Wednesday, July 15, 2015

Adakah Gerakan Harapan Baru ialah cebisan teka teki yang hilang?

oleh Robin Stanley Augustin

KOMEN: Nampak gayanya kita akan mempunyai sebuah parti politik baru tidak lama lagi. Parti baru tersebut, Gerakan Harapan Baru (GHB) dianggotai oleh bekas pemimpin “progresif” PAS yang disingkirkan daripada jawatan kanan PAS oleh pihak “konservatif” dalam muktamar parti bulan lepas.

Adakah GHB akan menjunjung nama besarnya?

Bekas timbalan presiden PAS, Mohammad Sabu, lelaki disebalik penubuhan parti itu, berkata yang parti itu akan berasaskan prinsip inklusif, progresif dan keprihatinan kepada rakyat.

Dia tidak menerangkan secara jelas pendirian GBH tentang hudud, hanya mengatakan bahawa parti itu akan mematuhi prinsip demokrasi berparlimen dan rundingan apabila membincangkan undang-undang Syariah.

Parti itu akan menerima sokongan tokoh terkemuka PAS seperti bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub, Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, MP Sepang Hanipa Maidin, MP Shah Alam Khalid Samad dan bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhd Taib, kesemua mereka akan membentuk jawatankuasa penganjur parti tersebut.
Walaupun barisan parti baru ini dipenuhi oleh bekas pemimpin atasan PAS ia bukan sesuatu yang mengejutkan, persoalan sebenar samada parti ini mampu membawa perkara baru ke dalam lanskap politik Malaysia.

Atau GHB hanya merupakan olahan semula PAS, yang lebih berwajah progresif dan lebih fleksibel?

Tidak seperti PAS, GHB terbuka kepada semua orang, termasuk yang bukan Islam. Tetapi ada perkara yang lebih diperlukan berbanding kepelbagaian kaum, atau dalam kes GHB, parti politik pelbagai agama.

Sukar untuk GHB mengubah tanggapan yang ia bukanlah parti serpihan PAS.

Tambahan pula, parti itu dibentuk sebagai ganti PAS bagi pakatan baru pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat 2.0, dan ia hanya menjadi kenyataan selepas kelompok progresif disingkirkan secara besar-besaran oleh PAS. Banyak parti politik- termasuk daripada BN dan pembangkang yang melaung-laungkan prinsip inklusif untuk semua, tetapi hanya beberapa yang benar-benar inklusif.

Untuk masa sekarang, nampaknya ada kemungkinan besar yang GHB akan mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat baru bersama-sama DAP dan PKR.

Adakah ini yang diperlukan untuk membentuk pembangkang yang kuat dan berdaya saing?

Ketika orang seperti Mujahid, Khalid, Dzulkefly dan ramai lagi dalam jawatankuasa penganjur tidak akan berdepan masalah meraih undi daripada orang Islam dan bukan Islam di kawasan bandar, GHB mungkin berdepan cabaran sukar di kawasan pendalaman, yang merupakan kubu kuat PAS dan Umno.

Untuk kumpulan yang melaungkan kepimpinan progresif, mengapakah ahli-ahli GHB tidak melihat DAP atau PKR sebagai parti yang sesuai disertai selepas muktamar PAS?

Malah, mengapa tidak sahaja GHB, DAP dan PKR bersatu menjadi sebuah parti?

Jika PKR dan DAP bukanlah parti yang sesuai, apa yang membuatkan GHB merasakan yang mereka akan sentiasa mempunyai pendirian sama dalam isu-isu lain sekiranya matlamat dan nilai mereka berbeza?

Apakah akan terjadi sekiranya mereka mempunyai pandangan berbeza dalam isu tertentu? Adakah pakatan baru ini juga akan hancur seperti Pakatan Rakyat?

Keputusan PAS untuk memutuskan ikatan dengan DAP ialah satu rahmat. Memberikan peluang kepada pakatan pembangkang untuk melakukan sesuatu yang benar-benar radikal, mempertimbangkan secara serius untuk menjadi satu entiti tunggal parti politik yang lebih kukuh.

Mereka sudahpun mempunyai kerangka dasar bersama dan ini boleh menjadi asas untuk mereka bergerak jauh.

Tetapi mungkin jaraknya terlalu jauh. Terutama sekali GHB sendiri tidak dapat menyatakan pendiriannya dalam hudud.

Hakikatnya, semua parti politik perlu menyatakan pendirian mereka dalam semua isu, terutama sekali dalam isu hangat yang boleh memecahkan pakatan mereka.

Rakyat mahukan pilihan politik yang kukuh, bukan yang lebih baik antara dua pilihan yang tidak baik atau barisan alternatif yang tidak kukuh.

Setiap pendirian parti perlu mencerminkan nilai mereka dan yang paling utama, selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Terlalu banyak kerugian bagi parti-parti politik, samada daripada pemerintah atau pembangkang yang menggunakan pendekatan “tunggu dan lihat”, terutama sekali dalam isu penting negara.

Mereka perlu mempunyai pandangan jelas dalam matlamat bersama untuk mentadbir negara.

Disebabkan itulah, masih terlalu awal untuk menentukan nasib GHB. Sangat menarik untuk melihat apakah jalan yang akan dipilih oleh parti itu untuk manfaatnya sendiri dan yang boleh disumbangkan kepada negara dalam jangka masa terdekat ini.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-Gerakan-Harapan-Baru-ialah-cebisan-teka-teki-yang-hilang#sthash.wTnQI401.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-