi dapat dikilangkan sendiri di negeri ini.

"Pembukaan kilang beras ini adalah usaha untuk membantu pesawah-pesawah di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memacu Kehidupan Selamat Tahun Baharu Cina, di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini hari ini.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kilang Beras Darul Naim dibina berkonsepkan kerjasama dengan pelabur luar dan agensi negeri ini.

Menurutnya, kilang berkenaan hampir siap dan sedang menunggu kelulusan untuk beroperasi, dijangka tahun ini.

"Kilang ini akan membeli hasil padi daripada pesawah-pesawah tempatan dengan harga yang baik dan kita akan menghasilkan beras untuk negara.

"Apabila kilang ini dibuka, ia akan menjimatkan kos dan membantu meningkatkan ekonomi padi pesawah-pesawah tempatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Yayasan PETRONAS dalam program hari ini menyantuni 100 keluarga dari Kota Bharu dan Machang dengan pemberian sumbangan berupa bekalan makanan asas.

Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli, berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha yayasan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, Yayasan PETRONAS menyasarkan sumbangan kepada 2,100 keluarga di seluruh Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM420,000.

"Di Kelantan, 100 keluarga telah terpilih bagi menerima manfaat ini dan Yayasan PETRONAS komited untuk terus melaksanakan program kemasyarakatan melalui tiga teras utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti serta alam sekitar," katanya ketika berucap pada majlis itu.

-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-