Saturday, February 22, 2025

URA: ‘Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah’

harakahdaily.net
February 22, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menegaskan bantahan terhadap Akta Pembangunan Semula Bandar (Urban Renewal Act – URA) yang dijangka diperkenalkan kerajaan, dengan menyifatkannya sebagai ancaman kepada hak rakyat, khususnya golongan B40 dan penduduk asal bandar.

Ketua Penerangan DMPM, Dr. Najihatussalehah Ahmad berkata, akta itu membuka ruang kepada pengambilan tanah secara tidak adil atas nama pembangunan semula, sekali gus menyebabkan penduduk yang menetap sekian lama kehilangan kediaman mereka tanpa pampasan setimpal atau penempatan semula yang adil.

“Hal ini boleh menyebabkan ketidaktentuan hidup dan mengancam kesejahteraan keluarga yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembangunan tidak seharusnya mengorbankan hak pemilikan rakyat atau mengetepikan aspek keadilan sosial, sebaliknya perlu memastikan penduduk sedia ada tidak menjadi mangsa kerakusan pemaju yang hanya mementingkan keuntungan.

Sehubungan itu, DMPM tegasnya menggesa kerajaan meneliti semula perancangan akta berkenaan dengan mengadakan sesi libat urus menyeluruh bersama masyarakat awam, pakar perundangan dan pihak berkepentingan.

“Kami menyeru agar dasar pembangunan negara lebih berpaksikan kepada prinsip keadilan, kesejahteraan rakyat, dan kelestarian kehidupan bandar,” katanya.

Dalam pada itu, DMPM jelasnya turut menyatakan sokongan penuh terhadap himpunan yang diadakan baru-baru ini di hadapan Parlimen sebagai tanda solidariti rakyat dalam membantah URA.

“Kami percaya bahawa suara rakyat perlu didengari dan dihormati dalam setiap keputusan dasar yang melibatkan hak dan kesejahteraan mereka. Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa DMPM akan terus memperjuangkan hak rakyat agar tidak teraniaya dalam arus pembangunan yang tidak mengambil kira keperluan dan kesejahteraan mereka. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-