Oleh Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my
- Mac 13, 2025 @ 5:32pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan supaya menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata pemberian BKK penting bagi meringankan beban perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Beliau berkata, apatah lagi sambutan Aidilfitri sering membabitkan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga, serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak yang semakin meningkat.
"Dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi, bantuan khas ini akan sedikit sebanyak membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan mereka dengan lebih baik. Kami memahami penjawat awam baharu sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan.
"Namun, tradisi pemberian BKK setiap kali menjelang Aidilfitri adalah satu inisiatif yang amat dihargai dan dinanti penjawat awam bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan," katanya melalui kenyataan, hari ini.
Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.
Pada masa sama, Adnan berkata, BKK bukan sahaja dinanti-nantikan penjawat awam, tetapi juga memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang turut bergantung kepada lebihan wang daripada bantuan ini untuk meningkatkan hasil jualan mereka.
Beliau berkata, apabila penjawat awam mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja, kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan, serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat menjelang perayaan.
"Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.
"Oleh itu, kami percaya kerajaan akan terus mengambil kira kepentingan dan kebajikan penjawat awam dengan mempertimbangkan pemberian BKK Aidilfitri pada tahun ini sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.
"CUEPACS amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.