Tuesday, July 7, 2015

3 akaun dibekukan milik Najib

Published: 7 July 2015 5:11 PM
Sumber mendedahkan, 3 akaun yang dibekukan semalam adalah milik Datuk Seri Najib Razak di mana 2 daripadanya ialah daripada Ambank dan Affin Bank. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 Julai, 2015.

Tiga daripada 6 akaun bank yang dibekukan oleh pasukan petugas khas semalam dimiliki Datuk Seri Najib Razak, ketika siasatan diteruskan terhadap kes wang berbilion ringgit didakwa dipindahkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Sumber mendedahkan kepada The Malaysian Insider, 2 daripada akaun itu ialah daripada Ambank dan Affin Bank.

Pembekuan itu berlaku selepas laporan The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Khamis lepas sejumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) daripada syarikat-syarikat berkaitan 1MDB didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Terdahulu hari ini, satu kenyataan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan pasukan yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu kini membekukan 6 akaun bank dengan perintah pembekuan dikeluarkan semalam.

Menurutnya, pasukan berkenaan turut mengambil dokumen-dokumen berkaitan 17 akaun daripada 2 buah bank bagi membantu siasatan.

Pasukan itu juga mengambil dokumen-dokumen melibatkan isu ketidakpatuhan peraturan-peraturan dan kaedah Bank Negara Malaysia oleh bank terbabit.

Tindakan pihak berkuasa itu dipercayai berkaitan dengan laporan WSJ itu serta laman pemberi maklumat Sarawak Report yang mendedahkan mengenai pemindahan wang berbilion ringgit ke akaun-akaun peribadi Najib.

Pada Sabtu, Gani dilaporkan berkata, pasukan itu sedang meneliti dokumen yang diambil dalam serbuan di premis pejabat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Tiga syarikat itu juga dinamakan oleh WSJ dalam laporannya.

Najib setakat ini menafikan tuduhan itu, mengatakan ia helah politik dirancang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang selama ini berusaha mahu menyingkirkan beliau.

Akhbar terbitan New York itu bagaimanapun bertegas mengatakan laporan mereka dibuat berdasarkan dokumentasi yang kukuh.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/3-akaun-dibekukan-milik-najib#sthash.plPElbAa.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-