Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Sunday, June 18, 2023

Jangan noktahkan sejarah pajakan P Pinang secara melulu, titah Sultan Kedah

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
18 Jun 2023

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah tidak wajar suara rakyat Kedah berkisar sejarah dan kedaulatannya didiamkan.
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, hakikat tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan harapan isu sejarah Kedah melibatkan pajakan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.

Titah baginda, hakikat tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

“Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform. Rakyat dari segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah Kedah khususnya berhubung kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada hemat beta, perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu,” titahnya memetik Kosmo.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Titahnya, walau bagaimanapun perbincangan mengenai perkara itu perlu disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.

“Hal ini adalah kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara,” titahnya.

Sultan Sallehuddin bertitah, sejarah tidak dapat dipisahkan daripada peradaban sesebuah bangsa apatah lagi Kedah yang mempunyai sejarah amat panjang sejak berkurun lamanya.

“Dalam tempoh melayari peradaban dari satu zaman ke satu zaman, kita menyaksikan Kedah melalui berbagai peristiwa peperangan, persahabatan, rundingan dan perjanjian dimeterai.

“Ekoran daripada rentetan sejarah tersebut serta hasil daripada persetujuan negeri-negeri maka tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia. Bagi mentadbir Malaysia, sebuah kerajaan di peringkat Pusat iaitu Kerajaan Persekutuan ditubuhkan dengan kerajaan-kerajaan sedia ada di peringkat negeri dikekalkan.

“Kuasa yang dinikmati oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini adalah hasil daripada pemberian yang diberikan oleh negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dimeterai pada tanggal 5 Ogos 1957,” titahnya.

Tambah baginda, tidak wajar bagi mendiamkan suara rakyat di negeri ini berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah itu.

Tuesday, July 31, 2018

Pengganas Komunis Bukan Pejuang Kemerdekaan – Pakar Sejarah

 Abdul Mursyid Zainuddin
July 31, 2018

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan


KANGAR – Generasi muda khususnya para aktivis perlu sedar bahawa komunis bukannya pejuang kemerdekaan sebaliknya sebuah gerakan dari China dan Vietnam yang datang ke Tanah Melayu untuk menyebarkan ideologi mereka.

Pakar sejarah yang juga penulis buku teks Sejarah Tingkatan Tiga dan Lima, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam (gambar) berkata, me­re­ka yang benar-benar pejuang pada masa itu ialah askar Melayu, polis serta anggota kese­lamatan lain untuk memerangi komunis.

Katanya, ideologi ko­­munis yang dibawa masuk dan cuba di­se­barkan di seluruh negeri jelas te­lah ditolak oleh British dan orang Melayu pada masa itu.

“Hari ini, generasi muda terutama yang ingin menjadi aktivis sama ada dia tidak tahu sejarah atau tidak pernah belajar sejarah perlu mengetahui dan baca mengenai sejarah ini. Sejarah yang berlaku tidak boleh diubah.

“Tidak kisahlah soal hari ini mereka hendak jadi liberal atau apa-apa sekalipun, ja­ngan kacau sejarah. Sejarah khususnya buku teks telah ditulis oleh individu yang membuat kajian serta mahir yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.

“Ia bukan isu politik tetapi sejarah sebenar yang berlaku pada masa lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai forum bertajuk Perlukah Kita Menulis Semula Buku Teks? yang dianjurkan Imagined Malaysia bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah itu.

Menurut aktivis PH, Fadiah Nad­wa Fikri, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dia yang juga seorang peguam dilaporkan berkata, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.

Mengulas lanjut, Ramlah yang juga Pe­ngarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, buku teks Sejarah yang ditulisnya memasukkan mengenai komunis iaitu berdasarkan peristiwa yang berlaku.

Katanya, buku teks itu ditulis berdasarkan silibus Kementerian Pelajaran yang memasukkan semua kumpulan yang terlibat dalam peristiwa besar bersifat kebangsaan.

“Kita tulis sejarah politik, ekonomi, kerajaan-kerajaan Melayu, tokoh-tokoh dan semua kaum. Malah peristiwa berkaitan komunis juga ditulis dalam buku teks Sejarah iaitu bila kewujudannya, bermula daripada mana, apa perjuangannya, semua ditulis,” katanya.

 – UTUSAN

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-