Monday, February 17, 2025

Tanda di dahi: Rayer dakwa kenyataan Mufti Perlis hina penganut Hindu

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Feb 17, 2025 4:37 PM
PARLIMEN | Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengakui berasa terhina dengan kenyataan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang menyentuh mengenai abu suci yang disapu didahinya sebagai penganut agama Hindu.

Rayer berkata, dia tidak tahu mengapa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadapnya.

Menurutnya, dalam sidang medianya sebelum ini, dia hanya membangkitkan mengenai isu kebenaran untuk pendakwah kontroversi, Zakir Naik berceramah di Perlis dan tidak sama sekali menghina Mufti Perlis mahupun Zakir sendiri.

"Saya secara peribadi sebagai penganut agama Hindu yang letak abu suci merasakan satu penghinaan, banyak sangat respon saya terima (daripada penganut Hindu).

"Saya tanya dia (Mohd Asri) kenapa dia keluarkan kenyataan begitu. Saya tak hina sesiapa, saya tak hina Dr Maza, saya tak hina Zakir.

"Saya hanya tanya apakah Zakir Naik sudah boleh bagi ucapan, sebab itu tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen untuk bertanya bila saya tahu ada larangan (Zakir berucap)," katanya dalam sidang media di parlimen, hari ini.

Pada 6 Feb lalu, Mohd Asri menyatakan kesediaannya untuk “bertempur” dengan seorang anggota parlimen DAP yang dilihatnya begitu lantang mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkannya.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk Zakir.

Rayer sebelum ini mempertikaikan kemunculan semula Zakir, yang kini diburu pihak berkuasa dan dilarang berceramah di negara ini.

Dalam video di saluran YouTube rasminya, Mohd Asri berkata Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk ke majlisnya, sama seperti dia tidak pernah mempersoalkan ahli parlimen DAP itu apa yang dicalit di dahinya dan mengapa dia melakukannya.

“Seperti mana saya tidak bertanya apa bahan digunakan untuk menyapu dahinya dan kenapa dia menyapu dahinya, demikian dia tidak perlu bertanya saya siapa yang ingin saya jemput," kata Mohd Asri.

Mufti itu merujuk kepada "vibhuti", yang biasanya disapu oleh penganut Hindu di dahi mereka.

Pada Ogos 2019, polis mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri bagi melarang Zakir daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.
Larangan itu dikuatkuasakan selepas Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai orang Hindu dan Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos 2019.

Terdahulu, tujuh negeri melarang ceramah Zakir, iaitu Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Sementara itu, Rayer mempersoalkan apakah Mohd Asri sedia memohon maaf setelah mengeluarkan kenyataan menghina itu seperti mana langkah diambil seorang penjual jagung di Kota Warisan, Selangor.
Ia merujuk tindakan peniaga berkenaan yang memohon maaf selepas menampal notis berbaur perkauman terhadap masyarakat India di gerainya baru-baru ini.

"Soalan saya kepada Maza kenapa dia berkata begitu, adakah Maza sedia memohon maaf. Saya cukup menghormati Maza.

"(Tapi) Saya tak tahu kenapa Maza respon begitu, amat dukacita, hampa," kata Rayer.

Dalam pada itu Rayer menegaskan dia memahami serta menghormati kedudukan Islam dan Raja-raja Melayu yang menjadi payung kepada negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-