Februari 17, 2025 4:49 petang
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mendapati kesalahan dilakukan Afdlin Shauki selepas meneliti dokumen dibekalkan DBKL.
Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki dilantik ahli lembaga pengarah DBKL beberapa bulan selepas Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil pendirian tidak berlaku kesalahan berhubung projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai berjuta ringgit yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah Afdlin Shauki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata penelitian dokumen yang dibekalkan DBKL mendapati tiada salah laku oleh Afdlin.
Hasil semakan dokumen yang dibekalkan oleh pihak DBKL pada 7 Februari 2025 mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam pelaksanaan projek Penerbitan Kandungan Dan Siaran Studio Dan Konti Radio Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bernilai RM4 juta," Azam memberitahu MalaysiaNow.
Bagaimanapun, beliau berkata SPRM mendapati "beberapa kelemahan" berhubung tatakelola pada garis panduan DBKL, sambil menambah "siasatan tatakelola" masih dijalankan melibatkan pembayaran kepada pihak tertentu.
Keputusan SPRM itu berkemungkinan akan mencetuskan lebih banyak kritikan terhadap badan antirasuah itu, yang sebelum ini berdepan kecaman kerana membenarkan DBKL menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu.
Pengkritik berkata ia berbeza dengan amalan SPRM sebelum ini, apabila beberapa pegawai majlis perbandaran yang dituduh rasuah telah diberkas tanpa menunggu siasatan dalaman.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Azam sebelum ini berkata kes melibatkan Afdlin itu akan dirujuk kepada SPRM sekiranya siasatan DBKL mendapati unsur rasuah atau salah guna kuasa, sambil menambah pegawai integriti SPRM yang ditemaptkan di DBKL turut terlibat dalam siasatan."Sekiranya terdapat unsur rasuah, atau salah guna kuasa di bawah Akta Pencegahan Rasuah, maka SPRM akan menjalankan siasatan," katanya kepada MalaysiaNow awal bulan ini.
DBKL merupakan agensi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Dakwaan terhadap Afdlin pertama kali muncul dalam Edisi Siasat, saluran Telegram yang sangat popular khusus dalam pendedahan rasuah yang melibatkan agensi kerajaan dan orang yang berkuasa.
Hantaran Telegram itu mendakwa Afdlin melanggar prosedur perolehan dalam projek pembinaan studio dan konti radio bernilai RM7 juta, sebelum ia dibatalkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif.
Ia juga mendakwa projek-projek itu diketahui setiausaha politik Anwar, Azman Abidin. Azman bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Menurut hantaran itu lagi, Kelab Sukan dan Kebajikan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (KSKYWP), iaitu yayasan yang tertakluk di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri, telah menyalurkan kontrak DBKL bernilai RM4 juta untuk penerbitan bahan kreatif kepada syarikat milik "kroni".
Katanya, kontrak untuk penghasilan video bagi saluran TikTok "Friends of DBKL" tidak melalui proses tender yang betul, sambil menambah seorang podcaster terkemuka masih berhutang lebih 100 klip kepada DBKL.
Dalam reaksinya, Afdlin mendakwa beliau menjadi sasaran "agenda pihak yang didorong hasad dengki".
"Ini merupakan satu usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat," kata, yang merupakan antara segelintir tokoh industri hiburan yang menyertai PKR pimpinan Anwar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.