Showing posts with label Jabatan Bomba dan Penyelamat. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Bomba dan Penyelamat. Show all posts

Friday, September 15, 2017

Kebakaran maahad tahfiz ke-212 bagi tempoh 2015 - 2017

 MALAYSIA DATELINE14 September 2017
Tragedi kebakaran di sekolah-sekolah agama dan tahfiz yang sering berulang perlu diatasi segera memandangkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sejumlah 211 kebakaran membabitkan pusat pengajian tahfiz berlaku di seluruh negara di antara tahun 2015-2017.

Malah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah kes kebakaran yang ke-212 dengan meragut 25 nyawa.

Sehubungan itu, Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan media mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi bantuan menguruskan jenazah mangsa yang terlibat serta kaunseling kepada keluarga mangsa dan para pelajar yang terselamat.

Beliau turut menyambut baik kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk memeriksa kesemua pusat-pusat pengajian tahfiz dan sekolah-sekolah agama di Selangor demi memastikan piawaian 'amalan terbaik' keselamatan dan kesihatan dipatuhi.

"Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar dan 2 orang warden adalah sebuah tragedi yang amat memilukan dan menyayat hati. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

"Saya telah mengunjungi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan diberi taklimat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Asyraf Wajdi," ujarnya.

Dr Wan Azizah menambah, kini bukanlah masa untuk menuding jari mencari salah dan silap malah setiap pihak perlu bersama menghulurkan tangan memberi bantuan dan sokongan kepada waris mangsa serta para pelajar yang terselamat.

"Kita harus bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berulang kembali di negara ini.

"Marilah kita bersama-sama berdoa agar keluarga mangsa dan warga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi musibah ini. Semoga roh para pelajar dan warden yang terkorban diberi keampunan, kerahmatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT," ujarnya.

Thursday, September 14, 2017

Kebakaran pusat tahfiz bukan kerana litar pintas - Bomba

Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini bukan berpunca daripada litar pintas.

KUALA LUMPUR - Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini bukan berpunca daripada litar pintas, kata Pengarahnya, Khirudin Drahman.

Beliau berkata, hasil siasatan Unit Forensik dan Suruhanjaya Tenaga mengesahkan keadaan litar elektrik pada suis utama bangunan pusat tahfiz itu adalah di dalam keadaan baik.

"Kita dapati cara api merebak agak pelik dan luar daripada kebiasaan dengan kadar api merebak adalah sangat cepat dan besar. Biasanya, jika disebabkan litar pintas, kotak fius utama akan 'tendang' dan ambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk api marak dan merebak.

"Berdasarkan maklumat mangsa yang selamat (saksi), kebakaran itu bermula dari luar bahagian pintu asrama itu yang menyebabkan mereka terperangkap. Tambahan pula ada dua tong gas di situ yang mungkin menjadi punca api lagi besar dan cepat merebak," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Khirudin berkata, pihaknya percaya terdapat unsur lain dari luar bangunan yang menyebabkan kebakaran tersebut berlaku dan siasatan terperinci berpandukan ujian makmal sedang dijalankan.

"Biasanya kalau api bermula dari bahagian dalam, bilangan yang terkorban tidak ramai kerana mereka masih boleh keluar. Saksi beritahu mereka berusaha nak keluar tetapi api dah marak di luar pintu, sebab itu mereka terperangkap," katanya.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tahfiz itu terkorban dalam kebakaran pada 5.15 pagi tadi. 

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-