Showing posts with label Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Show all posts
Showing posts with label Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Show all posts

Thursday, March 13, 2025

CUEPACS mohon kerajaan beri bantuan khas Aidilfitri

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid 
suzalina@bh.com.my
- Mac 13, 2025 @ 5:32pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan supaya menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata pemberian BKK penting bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Beliau berkata, apatah lagi sambutan Aidilfitri sering membabitkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga, serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik. Kami memahami penjawat awam baharu sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan.

"Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.

Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.

Pada masa sama, Adnan berkata, BKK bukan sahaja dinanti-nantikan penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.

Beliau berkata, apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan, serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan.

"Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

"Oleh itu, kami percaya kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.

"CUEPACS amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab," katanya.

Saturday, September 14, 2024

Pegawai tolak opsyen SSPA tidak nikmati pelarasan gaji

bharian.com.my
BERNAMA
- September 14, 2024 @ 11:34am

Foto hiasan - FAIL NSTP

KUALA LUMPUR: Pegawai yang menolak opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tidak layak menerima pelarasan gaji yang akan dilaksanakan secara berperingkat pada 1 Disember tahun ini bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mereka yang turut tidak layak menerima pelarasan gaji ialah pegawai yang tidak lagi berkhidmat pada 1 Disember 2024 atau 1 Januari 2026.

Menurut pekeliling itu, pegawai yang layak menerima pelarasan gaji bagi Fasa 1 ialah pegawai yang dilantik sebelum 1 Disember tahun ini dan sedang berkhidmat pada tarikh sama atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Disember 2024.

"Bagi Fasa 2 pula, pegawai yang dilantik sebelum 1 Januari 2026 dan sedang berkhidmat pada 1 Januari 2026 atau pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada 1 Januari 2026," menurut pekeliling yang disiarkan menerusi laman sesawang JPA.

Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus diberi secara berfasa kepada kumpulan perkhidmatan iaitu pengurusan dan profesional serta pelaksana dengan lapan peratus atau minimum RM240 bagi Fasa 1 manakala tujuh peratus bagi Fasa 2.

Mengenai kaedah dan prinsip pelarasan gaji bagi Fasa 1, pekeliling itu memaklumkan pegawai dengan gaji RM3,000 ke atas diberi pelarasan gaji sebanyak lapan peratus atau pegawai dengan gaji RM3,000 dan ke bawah diberi pelarasan gaji sebanyak RM240.

"Sekiranya gaji pegawai setelah diberi pelarasan gaji adalah di bawah daripada Gaji Permulaan Terendah (GPT) atau gaji permulaan skim perkhidmatan di bawah SSPA, gaji pegawai akan dipindah ke amaun GPT atau gaji permulaan skim perkhidmatan berkenaan.

Bagi pegawai yang menerima opsyen SSPA tetapi belum memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA, gaji pegawai tertakluk kepada struktur gaji yang berkuat kuasa di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM).

"Selain itu, gaji pegawai akan dipindah berdasarkan skim perkhidmatan dan struktur gaji di bawah SSPA, sehari selepas pegawai memenuhi syarat pertukaran pelantikan di bawah SSPA," menurut pekeliling itu.

Pemberian pelarasan gaji bagi Fasa 2 SSPA adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2025 ditambah dengan kadar tujuh peratus pada 1 Januari 2026.

"Pegawai yang tarikh pergerakan gaji adalah pada 1 Januari 2026, pelarasan gaji hendaklah diberi terlebih dahulu dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan (PGT), tertakluk kepada keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia," katanya.

Sementara itu, pekeliling berkenaan menggariskan dua pemberian kemudahan baharu di bawah SSPA bagi memelihara kesejahteraan pegawai dengan mengimbangi kehidupan dan keperluan tugas.

Ia membabitkan pemberian kemudahan vaksin kepada pegawai yang diarahkan oleh ketua jabatan untuk mengambil vaksin atas sebab keperluan perkhidmatan atau keperluan melaksanakan tugas dengan jenis vaksin dan kadar pemberian adalah berdasarkan sokongan Kementerian Kesihatan.

Selain itu, pengwujudan Cuti Tanpa Rekod (CTR) Kelompok yang lebih fleksibel, dengan bilangan hari maksimum 20 hari setahun kalendar adalah gabungan 13 CTR sedia ada dengan tujuh CTR baharu.

"Pegawai boleh mengambil mana-mana jenis CTR Kelompok mengikut syarat ditetapkan dan mengatur bilangan hari CTR yang diambil mengikut keperluan pegawai tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan," menurut pekeliling berkenaan.

Untuk makluman lanjut, boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling.

 – BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-