Showing posts with label Gerakan Harapan Baru (GHB). Show all posts
Showing posts with label Gerakan Harapan Baru (GHB). Show all posts

Saturday, January 2, 2016

Anak Nik Aziz sertai Amanah

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Published: 1 January 2016 11:10 PM
Nama Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diumumkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) pada majlis makan malam Amanah Kelantan yang diadakan di Dewan Sivik Petaling Jaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Januari, 2016.

Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diisytiharkan pada satu majlis malam ini sebagai salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan diumumkan menyertai parti serpihan PAS itu pada majlis makan malam Amanah negeri itu yang diadakan di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Sebelum ini wujud desas-desus mengatakan Nik Omar akan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan bekas pemimpin progresif PAS yang meninggalkan parti itu selepas tewas dalam pemilihan parti Jun lalu.

GHB yang ditubuhkan sebagai badan bukan kerajaan kemudiannya membentuk Amanah yang dilancarkan secara rasmi pada hujung Ogos lalu.

Pada majlis malam ini, lebih 1,000 orang menyertainya sehingga mengejutkan pihak penganjurnya.

Ekoran itu, mereka terpaksa menambah meja dan kerusi bagi menampung jumlah kehadiran yang besar itu sehingga mengganggu persiapan makanan untuk mereka yang hadir.

Antara tetamu majlis makan malam itu ialah ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa.

"Kedatangan yang tidak dijangka pihak penganjur ini membayangkan sokongan khasnya orang Melayu kepada Amanah di Kelantan," kata seorang pemerhati politik yang turut menyertai majlis itu bagi melihat sendiri sambutan yang diterima parti pimpinan Mohamad Sabu itu.

"Mat Sabu yang kini berada di Mekah untuk menunaikan umrah sudah tentu gembira dengan sambutan ini," katanya kepada The Malaysia Insider sambil mendengar alunan dikir barat yang dipersembahkan pendikir dari Kelantan.

"Saya mohon maaf atas segala kekurangan majlis malam ini," kata Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyedari masalah yang dihadapi ekoran kedatangan di luar jangkaan itu. – 1 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anak-nik-aziz-sertai-amanah-kelantan#sthash.hQsTKpt5.dpuf

Friday, October 9, 2015

Amanah masuk pejabat baharu ketika didakwa cuba rampas bangunan PAS

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Mohammad Razin Abdullah (dua dari kiri) menyerahkan surat kelulusan bagi Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Setiausaha Agung Anuar Tahir (dua dari kanan) baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insider, 9 Oktober, 2015.

Parti Amanah Negara (Amanah) mula memasuki bangunan ibu pejabatnya yang baharu pada 1 Oktober ketika sesetengah pihak dalam PAS mendakwa parti itu cuba merampas bangunan-bangunan mereka termasuk ibu pejabat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Bangunan 3 tingkat yang menjadi pejabat baharu Amanah terletak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur itu dinamakan Wisma Amanah.

Sehingga kini, hampir 10 kakitangan diketuai Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sebagai petugas tetap parti yang dilancarkan 16 September lalu bersempena Hari Malaysia, beroperasi di situ.

Pada Selasa (6 Oktober), Amanah mencatatkan sejarah apabila menerima sijil pengesahan penukaran nama, logo dan slogan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sijil itu diterima Anuar bersama Timbalan Setiausaha Agung Abang Ahmad Kerde dan Setiausaha Organisasi Amanah Suhaizan Kaiat daripada Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah.

"Kita akan jadikan Wisma Amanah sebagai pusat gerakan dan kami dapatkan ia melalui tabungan, ahli dan penyokong Amanah," kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub ketika ditemui di pejabat baharunya.

Bukan DAP biaya Amanah

Salahuddin menolak dakwaan DAP membiayai perbelanjaan kerana segala-galanya diperoleh melalui titik peluh dan hasil sumbangan ahli dan penyokong Amanah.

Ketika The Malaysian Insider berkunjung ke pejabat itu, semua pimpinan pusat termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu sedang bermesyuarat di bilik mesyuarat utama bangunan.

"Kami sedang mengadakan retreat selama 2 hari mulai hari ini bagi membincangkan Perlembagaan parti kami," kata Salahuddin.

Kemasukan mereka ke pejabat baharu itu sedikit sebanyak meredakan spekulasi Amanah akan mengambil alih Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Spekulasi bertiup kencang kerana pemimpin PAS yang menyertai Amanah bertanggungjawab mengusahakan pemilikan ibu pejabat – kini bernilai lebih RM10 juta.

Salah seorang pemegang amanah ibu pejabat PAS ialah Asmuni Awi, bekas bendahari PAS Pusat yang kini merupakan bendahari Amanah.

Bagaimana imej PAS diubah

Kumpulan progresif dalam PAS bersungguh-sungguh untuk memindahkan ibu pejabat dari markas tarbiyah yang terletak di kawasan kampung di pinggir bandar ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, ia bertujuan untuk menukar “imej kampung” PAS pada ketika itu kepada “imej kosmopolitan” walaupun mendapat tentangan kumpulan konservatif parti itu.

Kumpulan progresif yang kini menyertai Amanah banyak menjadi pemegang amanah kepada harta-harta milik PAS di seluruh negara.

Baru-baru ini, menjadi viral di laman sosial bagaimana PAS mendakwa Amanah merampas bangunan milik mereka dan Pasti (tadika ditubuhkan PAS) secara sistematik terutama di kawasan Tenggara, Johor.

Bagaimanapun, perkara ini kemudiannya dijelaskan pengerusi Amanah Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Ya'ni, Aminolhuda Hassan.

Bekas pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, seawal penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) lagi, mereka sudah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Aset bagi menangani aset sepencarian semasa bersama parti Islam itu.

Keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada peguam, perunding hartanah dan golongan profesional.

"Insiden yang diviralkan dalam media baru-baru ini, berkaitan pemilikan sebuah markas oleh Amanah di Tenggara sebenarnya tidak lari daripada panduan yang dinyatakan," kata Aminolhuda.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/amanah-masuk-pejabat-baharu-ketika-didakwa-cuba-rampas-bangunan-pas#sthash.1JIbk3vf.dpuf

Thursday, October 1, 2015

Fenomena penyelinapan agenda DAPisme dalam penubuhan parti politik baru

Deutsche Arbeiterpartei (DAP) merupakan nama bagi Parti Pekerja Jerman yang mengawali penubuhan Parti Nazi Hitler. Hitler menjadi anggota kepada parti ini pada tahun 1919. Parti tersebut diasaskan pada 5 Januari 1919 di sebuah hotel bernama “Fürstenfelder Hof”.

Democratic Action Party (DAP) Malaysia ditubuhkan pada 11 Oktober 1965 sebagai satu pecahan daripada People’s Action Party (PAP) Singapura. Menurut Wikipedia, parti DAP ini mempelopori gagasan sosialisme demokrasi, demokrasi sosial dan sekularisme. (Nota: perkataan “sekularisme” telah ditiadakan di dalam laman web rasmi DAP)”.

DAP juga merupakan ahli kepada Socialist International yang berorientasikan ideologi Sosialisme.

Parti Pekerja-Pekerja Malaysia (Malaysian Workers’ Party) merupakan parti politik berhaluan kiri yang memperjuangkan Sosialisme. Parti ini diasaskan oleh Ganga Nayar pada bulan Januari 1978. Parti tersebut telah bertanding di dalam Pilihan Raya Umum tahun 1978 dalam Parlimen dan DUN Sungai Besi, tetapi calon tunggalnya iaitu Ganga Nayar sendiri hilang wang deposit di kedua-dua tempat. Parti ini telah diambilalih oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) sebelum ditukar menjadi Parti Amanah Negara (PAN).

Perbezaan antara ketiga-tiga parti politik tersebut adalah PAN kini menonjolkan apa yang mereka dakwa sebagai “agenda Islam” yang berbeza sama sekali dengan agenda Islam di dalam perjuangan parti PAS.

Di sinilah ketaranya agenda DAPisme beraksi.

Antara yang menjadi fokus agenda DAPisme adalah:

Isu-isu yang melibatkan agama Islam. Ini termasuklah peruntukan-peruntukan bagi melindungi dan memelihara Islam di dalam Perlembagaan, institusi-institusi dan agensi-agensi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Masjid, Mahkamah Syariah dan pertubuhan-pertubuhan atau NGO-NGO Islam (termasuk parti politik Islam juga).

Mereka akan mencari (atau mencipta) apa sahaja alasan atau topik untuk disensasikan agar perhatian tertumpu kepada pihak-pihak di atas tapi dari sudut pandang yang negatif. Dalam percubaan untuk menguasai Perang Persepsi (War Of Perception) ini, ribuan bala tentera maya (cybertroopers – baik Kacang Merah atau Oren), portal dan aplikasi media – Twitter, Facebook, Whatsapp, Telegram, Firechat dan seumpamanya, akhbar bercetak, forum, seminar, simposium, ceramah, kenyataan, ucapam, komen dan kritikan … semuanya dimobilisasikan.

Tujuannya hanya satu – supaya kesemua institusi di atas dapat dimomokkan, ditohmah atau difitnah tanpa tanggungjawab dan dengan begitu angkuh sekali.

DAPisme juga mendapat dukungan yang kuat daripada penggerak-penggerak ideologi Liberal yang membawa bersama mereka pseudo-ideologi seperti Kebebasan Bersuara, Amalan Demokrasi, Hak Asasi Manusia, Gerakan Pembebasan Wanita, Sivil Society dan seumpamanya.

Sangat jarang sekali agenda kumpulan-kumpulan ini saling bertentangan antara satu sama lain. Agenda yang sama tetapi diperjuangkan melalui strategi-strategi yang berlainan. “Perjuangan” LGBT adalah satu contoh klasik.

Di samping itu, DAPisme mendapat tapak baru untuk berkembang, iaitu melalui penubuhan parti politik baru yang terpaksa menggunakan nama “Islam” sebagai satu celupan yang diharap dapat diterima oleh masyarakat Islam dan para pengundi. Ini adalah tapak yang sangat subur sebenarnya.

Ini kerana parti politik baru ini senang dipengaruhi dan dibentuk acuannya. Sebab itu penubuhan parti baru ini mendapat sambutan dan restu segera daripada parti DAP (dengan melihat kepada beberapa kenyataan pimpinan parti sosialis sekular tersebut). Gagasan mengenai Islam versi “baru” (distinctive) daripada agenda perjuangan parti PAS misalnya membuka ruang kepada versi Islam yang serba sejahtera, harmonis, penyayang, rahmah, akomodatif, inklusif dan tidak bersifat konfrontasi.

DAP sangat beruntung kerana ada pihak lain yang akan segera tampil untuk mempertahankannya daripada serangan umat Islam sendiri. Dari sudut yang lain, dua kumpulan umat Islam akan dibiarkan bertempur sesama sendiri khususnya dalam medan hujah-hujah ugama manakala DAP akan balik ke rumah sambil memegang piala kemenangan!

Seolah-olah mempertahankan DAP dan agendanya sudah menjadi satu kewajipan Syara’ pula.

Ini semua adalah ramuan dalam satu resipi Islam yang tidak akan melawan agenda DAP. Ia merupakan “window of opportunity” kepada parti DAP untuk mendapat satu rakan sekutu baru yang lemah dan tidak dominan untuk menjadi perisai di hadapan fokus serangan terhadap DAP.

Untuk tujuan tersebut, parti rasis DAP ini terpaksa membuka peluang kepada kemasukan tokoh-tokoh atau individu-individu Melayu ke dalam parti tetapi TIDAK akan diberi jawatan-jawatan utama atau eksekutif kepada mereka. Warna dan celupan parti rasis ini tidak akan berubah sedikitpun dengan kemasukan ahli-ahli daripada etnik lain, malah mereka diharapkan dapat membantu DAP memenangi lebih banyak kerusi dalam kawasan-kawasan kritikal parti PAS (atau undi Melayu) semasa pilihan raya umum nanti.

Umat Islam merasa pelik dan terkejut apabila ada parti politik baru yang ingin meletakkan Islam sebagai asas perjuangannya begitu mudah sekali membiarkan dirinya terjerat dalam perangkap samar perancangan DAPisme ini. Akan tetapi tidak menghairankan juga apabila parti ini tidak sensitif terhadap apa yang menjadi kerisauan dan kebimbangan umat Islam apabila, di atas nama eksklusiviti dan Rahmatan Lil Alamin, gejala dan pengaruh Syi’ah dan Liberal contohnya dibiarkan bertapak di dalamnya.

Sekiranya parti tersebut merasakan bahawa ia kononnya dapat membendung pengaruh daripada ideologi-ideologi asing ini daripada merebak ke dalam parti dan merosakkan dasar Islam yang ingin dibawanya, maka mereka telah silap besar. Lebih memeranjatkan lagi, apabila terdapat sebilangan ahli dan penyokong mereka dengan yakin sekali cuba mempertahankan ideologi-ideologi asing ini dengan membawa nas dan dalil secara selektif pula.

Tindakan dan pendirian seperti ini hanya mengelirukan masyarakat Islam sahaja dan berkemungkinan besar akan bertukar menjadi senjata makan tuan dalam jangka masa panjang.

Justeru, pujian harus diberikan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Pahang di atas ketegasan mempertahankan teks khutbah Aidil Adha baru-baru ini. Ini merupakan satu langkah berani yang patut dicontohi oleh semua negeri, termasuk di negeri-negeri yang dikuasai oleh DAP secara khususnya. Ini kerana institusi masjid adalah forum yang tepat untuk menyedarkan masyarakat Islam mengenai isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan Islam dan masa depan umatnya, termasuk mendedahkan segala agenda dan perancangan musuh Islam.

Sebaliknya, para pemimpin parti baru tersebut diingatkan supaya jangan menjadikan agenda umat Islam sebagai satu komoditi yang boleh diurusniagakan di dalam pasaran politik yang tidak menentu. Hak anda semua untuk berparti dan berpolitik sudah tentu dijamin oleh Perlembagaan. Tidak ada isu dalam sudut ini. Bagaimanapun, ia bukanlah satu tiket untuk anda semua berwewenang dalam mentafsirkan Islam dari konteks dan kaca mata perjuangan politik caca marba anda.

Inilah yang dikehendaki daripada agenda DAPisme yang dikhuatiri telah menyelinap masuk ke dalam parti anda.

Sebagaimana umat Islam telah mula sedar untuk menolak parti DAP yang rasis dan sekular itu, maka umat Islam juga akan menolak mana-mana pihak yang bersekutu atau bersekongkol dengan parti yang membawa agenda musuh Islam.

Tidakkah anda mahu sedar dan insaf?

Muhammad Luttfi Abdul Khalid

Tuesday, September 29, 2015

Hadi, pemimpin PAS 'hilang saudara' kerana Amanah

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Tindakan pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) turut mengakibatkan perpecahan di di kalangan ahli keluarga pimpinan utama PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 September, 2015.

Tindakan pemimpin progresif dalam PAS meninggalkan parti itu dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) mengakibatkan perpecahan bukan saja di kalangan ahli dan pemimpinnya bahkan juga ahli keluarga pimpinan utama PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi yang berpangkalan di Rusila, Marang, Terengganu kehilangan keluarganya apabila anak saudara di sebelah isterinya, Miqdad Zakaria, dilantik sebagai ketua Amanah kawasan Marang.

Pada 19 September, Miqdad bersama ahli jawatankuasa Amanah Marang melancarkan program pertama mereka pada majlis pembukaan pejabat di Wakaf Dua iaitu kawasan penempatan campuran antara Melayu dan Cina dalam kawasan Marang.

"Saya buat ini atas dasar sayang kepada rakan seagama sebab saya lihat menjadi satu kesilapan daripada segi akidah apabila ditanam seolah-olah PAS ini agama," kata Miqdad kepada The Malaysian Insider.

Rumah Miqdad hanya 200 meter saja dari Masjid Rusila dan juga rumah Hadi. Sejak sekian lama beliau adalah ahli jemaah masjid itu dan kekal hingga sekarang.

Namun Miqdad terpaksa membayar harga yang mahal dengan keputusannya menerima pelantikan sebagai ketua Amanah Marang, kawasan Parlimen yang diwakili Hadi, apabila beliau diboikot penyokong PAS di tempat tinggalnya sendiri.

"Saya akan hadapi semuanya walaupun pelbagai perkara dilakukan mereka (penyokong dan ahli PAS).

"Saya diboikot mereka, salam saya tidak berjawab, 24 surau dan masjid yang selama ini saya dijemput untuk memberikan kuliah sudah berhenti berbuat demikian," cerita Miqdad yang belajar di Universiti Al Azhar sebelum ini.

Apa yang dialami Miqdad boleh difahami logiknya kerana Rusila adalah kubu PAS sejak dulu.

Hadi, yang memberikan kuliah mingguan di Masjid Rusila sejak 1980-an, dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan mereka yang menyertai Amanah adalah pengkhianat dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.

Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, pihaknya menyedari penyertaan Miqdad yang mempunyai pertalian darah dengan Hadi.

"Saya maklum penyertaan beliau, tetapi saya tidak pasti beliau merupakan anak saudara Hadi, ataupun anak saudara isteri Hadi.

"Sepatutnya tidak menjadi isu kerana mereka sertai Amanah atau mana-mana parti dengan kerelaan masing-masing," katanya.

Beliau turut mengakui mempunyai saudara mara yang merupakan ahli PAS dan Umno.

"Sesiapa pun yang menyertai Amanah adalah atas kepercayan mereka terhadap parti.

"Ada juga ibu dan bapa yang sertai Amanah, tetapi anak mereka masih mahu bersama PAS, itu tidak menjadi isu," katanya.

Apa yang dialami Hadi, sama seperti Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Zawawi Salleh apabila adiknya, Saberi Salleh sendiri turut menyokong Amanah.

Saberi yang kini tinggal di Pasir Puteh, Kelantan juga menjadi penggerak utama penentangan terhadap kepimpinan PAS sejak penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau PasMa, kemudiannya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kini Amanah.

Di Bachok, Kelantan anak dan cucu bekas yang dipertua PAS Bachok allahyarham Datuk Omar Muhamad juga menjadi penggerak utama Amanah kawasan itu.

Khairudin Omar, anak bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu kini ketua Amanah Bachok manakala anak beliau yang juga cucu Omar, Syahidulamri Khairudin ketua Pemuda Amanah Bachok.

PAS kini berpecah kepada 2 dengan kelahiran Amanah. Ketika pelancarannya 16 September lalu, Kelantan menjadi penyumbang ahlinya yang paling ramai iaitu 8,000 daripada kira-kira 30,000 ahli Amanah yang berdaftar ketika itu.

Menjelang hujung tahun ini, Amanah mensasarkan keahliannya seramai 100,000 orang yang majoritinya bekas ahli PAS.

Amanah dalam kempennya terus mahu menyebarkan kasih sayang dengan taglinenya Amanah Sayang Semua, tetapi sukar bagi PAS menerimanya kerana bagi mereka Amanah adalah pengkhianat perjuangan mereka.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemimpin-pas-termasuk-hadi-hilang-saudara-kerana-amanah#sthash.BnvV3Cw0.dpuf

Saturday, September 12, 2015

'PAS ada agenda sendiri'

Shakira Buang 
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menempelak Khalid Abdul Samadyang menggesa presidennya mengubah sikap terlebih dahulu sebelum membawa parti berkenaan menyertai gabungan baru pembangkang.

Kata Takiyuddin, Khalid tidak berhak bercakap mengenai isu itu kerana ia membabitkan Presiden PAS.

“Siapa dia (Khalid) nak ubah presiden? Apa jawatan dia (Khalid) dalam GHB (Gerakan Harapan Baru)? Khalid ni dah cakap lama, dari dulu lagi," kata Takiyuddin kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah antara peserta Kongres Rakyat yang dibuat untuk membina landasan orang ramai mencari formula menghadapi masalah yang membelenggu ramai.

Khalid sebelum ini berkata GHB boleh menerima kerjasama dengan PAS dalam gabungan baru pembangkang dengan syarat Abdul Hadi mengubah sikapnya yang sebelum ini membelakangkan keputusan ramai dalam Pakatan Rakyat.

Khalid berkata, jika Abdul Hadi masih tetap dengan sikapnya itu, ada kemungkinan sejarah dalam Pakatan berulang lagi.

Mengulas lanjut berhubung penyertaan PAS dalam gabungan baru pembangkang Takiyuddin berkata, parti itu ada agendanya sendiri.

“Kita anggap ia adalah kerjasama baru antara DAP, GHB dan PKR yang perlukan PAS.

"Kita akan bincangkan ke mana kerjasama ini nak dibawa sebab PAS ada agenda sendiri. Ia akan menjadi terma rujukan kita jika dipanggil berbincang,” tambah Takiyuddin.

Friday, September 11, 2015

Nizar Tetap Saman Pesuruhjaya PAS Perak

AIDCNews – 11/9/15 – Timbalan Penyelaras Gerakan Harapan Baru (GHB) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan tetap meneruskan saman terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Nizar yang Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN) memberitahu bloggerhusseyn51 bahawa beliau akan meneruskan saman terhadap Razman dan tidak hadir dalam perjumpaan ‘dari hati ke hati’ yang diminta oleh badan perhubungan PAS Perak.


“Saman tetap saman, ana (saya) tak pergi pun!,” kata Nizar melalui wassap kepada husseyn51.

Nizar berkata demikian sebagai menjawab surat jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak meminta beliau hadir ke pejabat perhubungan negeri untuk mengadakan perbincangan berkaitan kes saman pada 9 September, jam 3.00 petang.
Blogger husseyn51 yang pro PAN turut menyelar sikap Razman yang didakwanya melibatkan badan perhubungan PAS negeri dalam kes samannya.

“Bukankah lebih baik jika beliau sendiri datang menemui DS Nizar, minta maaf diatas segala ketelanjurannya? Atau telepon….

“Janganlah terikut-ikut perangai Hj Hadi yang tak tahu langsung nak minta maaf bila tuduh orang jual pill kuda dan kominis!

“Atau jika Razman, kerana nak menjaga air muka dan sifat egonya, lantiklah seorang peguam mewakili dirinya dan selesaikan isu tersebut di luar mahkamah.

“Khabarnya, Zamri Ibrahim, Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Perak (Juham) enggan mewakili Razman dalam isu saman tersebut. Entah kenapa ya?

“Tapi bukankah masih ada ramai LAGI peguam lain kan? Kenapa Razman nak pakai peguam percuma sahaja ?, ” bidas husseyn51

Husseyn51 turut juga memetik laporan satu lagi blog pro-PAN, Sisi Bukit yang mendakwa Razman sudah takut menghadapi kes saman itu.

“Haji Razman takut beliau tidak boleh bertanding dalam PRU 14 dan sumber itu MENDAKWA lagi, Haji Razman Zakaria takut kalau beliau boleh diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu membayar saman RM3 juta,” dakwa blog itu.

Dakwanya lagi, Penasihat PAN, Ustaz Ahmad Awang dan Pengerusi PAN Perak, Haji Asmuni Awi juga akan turut menyaman Razman.

Monday, September 7, 2015

PAS tidak perlu dalam Pakatan baru

Edy Noor Reduan
PAS tidak perlu dalam Pakatan baru
Secara peribadi, saya amat menyokong desakan Gerakan Harapan Baru (GHB) atau kini dikenali sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mencadangkan supaya komposisi baru Pakatan Rakyat tidak disertai oleh parti PAS.

Sampai bilakah harapan rakyat terus dikhianati hanya kerana kerakusan segelintir ulama yang mensia-siakan peluang dan amanat?

Pilihan raya umum ke-13 mengajar kita erti pengkhianatan. Apakah kita ingin mengulangi kesilapan yang sama dalam pilihan raya akan datang?

PRU-13 dianggap sebagai peperangan paling sengit merebut demokrasi menyelamatkan negara walaupun di padang yang tidak rata, di antara kuasa dunia terhadap kuasa rakyat.

BN menikmati kelengkapan insfrastruktur peperangan termasuk kawalan ke atas media, dan satu pihak lagi hanya bermodalkan harapan rakyat untuk perubahan. Masihkah kalian lupa bagaimana peperangan ini dimenangkan kepada penyandangnya?

Paling yang kita tidak patut lupa, bagaimana presiden parti itu sanggup menuduh calon Pakatan Rakyat lain sebagai penjual pil kuda, penyembah Karl Marx dan pendokong ajaran komunisme?

Tuduhan dibuat kerana ingin menutup kesilapan mengeluarkan watikah yang menyebabkan pertembungan tiga penjuru di beberapa kerusi penting.

Secara langsung dan tidak langsung, tindakan gopoh presiden parti ini mengundang krisis kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat.

Susuk yang membuat tuduhan tanpa bukti ini bukan ketua cawangan atau yang dipertua kawasan, tetapi presiden parti. Maka sudah pasti ia mempunyai kesan nasional yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.

Bayangkan, sedang persiapan perang berada pada saat paling kritikal, tiba-tiba salah seorang jeneral mengarahkan pengeboman di kawasan sendiri yang akhirnya melibatkan kasualti agak parah. Siapa boleh beri jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang? Anwar Ibrahim?

Sudah terlalu banyak sebab sebuah parti ini tidak lagi layak untuk diberi peluang lagi untuk bersama. Watak yang dibawa oleh PAS sangat mengecewakan dan amat berlainan sekali hingga tergamak mengakui bahawa kemenangan BN diraih dalam sistem demokrasi yang adil.

Saya pernah mendesak suatu ketika dulu, jika PAS tidak mahu keluar Pakatan Rakyat, maka PKR dan DAP harus keluar Pakatan Rakyat meninggalkan PAS. Akhirnya, PAS boleh bertanding di semua kerusi yang diingin.

Tidak perlu saya cerita mengenai tuntutan hudud yang akhirnya membawa kepada kehancuran, sedangkan agama mencerca kita membiarkan kekufuran melanda, tetapi jalan kehancuran ini juga dipilih PAS dari selambak pilihan yang ada.

Tidak perlu saya cerita mengenai bah kuning, yang sehingga hari ini masih ada yang tidur dalam khemah.

Tidak perlu saya cerita mengenai hilangnya sifat zuhud selepas tidak sampai sepenggal memegang kuasa. Ada yang sudah memiliki kereta mewah Toyota Vellfire, Range Rover, Porsche Cayenne, dengan nombor plat superstar.

Bila ditanya mengapa pilih kemewahan demikian, mereka jual nama nabi, kononnya nabi dulu pilih kuda terbaik untuk berjuang. Masalahnya, mereka ini taraf nabi kah?

Ketika rakyat berkira-kira membeli lauk, duit tak cukup sampai hujung bulan, mereka pula dilihat bermewah-mewahan. Maka boleh saya bermewah dan meninggalkan sifat zuhud dalam perjuangan.

Saya tidak terkejut bilamana Anwar bersuara dari penjara mencadangkan Pakatan Rakyat yang baru disertai oleh PAS. Hasrat supaya PAS berada dalam Pakatan Rakyat baru ini bukan hanya dari Anwar semata-mata, tetapi juga dari dari luar penjara.

Hanya perjuangan membebaskan rakyat dari kesengsaraan dan penindasan adalah wadah terbaik untuk diangkat bersama. Sasaran paling tepat ialah perubahan sistem dan polisi tanahair.

Apakah hanya kerana PAS mengaku berjuang atas nama Islam, dan nama partinya pun Islam, maka kita harus biarkan diri kita dicandu dan terus mempercayai mereka? Wahai teman, pengalaman banyak mengajar kita, betapa dalam politik rakus mempertahankan kuasa ini apa saja boleh dijual.

Saya ingin imbas semula bagaimana Mat Sabu yang juga timbalan presiden PAS tewas dalam pilihan raya umum ke-13. Begitu juga dengan Dr Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi heavyweight PAS yang sengaja dibiarkan kalah.

Bayangkan, jika jemaah dalam PAS sanggup melakukan khianat sesama mereka ketika berperang dengan Umni, inikan pula sesama Pakatan Rakyat.

Saya percaya PAS akan sanggup mengalahkan semua calon AMANAH, PKR dan DAP andai PAS berada dalam Pakatan baru.

Saya percaya akhirnya presiden mereka akan menjadi ketua pembangkang, dan turut menjadi pembangkang di Kelantan dan Selangor.

Jika PAS ditakdirkan mampu membentuk kerajaan, tidak mustahil jika kuasa tersebut akan dibenarkan menyebelahi rejim penindas, kerana saya melihat PAS amat benci pada DAP.

Saya melihat, prestasi DAP terhadap rakyat jauh lebih baik termasuklah soal penyediaan rumah mangsa banjir di Kelantan.

Jadi, masihkah kalian mahu PAS berada dalam Pakatan yang baru?

EDY NOOR REDUAN aktivis politik dan penulis blog.

Saturday, September 5, 2015

Harapan Baru sedia bertanding jika esok PRU14

NIZAM ZAIN
Dr Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM – Gerakan Harapan Baru sedia mempertaruhkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia pada PRU14 akan datang sekalipun parti itu gagal dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausahanya, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Harapan Baru tidak lagi ragu-ragu kerana NGO itu sudah mempunyai platform politik yang kukuh dan sah, bagi membolehkan ia turut serta menyaingi parti politik lain dalam pilihan raya akan datang.

“Itu tiada masalah, bila-bila masa kita boleh bertanding kerana kita sudah ada kapal dan rumah, tetapi yang lebih penting kita bukan baru dalam politik.

“Tengoklah wajah-wajah itu, kami ini ahli politik yang berpengalaman, sudah lalui keadaan baik dan sukar, kita telah lalui semuanya, kami bersedia dengan apa juga cabaran dan rintangan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Amanah kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Nur Jazlan berkata, Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi Perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan ROS.

Dalam pada itu, Dzulkefly juga berkata, kekangan untuk menukar nama lama kepada baharu bukan satu halangan untuk pihaknya meneruskan agenda yang lebih penting, iaitu untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.

“Ya, asalkan Pakatan Rakyat 2.0 tertubuh, usaha itu perlu didahului dengan penubuhan satu wadah politik baharu,

“Apa pun namanya, dalam Islam, sesuatu itu dinilai dari sudut isinya, bukan pada namanya, kalau dapat dua-dua lagi cantik, dalam Islam bukan nama tapi apa kandungannya,” ujarnya.

Ditanya tentang Harapan Baru terdesak hingga terpaksa menggunakan parti yang berasaskan pekerja, beliau bagaimanapun menafikan perkara tersebut sambil menegaskan pemilihan parti itu kerana mempunyai matlamat sama untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Bukan soal terdesak, kami pilih parti ini kerana mereka ini pekerja, mereka ini datang membawa satu agenda yang akhirnya mengangkat kepentingan pekerja sebagai satu segmen rakyat yang hari ini mereka fikir terpinggir,” katanya lagi.

Thursday, September 3, 2015

Tak betul jatuh talak tiga, kata Hatta

Zulaikha Zulkifli
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menafikan dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa beliau kini secara automatik bercerai talak tiga dengan isterinya.

New Straits Times hari ini melaporkan, Ahmad mendakwa Hatta dengan sendirinya bercerai talak tiga dengan isterinya kerana meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ahmad dilaporkan berkata, ia berikutan bai'ah yang pernah dilakukan wakil rakyat PAS sebelum ini.

"Tak betul semua tu (cerai talak tiga)", kata Hatta ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, dengan nada sinis, Hatta mengucapkan 'terima kasih' kepada pesuruhjaya PAS Kelantan itu kerana mengaturkan hidup beliau.

"Terima kasih dekat dia (Ahmad) kerana mengaturkan hidup saya. Tak ada apa pun.

"Biarlah. Dia tak ada urusan dengan keluarga saya," kata Hatta yang juga bekas pengarah pilihan raya PAS itu.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai bai'ah yang pernah dilakukan sebelum ini, Hatta enggan mengulas lanjut dan hanya berkata:

"Dah banyak penulisan orang mengenai perkara itu (bai'ah). Biarlah, saya tak nak komen apa-apa," ujarnya.

Sumpah bai'ah dilakukan oleh setiap wakil rakyat PAS yang bertujuan untuk menghalang mereka dairpada melompat parti.

Dipercayai PAS setiap negeri mempunyai sumpah bai'ah masing-masing dan yang paling kontroversi adalah di Kelantan dan Terengganu yang memasukkan klausa perceraian.

Malah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah dilaporkan berkata, wakil rakyat parti itu yang gagal mematuhi sumpah bai'ah perlu bersedia menerima laknat oleh Allah dan Rasulullah SAW.

Hadi dilaporkan berkata, lafaz sumpah taat setia kepada parti terkandung dalam bai'ah yang ditandatangani sebelum bersetuju menjadi calon atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu, sama ada menang atau kalah.

Isu sumpah bai'ah ini timbul ekoran beberapa wakil rakyat PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, telah membentuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan kemudiannya menubuhkan parti baru, AMANAH.

Taklik Lafaz Cerai Talak Tiga Sah - Timbalan Mursyidul Am PAS

Ahmad Yakob

KOTA BARU: PAS Kelantan mengesahkan taklik lafaz cerai talak tiga yang dikenakan oleh parti itu ke atas wakil rakyatnya di negeri ini bagi mengelak mereka melompat parti adalah sah di sisi perundangan Islam.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya telah merujuk perkara berkenaan kepada Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Mohammad dan beliau mengesahkan dari segi hukum Islam, jatuh hukum kepada pelafaz taklik tersebut jika individu terbabit keluar parti.

"Taklik yang telah dia (wakil rakyat) sebut itu, dengan sendirinya berlaku dan hendaklah didaftar dengan Mahkamah Syariah secara rasmi.

"Dari segi hukumnya dah terjatuh (talak tiga). Itu pandangan yang diberi oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan mengulas mengenai taklik lafaz cerai anggota Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli daripada PAS, berikutan dakwaan bahawa Dr Hatta telah menyertai parti baharu yang sedang dalam proses didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

PAS memperkenalkan bai'ah atau sumpah kepada wakil rakyatnya di seluruh negara yang bertanding atas tiket parti itu sejak 2004 yang mesti mengosongkan kerusi mereka jika meninggalkan parti atau melompat ke parti lain dengan sukarela.

Selain itu, bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menambah syarat bahawa wakil rakyat PAS di Kelantan perlu bertaklik dengan melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri masing-masing.

Semalam, PAS mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk Dr Hatta bukan lagi anggota parti berkenaan sebaik sahaja mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) yang diambil alih oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) dan akan dijenamakan semula sebagai Amanah.

Perkara itu berdasarkan Fasal 15(1)(c) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) iaitu keberhentian disebabkan menyertai parti politik lain.

Daud sebelum ini dilaporkan berkata mana-mana individu yang melafaz sumpah dan melanggar sumpah, dengan menyertai parti lain, perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrar adalah sah.

Beliau dipetik sebagai berkata taklik talak dengan bersumpah itu tidak boleh dielakkan dengan kafarah atau bayar denda sumpah dan menasihatkan individu yang terlibat melafaz bai'ah talak tiga dan bertindak keluar parti untuk menyertai parti lain, merujuk pengesahan cerai di Mahkamah Syariah kerana jika tidak dirujuk ke Mahkamah Syariah, mereka boleh dianggap bersekedudukan secara haram.-- Bernama

Wednesday, September 2, 2015

Bersama PAS, PKR, DAP, Amanah kukuhkan pembangkang, kata Anwar

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan Amanah adalah petanda baik kepada politik matang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2015.

Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengukuhkan gabungan pembangkang, yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, dalam arena politik tanah air, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKR malam tadi, bekas ketua pembangkang itu berkata, penubuhan Amanah adalah petanda baik kepada politik matang.

"Penubuhan sebuah parti pembangkang baru yang komited kepada perubahan dan reformasi merupakan satu petanda baik bagi politik matang yang mengetengahkan kebertanggungjawaban demokratik.

"Amanah akan terus mengukuhkan pembangkang di peringkat nasional, bersama PKR, PAS, DAP; dan kami akan memperluas muafakat ini termasuk kepada badan bukan kerajaan (NGO) lain yang komited dan yang berkongsi matlamat yang sama," katanya.

Ketua umum PKR itu yang kini di penjara itu berkata, fokus pakatan pembangkang kini adalah untuk memberikan rakyat satu alternatif yang berdaya maju, berasaskan kedaulatan undang-undang dan nilai-nilai demokratik.

Bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu semalam mengumumkan secara rasmi Gerakan Harapan Baru (GHB) akan muncul sebagai parti politik dengan menggunakan platform nama Parti Pekerja.

Katanya, butiran lanjut mengenai pertukaran nama dan perlembagaan parti akan diputuskan kemudian dan akan diumumkan semula pada 16 September kelak.

Mohamad berkata wadah politik yang kini dipelopori GHB komited meneruskan legasi politik Islam yang pernah ditunjukkan Yusuf Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, parti politik itu akan terus berpaksi kepada politik berasaskan ilmu dan akhlak, mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam pelaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan seperti yang dituntut Islam.

“Islam yang syumul serta bertindak secara inklusif tidak mengasing dan meminggirkan mana-mana segmen rakyat untuk memberi keadilan dan kesejahteraan merentasi semua kaum dan agama,” katanya.

Beliau menyasarkan keahlian parti baharu itu akan meningkatkan kepada 35,000 orang menjelang 16 September yang menyaksikan parti berkenaan berubah wajah dan tampil dengan nama baharu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bersama-pas-pkr-dap-amanah-kukuhkan-pembangkang-kata-anwar#sthash.LGQKpKNy.dpuf

Monday, August 31, 2015

Adake dari parti Islam ke 'Parti Pekerja' perginya.........., Mat Sabu ni dah benar-benar buat lawak

GHB ambil alih Parti Pekerja untuk parti baharu

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Mohamad Sabu memngumumkan nama parti baharunya yang dikenali sebagai Parti Pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.

Gerakan Harapan Baru (GHB) hari ini secara rasminya mengumumkan untuk muncul sebagai parti politik dengan menggunakan platform nama Parti Pekerja, kata Mohamad Sabu.

Pengerusi GHB itu berkata butiran lanjut mengenai pertukaran nama dan perlembagaan parti akan diputuskan kemudian dan ia akan diumumkan semula pada 16 September kelak.

"Pada tanggal keramat 31 Ogos 2015, kami GHB secara rasminya mengumumkan kami sudah pun memutuskan untuk muncul sebagai sebuah parti politik golongan pekerja dengan mengekalkan namanya 'Parti Pekerja'

"Ada pun pindaan nama serta perlembagaan parti akan kita kemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas diputuskan bersama, tarikh hari pelancaran pada satu lagi tanggal keramat akan diumumkan pada 16 September akan datang," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – 31 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ghb-ambil-alih-parti-pekerja-untuk-parti-baharu#sthash.D5VSvezC.dpuf

Saturday, August 29, 2015

LANGSUNG: Anggota keselamatan Bersih 4 halang cubaan langgar pengadang masuk Dataran

Published: 29 August 2015 11:25 AM | Updated: 29 August 2015 7:28 PM

Peserta perhimpunan Bersih 4 yang membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 Ogos, 2015.

Cubaan sekumpulan individu memecah pengadang untuk masuk ke Dataran Merdeka petang ini digagalkan anggota keselamatan perhimpunan Bersih 4.

Kumpulan itu terus cuba menolak pengadang itu walaupun terdapat arahan daripada anggota keselamatan dan orang di sekeliling supaya tidak berbuat demikian.

Anggota keselamatan yang ditugaskan kumpulan reformasi pilihan raya penganjur perhimpunan itu terus memperketat pegangan mereka kepada pengadang itu.

Kejadian itu hanya berakhir selepas Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah datang menenangkan keadaan.

Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang beliau katakan kepada kumpulan yang cuba bertindak kasar tersebut.

Kemudian, Maria berkata, beliau gembira dengan kehadiran dan jumlah yang diraih Bersih setakat ini.

"Dalam masa tak sampai sebulan kami berjaya mengumpul RM2.4 juta.

"Ia menunjukkan rakyat menyokong kami dan tuntutan Bersih diterima semua," katanya.

Maria juga berkata beliau berpuas hati dengan sokongan pihak polis dalam memastikan perhimpunan itu berjalan lancar.

"Kami sangat gembira dengan pihak polis," katanya.

Sementara itu, bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata penganjur merindui kepimpinan PAS dalam perhimpunan hari ini, yang menyaksikan kira-kira 50,000 orang berkumpul di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Pemimpin PAS tidak menyertai perhimpunan itu, susulan daripada putusnya hubungan mereka dengan DAP baru-baru ini. Parti Islam itu sebelum ini mempersoalkan tarikh perhimpunan itu diadakan hanya 2 hari sebelum sambutan Hari Kebangsaan, dan berkata ia merancang mengadakan perhimpunan sendiri minggu depan.

Perhimpunan Bersih 4 yang turut diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu mendesak perubahan institusi terutama membabitkan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut berkait dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sekumpulan peserta perhimpunan Bersih 4 Sabah melintasi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Taman Teluk Likas 1, Kota Kinabalu, Sabah ketika mara ke Taman Teluk Likas II sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera Sabah, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 29 Ogos, 2015.

Sementara itu, perhimpunan Bersih 4 Sabah menunjukkan jumlah kehadiran tidak dijangka dengan ribuan peserta kini memenuhi Taman Teluk Likas Dua di Kota Kinabalu, menambah kepada kira-kira 50,000 orang yang berkumpul di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada khalayak, Ketua Bersih 2.0 Sabah Jannie Lasimbang berkata negeri itu dipaksa menerima penipuan pilihan raya, yang menjadi fokus utama desakan perhimpunan Bersih untuk perubahan dalam pilihan raya umum.

Di Kuala Lumpur, awal tengah hari tadi, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengetuai ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di Pasar Seni di pusat bandar, bergerak menuju ke arah Dataran Merdeka, lokasi yang akan menjadi tumpuan perhimpunan Bersih 4 hari ini.

Terdahulu, Maria, yang diiringi Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB) Dr Dzulkefly Ahmad dan pemimpin masyarakat sivil yang lain, memberi ucapan di luar Pasar Seni sebelum memulakan perarakan mereka.

Pemimpin pembangkang terkemuka lain, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke kini tiba di pelbagai lokasi pertemuan.

Sementara itu, bekas pengerusi Bersih Datuk S Ambiga Sreenevasan berada di Nu Sentral di Brickfields.

Sejak pagi ini, ratusan anggota polis mengambil kedudukan di kawasan sekitar Dataran Merdeka, menggesa orang ramai menjauhkan diri dari kawasan itu.

Pihak penganjur sendiri mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak memasuki Dataran Merdeka memandangkan perhimpunan mereka itu hanya akan diadakan di luar dataran bersejarah itu.
Peserta perhimpunan Bersih 4 membawa sepanduk 'cek palsu' berkaitan derma RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Amin Iskandar, 29 Ogos, 2015.

Kira-kira 30,000 orang, ramai berpakaian kuning, mula membanjiri ibu kota walaupun walaupun wujud kekangan dari kerajaan, termasuklah ugutan pengisytiharan darurat serta deklarasi dari Putrajaya mengatakan ia haram.

Polis memasang penghadang di sekitar Dataran Merdeka dengan puluhan anggota polis mengendalikan semua jalan menuju ke lokasi itu yang akan menjadi tempat kejadian sambutan Hari Merdeka tahun ini pada hari Isnin.

Sekatan jalan raya juga mula dipasang di sepanjang jalan-jalan utama menghala ke Kuala Lumpur, termasuk di Lebuhraya Lembah Klang Utara sebelum keluar ke Subang, Lebuhraya Kesas di hadapan Proton, Bulatan Batu Caves dan Jalan Sungei Besi.

Bersih 2.0, yang merupakan penganjur perhimpunan tersebut, menulis di laman Facebook mereka pagi ini, sekatan jalan raya yang dipasang "hanya untuk raptai Hari Merdeka" dan meminta semua bertenang.

Penganjur sebelum ini mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak memasuki Dataran Merdeka dan tidak membawa anak-anak mereka bersama.

Mereka akan berkumpul di Dataran Maybank di Pudu, Pasar Seni, Masjid Negara, pusat membeli belah Sogo dan Brickfields.

Mereka kemudiannya akan berarak ke arah Dataran Merdeka.

Awal minggu ini, Panglima Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dipetik sebagai berkata, pihak tentera bersedia untuk campur tangan dalam perhimpunan 34 jam hujung minggu ini jika kerajaan mengisytiharkan darurat, mencetuskan kebimbangan keganasan akan berlaku.
Orang ramai berkumpul di hadapan pusat membeli belah Sogo di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 29 Ogos, 2015.

Putrajaya semalam mengumumkan pengharaman pakaian kuning serta logo Bersih 4, beberapa hari selepas menyekat akses kepada laman web Bersih serta beberapa laman web lain yang dilihat menggalakkan atau berkongsi maklumat tentang perhimpunan itu.

Bagaimanapun, kemeja-T Bersih 4 dilihat dijual secara terbuka di beberapa tempat termasuk di hadapan Masjid Negara.

Pihak polis beberapa kali memberi amaran yang tindakan akan diambil terhadap penganjur, Bersih 2.0, mengatakan yang perhimpunan tersebut tidak sah di sisi undang-undang dan mereka gagal mendapatkan permit yang sepatutnya.

Para peguam bagaimanapun, mengatakan yang hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin, dan polis tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menghentikan perhimpunan tersebut.

Walaupun dengan tindakan ugutan yang akan diambil, kumpulan rakyat Malaysia pelbagai kaum awal pagi ini semakin ramai di kawasan itu.

Lawyers for Liberty dan Majlis Peguam berkata, mereka akan menyediakan bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang ditahan dalam protes hujung minggu ini.

Pada Rabu, majlis kebangsaan antara agama merayu kepada semua rumah ibadat di Kuala Lumpur agar membuka pintu mereka kepada perhimpunan peserta.

Tiga gereja Katolik di tengah-tengah bandar sebelum ini mengesahkan mereka akan memberi perlindungan kepada para penunjuk perasaan.

Perhimpunan Bersih 4 juga akan diadakan serentak di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak. Ia juga akan diadakan di 70 bandar di seluruh dunia. – 29 Ogos, 2015.
Peserta perhimpunan masih menjalankan Bersih 4 walaupun dengan halangan dari Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 Ogos, 2015.

IKUTI LINTAS LANGSUNG LAPORAN TERKINI DI SINI

6.15pm: Walaupun ramai peserta sedang berehat, beberapa orang masih meniup vuvuzela dan melaungkan "Bersih" di pengadang di Dataran Merdeka.

6.12pm: Di KOTA KINABALU, penganjur Bersih Sabah membentangkan alas plastik di sepanjang pantai Teluk Likas untuk peserta perhimpunan menyaksikan matahari terbenam.

6.00pm: Ramai peserta mula berehat di tepi jalan. Juruhebah berkata perhimpunan itu disertai 200,000 orang.



5.13pm: Dr Wan Azizah meninggalkan Dataran Merdeka tetapi berkata akan datang semula selepas solat Maghrib.

5.05pm: Bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata penganjur perhimpunan merindui penyertaan pemimpin PAS yang tidak menyertai Bersih 4 hari ini.

4.59pm: Juruhebah di Dataran Merdeka menggesa khalayak untuk bertahan dan bersabar. Dr Wan Azizah tiba di Dataran Merdeka dari Sogo.

4.31pm: Ada antara peserta mula meninggalkan kawasan perhimpunan.

4.30pm: Di KUCHING, Ahli Dewan Undangan Negeri Pending daripada DAP, Violet Yong dalam ucapannya berkata: "Najib, kami mahu anda berundur."

4.10pm: "1MDB menyebabkan ringgit kita jatuh, dolar Singapura naik. Kita tak boleh pergi Amerika, Singapura. Ke mana kita boleh pergi? Kita kena pastikan sebuah Malaysia yang baharu untuk anak-anak kita. Kita mahukan Malaysia yang bersih," kata Guan Eng kepada orang ramai yang menuju Dataran Merdeka.

4.00pm: Orang ramai duduk di persimpangan antara Jalan Raja dan Jalan Raja Laut, dihiburkan oleh persembahan kumpulan BangsaArt.

3.57pm: Sorakan kuat kedengaran ketika lori yang membawa pemimpin DAP Lim Guan Eng melalui stesen LRT Masjid Jamek dalam perjalanan ke Dataran Merdeka. Peserta perhimpunan menyanyikan "Hidup rakyat" dan meniup vuvuzela.

3.55pm: Mereka yang berhimpun di Kuching datang dari Simunjan, Betong, Bintulu, Sibu dan Miri.

3.52pm: Peserta perhimpunan di Jalan Tun Perak dianggarkan lebih 10,000 orang. Ramai yang bersorak ketika Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berucap.
Anggota polis berbaris di belakang pengadang di kawasan Dataran Merdeka ketika peserta perhimpunan Bersih 4 membanjiri pusat bandaraya hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 29 Ogos, 2015.3.50pm:

 Peserta Bersih 4 berkumpul di belakang pengadang dekat Dataran Merdeka. Di depan mereka, barisan anggota polis dan pertahanan awam.

3.45pm: Awang Ahmad Awang Ali, ahli jawatankuasa pemandu Bersih di Kuching berkata, perhimpunan kelima akan diadakan di Padang Merdeka sekiranya tiada usaha dibuat untuk pilihan raya yang adil pada masa akan datang.

3.43pm: Di KOTA KINABALU, Pengerusi Bersih Sabah Jannie Lasimbang berkata negeri itu menderita paling teruk akibat pilihan raya yang kotor.

3.40pm: Nurul Izzah, Dr Wan Azizah, Khalid Samad dan Lim Kit Siang tiba di Dataran Merdeka, menunggu Maria Chin menyertai mereka.

3.35pm: Di KUCHING, 12 orang akan berucap, setiap orang diberi 5 minit.

3.34pm: Ibu pejabat DBKL dikelilingi peserta Bersih 4.

3.30pm: Orang ramai dari Masjid Negara tiba di Dataran Merdeka.

3.21pm: Di KOTA KINABALU, kira-kira 3,000 orang ke Taman Teluk Likas Dua, lebih ramai daripada jangkaan penganjur.

3.13: "Kami bukan mahu gulingkan kerajaan, kami hanya mahu gulingkan ahli politik yang korup," kata Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di Jalan Tun Perak, ketika peserta perhimpunan makin menghampiri Dataran Merdeka.

3.10pm: Pemimpin PKR Rafizi Ramli di Sogo berkata:"Kita akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 12 tengah malam 31 Ogos malam esok. Saya minta ramai-ramai kekal di situ sampai malam esok. Insya-Allah ini kali terakhir kita lakukan Bersih selagi mana Najib masih PM."

3.06pm: Di KOTA KINABALU, peserta Bersih Sabah mula bergerak sepanjang jalan pantai Tun Fuad Stephens menuju kawasan perhimpunan.

3.05pm: Kira-kira 4,000 orang di padang Song Kheng Hai di Kuching.
Peserta perhimpunan berarak dari Dataran Maybank ke Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 Ogos, 2015.3.02pm:

 Pasukan kawalan perhimpunan DAP memakai kemeja-T merah untuk menemani peserta ke Dataran Merdeka.

3.00pm: Mat Sabu PAS mengingatkan peserta supaya mengambil masa. "Nanti bergerak perlahan-lahan sebab ada masa 33 jam. Jangan masuk padang Dataran Merdeka kerana kerusi dah diatur untuk sambut Merdeka. Kita dah buat berkali-kali. Yang langgar masuk bukan orang kita. Buat penuh disiplin sampai 12 tengah malam esok."

2.55pm: "Polis masih belum ambil tindakan. Mereka sedang mengendalikan keselamatan dan trafik. Sukarelawan Bersih juga nekad mempertahankan penghadang. Mereka tidak dibenarkan menaikkan khemah seperti yang dipersetujui dengan Dewan Bandaraya. Bagaimanapun, mereka akan berada di sana semalaman tanpa berkhemah," kata Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam yang menemui Ketua Polis Dang Wangi ACP Zainol Samah di Dataran Merdeka.

2.52pm: Himpunan dari Brickfields, Dataran Maybank di Pudu dan Masjid Negara berarak ke Dataran Merdeka.

2.50pm: Mereka yang tiba awal di perkarangan Song Kheng Hai di Kuching menandatangani petisyen untuk pilihan raya telus dan adil.

2.49pm: Kumpulan kedua di Brickfields berarak ke Dataran Merdeka.

2.45pm: Dr Wan Azizah di Sogo: "Hari ini kita bersama rakyat Malaysia. Saya berbangga dan berterimakasih kerana orang ramai begitu berani. Walaupun kita tidak dibenarkan memakai kuning, kami tetap lakukannya. Kami terus berjuang untuk membebaskan Anwar Ibrahim."

2.44pm: "Bukan sahaja Melayu, tetapi rakyat Malaysia semua berkumpul di sini," kata bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid Negara.

2.38pm: Pemimpin mengambil giliran untuk bercakap kepada peserta perhimpunan sebelum perarakan dari Petaling Street ke Puduraya.

2.35pm: Di KOTA KINABALU, 200 peserta perhimpunan di Taman Awam Teluk Likas 1 melaungkan "Bersih" dan bersedia untuk berarak ke taman kedua.

2.30pm: "Saya terharu hari ini, rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, atau Dayak semua di Kuala Lumpur bersama-sama... semalam kerajaan mengumumkan kemeja-T kuning Bersih diharamkan. Sekiranya BN terus menjadi kerajaan, mereka akan tentukan warna pakaian kami juga," kata Ahli Parlimen Rasah Teo Kok Seong.

2.28pm: Kira-kira 4,000 orang mula berarak dari Brickfields.

2.27pm: Di KUCHING, seruan "Turun Najib, Hidup Bersih" kedengaran di Taman Sri Sarawak Mall.

2.25pm: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di Dataran Merdeka.

2.22pm: Pemerhati dan sukarelawan Bersih cuba mengawal orang ramai dari memasuki kawasan Dataran Merdeka. Seorang didengar berkata: "Tolong, kita jangan cipta masalah."

2.11pm: Veteran DAP Lim Kit Siang bercakap kepada himpunan di Masjid Negara di atas lori. "Kami berkumpul kerana sayangkan negara. Kami mahukan kerajaan yang telus dan bersih."

2.10pm: Kira-kira 3,000 peserta menyanyi lagi Negaraku dipimpin koordinator PKR Jingga 13, Fariz Musa.

2.06pm: Abdul Aziz Isa, pembantu kepada ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen, berkata kehadiran Melayu di perhimpunan hari ini "melangkaui jangkaan".

2.05pm: Perhimpunan di Dataran Merdeka mencecah 1,000.

2.02pm: Unit pemantau keselamatan perhimpunan, Skuad PKR Malaysia di kawasan Sogo.

2.00pm: Peserta perhimpunan Azura Aziz, 40, dari Ampang yang berada di Dataran Maybank di Pudu, berkata tidak takut ditahan walaupun kerajaan mengisytiharkan Bersih 4 haram. "Siapa kisah? Saya ingin reformasi bagi seluruh sistem, undang-undang, pendidikan, semuanya. Seluruh sistem negara kita sudah mati."

1.55pm: Himpunan di Sogo bersedua untuk berarak ke Dataran Merdeka.

1.52pm: Kira-kira 50 orang yang menggelar diri mereka "Otai Reformasi" berarak ke Sogo.

1.50pm: Nu Sentral di Brickfields menjadi hab aktivis dan wartawan dengan himpunan menunggu perarakan ke Dataran Merdeka.

1.49pm: Di KUCHING, penyokong DAP di pusat beli belah Taman Sri Sarawak, berdekatan dengan Kuching. Penyokong DAP berkumpul di kedai kopi di hadapan Hotel Hilton sebelum berarak ke padang ragbi Song Keng Hai.

1.46pm: Di KOTA KINABALU: "Saya ingin tunjukan kepada rakyat Sabah tiada apa yang salah dengan meluahkan tuntutan anda," kata peserta Harieyadi Karmin.
Harieyadi Karmin yang menyertai Bersih 4 di Sabah.1.44pm: Aktivis Hishammudin Rais menyertai perhimpunan di Brickfields.

1.43pm: Bersih menggantung penghadang di Dataran Merdeka, berterima kasih kepada peserta kerana tidak memasuki kawasan tersebut.

1.40pm: Kumpulan anti-Lynas juga berada di Dataran Maybank di Pudu.

1.35pm: 200 peserta dari kumpulan yang menggelarkan diri mereka Johor Yellow Flame, mula memenuhi perkarangan Masjid Negara.

1.33pm: Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Sarajun Hoda Abdul Hassan di Dataran Maybank di Pudu. "Kehadiran sangat menggalakkan, kami tidak rasa dapat mendekati Dataran tetapi akan cuba dekat. Tidak akan menggangu sambutan Merdeka."

1.28pm: Di KOTA KINABALU, peserta solat bersama di tepi pantai di Taman Teluk Gaya 1.

1.27pm: Ahli Parlimen Kapar PKR G. Manivannan dan bekas ahli Parlimen Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai peserta di Brickfields.

1.24pm: Satu pasukan perubatan ditempatkan di Dataran Merdeka dengan 30 anggota bertugas, dan bekerja 4 syif sepanjang perarakan. Terdapat 236 anggota perubatan di pelbagai pusat pertemuan.

1.22pm: Anggaran 3,000 orang di Dataran Maybank di Pudu. Sebelum ini, badan hak kebangsaan Suhakam dianggarkan sejumlah 10,000 setakat 10am.

1.21pm: Kira-kira 2,000 dianggarkan di Brickfields, berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil.

1.20pm: Polis mengarahkan peserta supaya mengelak dari Dataran Merdeka.

1.19pm: Peguam dan aktivis Eric Paulsen juga hadir di Sogo, disertai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

1.18pm: Himpunan di Brickfields melaung, "Tangkap Najib", "Hidup Bersih" dan "Reformasi".

1.16pm: Peserta Bersih 4 mengerjakan solat Zuhur di atas sebuah kain rentang besar di luar Sogo. Botol air mineral diedar untuk berwuduk.

1.14pm: "Ini baru bermula. Jangan harapkan hasil yang segera tetapi ia permulaan kepada komitmen rakyat untuk kerajaan yang telus," kata Rajendra Ramasamy di Brickfields.

1.12pm: Presiden Majlis Peguam Steven Thiru bersama beberapa peguam dilihat berdekatan Masjid Negara.

1.08pm: Sekumpulan anggota polis bergerak dari Dataran Merdeka menuju ke arah Sogo.

1.05pm: Sepanduk gergasi berukuran 18 X 25 kaki kelihatan di depan Sogo.

1.04pm: Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menyertai perhimpunan berjalan dari Brickfields ke Dataran Merdeka.

1.00pm: Ratusan orang di Dataran Maybank di mula berarak ke arah Masjid Jamek.

12.59pm: Di KOTA KINABALU, ahli parlimen DAP Jimmy Wong memasang khemah di Taman Teluk Likas 1. Menunggu kehadiran lebih ramai orang.

12.57pm: Hindraf, PSM menyertai perhimpunan di Brickfields.

12.54pm: Dianggarkan lebih 1,000 peserta di luar Sogo. Keadaan mula riuh rendah dengan tiupan vuvuzela dan sorakan "Bersih!" dari mereka yang majoriti berbaju kuning.

12.52pm: "Saya rasa kita semua hendakkan negara yang lebih baik. Terlalu banyak yang salah di negara ini dan kami mahu tunjukkan yang kami mahu sesuatu yang lebih baik," kata Suzan Manan di Nu Sentral, Brickfields.

12.50pm: "Jika kami tunggu seseorang untuk berdiri, kami akan tunggu selama-lamanya Kita perlu jadi sebahagian usaha membina Malaysia baru," kata Azrul Khalid di Nu Sentral.

12.49pm: Peserta di Dataran Merdeka dianggarkan lebih kurang 400 orang.

12.46pm: Kira-kira 2,000 orang dianggarkan berada di Dataran Maybank di Pudu. Michael, 26, dari Kepong memberikan roti dan air mineral percuma kepada peserta. Beliau dan beberapa rakannya membawa lebih kurang 500 roti untuk diedarkan.

12.45pm: Petisyen untuk mendapatkan satu juta tandatangan supaya Anwar dibebaskan diedarkan kepada peserta di Sogo.

12.44pm: Kumpulan berdekatan dengan Dataran Merdeka dianggarkan 200 orang.

12.42pm: Zhongqi, 27, dari Cheras membawa bunga matahari sebagai simbol harapan bagi masa depan lebih baik. Dua lori polis melepasi Dataran Maybank di Pudu dengan beberapa anggota polis menunjukkan simbol 'peace' ke peserta perhimpunan.

12.40pm: Himpunan di Brickfields semakin ramai, 1,000 orang ramai di luar Nu Sentral melaungkan "Bersih bersih!"

12.34pm: Pemandu basikal berpakaian kemeja-T Bersih di kawasan Sogo.

12.31pm: Belon kuning dengan perkataan "Media Bebas" diedarkan kepada himpunan di Sogo.
Belon kuning 'Media Bebas' diedarkan di Sogo. – Gambar The Malaysian Insider oleh Yap Pik Kuan, 29 Ogos, 2015.

12.30pm: Peserta perhimpunan di Sogo melambaikan bendera Bersih 4 menggunakan rod pancing sebagai tiang.

12.27pm: Aktivis Adam Adli datang menyertai perarakan di Pasar Seni.

12.25pm: Ada yang menyandang beg kanvas tertulis "Perdana menteri saya memalukan saya."

12.22pm: "Suasana pesta di Lebuh Ampang sekarang. Semua orang seperti bersuka ria. Saya harap ia kekal begini," kata seorang peserta.

12.20pm: Peserta memegang kertas rentang tertulis #BebasAnwar sementara melaungkan "Bersih" sambil meniup vuvuzela.

12.18pm: Sekumpulan penyelidik Malaysia dari Netherlandsdi NuSentral di Brickfields datang memerhati Bersih sebagai sebahagian penyelidikan mereka.

12.17pm: Dekat Masjid Negara, kemeja-T Bersih dijual pada harga RM12.

12.15pm: Kira-kira 500 orang berkumpul di depan Sogo, ramai lagi sedang berjalan.

12.14pm: 300 Orang Asal menyertai perarakan dari Gereja Fatima di Brickfields.

12.13pm: Kira-kira 20 orang memakai kemeja-T Bersih dan Gerakan Harapan Baru di Dataran Masjid Negara.

12.10pm: Di Dataran Merdeka: "Kami di sini untuk Malaysia dan generasi akan datang yang akan mewarisi negara ini. Kami bukan di sini untuk membuat huru-hara. Kami datang sini dengan aman," kata seorang peserta dari Pelabuhan Klang.

12.02pm: Naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli tiba di Sogo disambut tepukan gemuruh dari peserta Bersih 4 yang mengatakan "Ini baru 1Malaysia".

12.01pm: Di Dataran Maybank, kira-kira 700 orang beratur di tepi jalan raya, melagukan "Bersih" dan meniup "vuvuzela". Ada yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Keadaan lalulintas masih normal.

12pm: Penghadang dipasang di hadapan ibu pejabat Majlis Peguam di Leboh Pasar Besar.

11.59am: Di KUCHING, keadaan masih sunyi. Beberapa orang dilihat memasang khemah di padang ragbi Song Cheng Hai. Ramai anggota polis kelihatan.

11.58am: Peserta Bersih berkumpul di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, 100 meter dari Dataran Merdeka.

11.55am: Enam lori Unit Simpanan Persekutuan, termasuk meriam air, memasuki Dataran Merdeka.

11.46am: Di KOTA KINABALU, keadaan masih sunyi di Taman Awam Teluk Likas 2. Beberapa orang anggota polis kelihatan. Tidak kelihatan sesiapa dengan kemeja-T kuning.

11.44am: Dua lelaki dilihat memakai kemeja-T tertulis "2.6 billion" di Brickfields.

11.40am: Raptai Hari Merdeka di Dataran Merdeka selesai. Lebih ramai polis dan anjing unit K9 tiba di Dataran.

11.38am: Di Dataran Maybank, peserta perhimpunan mula melagukan "bersih" walaupun tiada pemimpin kelihatan. Kenderaan yang lalu lalang membunyikan hon tanda sokongan.

11.34am: Sebuah kumpulan menyanyikan lagu "Suara Rakyat" dan melaungkan "bangkit rakyat".

11.30am: Kira-kira 50 orang berkumpul di Church of Our Lady of Fatima di Brickfields, menunggu untuk berarak ke tengah bandaraya. Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dijangka menyertai mereka. Kumpulan ini dijangka diketuai Jerit dan Pusat Komas.

11.21am: Kira-kira 400 peserta perhimpunan berkumpul di Pasar Seni.

11.17am: Kira-kira 100 orang memakai kemeja-T kuning Bersih 4 mula berkumpul depan Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sementara 200 lagi di Dataran Maybank di Pudu.
Polis anti-rusuhan dilihat di Taman Teluk Likas I dan II di Sabah.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/lawan-halangan-orang-ramai-mula-berkumpul-untuk-bersih-4#sthash.elK0z9OM.dpuf

Friday, August 28, 2015

RoS tolak permohonan GHB guna nama Parti Progresif Islam

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Ogos, 2015.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baharu yang hendak ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

"Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam PAS tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.

Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, di Marang hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Marang A Latif Awang.

Zahid berkata sebagai menteri dalam negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

"Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.

Sehubungan itu, katanya RoS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.

Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.

Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah belahkan orang Melayu.

"Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada," katanya.

Dalam masa yang sama Zahid turut mengulangi gesaan supaya anggota Umno supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.

"Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri.

Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya Umno dapat rampas kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini," katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ros-tolak-permohonan-ghb-guna-nama-parti-progresif-islam#sthash.s4qlwKcY.dpuf

Pembangkang sedia berbincang dengan BN bentuk kerajaan baharu

Dalam kenyataan bersama hari ini ahli Parlimen pembangkang berkata, agenda teras pembentukan kerajaan baru tanpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah perubahan politik dengan salah satunya adalah membebaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 27 Ogos, 2015.

Ahli Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru (GHB) sedia berbincang dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan baharu selepas desakan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semakin kuat.

Dalam kenyataan bersama hari ini mereka berkata, agenda teras pembentukan kerajaan baru tanpa Najib adalah perubahan politik dengan salah satunya adalah membebaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kini menjalani hukuman lima tahun penjara di Sungai Buloh.

"Ahli Parlimen daripada DAP, PKR dan GHB bersedia untuk membincangkan cadangan oleh ahli Parlimen BN untuk membentuk satu majoriti menggantikan kerjaan Najib dengan perubahan politik sebagai teras agenda kerajaan baru.

"Pembebasan Anwar sepatutnya menjadi salah satu tugas sebagai usaha membentuk majoriti baru. Semua pendakwaa politik juga perlu dibatalkan," katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani DAP Lim Kit Siang (Gelang Patah), Anthony Loke Siew Fook (Seremban), Teresa Kok (Seputih), Liew Chin Tong (Kluang) dan Teo Kok Seong (Rasah).

Daripada PKR adalah Rafizi Ramli (Pandan), Datuk Johari Abdul (Sg Petani), Wong Chen (Kelana Jaya), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), dan S Manikavasagam (Kapar).

Ahli Parlimen mewakili GHB adalah Datuk Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Katanya, mereka juga mencapai beberapa resolusi ketika mengadakan pertemuan di Parlimen semalam.

Mereka bersetuju menyokong Bersih 4 hujung minggu ini dan menggesa Najib serta timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tidak ada tindakan keras sepanjang himpunan.

Mereka juga akan mengambil bahagian dan Jawatankuasa Perunding Dana Politik jika isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib secara misteri oleh pihak luar didedahkan.

Syarat lain adalah bidang majlis itu akan diperluaskan kepada perubahan sistem pilihan raya dan jaminan kebebasan perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Awal bulan ini, Najib mengumumkan jawatankuasa konsultatif nasional tangani isu pembiayaan politik bagi memastikan dana disalurkan secara integriti.

Namun pengumumannya dipandang skeptikal kerana dibuat ketika dirinya sendiri hebat dikritik dan dipersoalkan tentang derma RM2.6 bilion yang disalurkan daripada negara Timur Tengah. – 27 Ogos, 2015

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembangkang-sedia-berbincang-dengan-bn-bentuk-kerajaan-baharu#sthash.AkIdAzgb.dpuf

Sunday, August 23, 2015

'GHB bagai nyamuk'

Abdul Hadi berkata, PAS pernah berdepan situasi hanya tinggal seorang ahli parlimen pada 1982 dan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan, namun mereka akhirnya berjaya mengatasi masalah itu.

ALOR SETAR, 23 Ogos:

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan saingan yang diberikan Gerakan Harapan Baru (GHB) bagaikan ‘nyamuk’.

Ini kerana, katanya, cabaran yang dihadapi parti itu buat masa ini tidak sebesar masalah yang pernah dialami parti berkenaan.

Jelasnya, parti itu pernah berdepan situasi hanya tinggal seorang ahli parlimen pada 1982 dan kehilangan kuasa pemerintahan di Kelantan, namun mereka akhirnya berjaya mengatasi masalah itu.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa GHB mendapat banyak sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Abdul Hadi berkata, PAS juga memperoleh sokongan daripada banyak NGO Islam.

“Jadi, terpulang kepada pemimpin GHB hendak cakap apa yang mereka mahu,” katanya yang dipetik China Press, ketika menghadiri satu majlis semalam.

Rabu lalu, lebih 400 ahli PAS yang memegang pelbagai jawatan di tiga kawasan dalam parti berkenaan, meletak jawatan untuk menyertai GHB.

Ia termasuk 183 ahli daripada PAS Kota Raja, 227 daripada PAS Kapar dan tiga ahli dari PAS Klang.

Seramai 21 Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Shah Alam turut meletak jawatan, termasuk 18 AJK Muslimatnya, untuk menyertai wadah perjuangan Islam yang lebih diyakini mereka.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengesahkan beliau adalah Pengerusi GHB bagi Terengganu, selepas PAS negeri itu memutuskan hubungan dengannya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/23/ghb-bagai-nyamuk/#ixzz3jb7HSvnQ

Friday, August 21, 2015

Bermulanya penghijrahan ahli PAS ke GHB, Hadi mula bimbang?

oleh Alyaa Alhadjri
ANALISIS: Tindakan ahli akar umbi PAS yang keluar parti baru-baru ini untuk bersama-sama Gerakan Harapan Baru (GHB) merupakan petunjuk yang parti politik baru ini akan mengamalkan pendekatan kepimpinan “bawah-ke-atas” berbanding “atas-ke-bawah”.

Setiausaha Agung pro-tem GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata, itulah pendirian yang diambil bekas pemimpin progresif PAS yang menubuhkan gerakan tersebut selepas mereka disingkirkan dalam muktamar parti yang lalu.

“Ramai yang bertanya saya bila kami akan letak jawatan, mengapa kami belum letak jawatan,” katanya kepada Semut Harian.

“Saya beritahu mereka yang semua perkara ada masanya, dan masa amat penting dalam merancang strategi (politik),” katanya lagi merujuk desakan agar pemimpin progresif dalam GHB agar keluar PAS dan menubuhkan parti baru secara rasmi.
Dzulkefly
Namun Dzulkefly mengakui bahawa tindakan ahli akar umbi keluar parti boleh dilihat sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menunjukkan parti Islam baru itu nanti akan dipacu oleh kesedaran rakyat tentang keperluan perubahan politik.

Ia juga barangkali bagi menunjukkan kepada PAS bawah GHB serius dan bukan hanya ‘serpihan’ kecil yang boleh diabaikan begitu sahaja.

Laporan awal menunjukkan parti baru itu akan dikenali sebagai Parti Amanah Rakyat dan dijangka dilancar secara rasmi pada 31 Ogos ini.

Pada 31 Julai lalu Bernama memetik MP Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa sebagai berkata, GHB mempunyai rancangan untuk mengambil alih Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan melancarkannya semula sebagai sebuah parti baru, sama seperti penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia pada tahun 2003.

Namun Dzulkefly berkata bahawa mekanisme dan nama rasmi masih kekal sebagai spekulasi sehinggalah tiba masanya ia diumumkan secara rasmi.

Komennya ini berikutan laporan perletakan jawatan kira-kira 183 ketua bahagian dan cawangan di kawasan parlimen Kota Raja - kerusi yang dipegang bekas timbalan ketua Muslimat PAS Dr Siti Mariah Mahmud. Beliau kini menjadi Ketua Wanita GHB.

Selain Dzulkefly, Siti Mariah dan Mujahid, jawatankuasa pro-tem GHB diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan turut merangkumi bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub, MP Sepang Hanipa Maidin, MP Shah Alam Khalid Samad, MP Kuala Krai Dr Hatta Ramli dan bekas calon presiden PAS Ahmad Awang.

Selain di Kota Raja, The Malaysian Insider pada 19 Ogos lalu melaporkan yang sejumlah 227 ahli PAS di Kapar dan tiga di Klang juga telah keluar parti.

Pada hari yang sama juga 3 pemimpin sekurang-kurangnya 20 ahli PAS Shah Alam mengumumkan keputusan mereka untuk meninggalkan parti secara rasmi.

Sementara itu, PAS Kelana Jaya yang dipimpin koordinator GHB Selangor Izham Hashim juga dijangka mengumumkan langkah serupa tidak lama lagi.

Walaupun berhadapan dengan penghijrahan yang ketara, pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad mendakwa yang ia tidak memberi kesan yang besar kepada parti memandangkan ia memiliki 100,000 ahli di 1,000 bahagian di serata negeri.

Sementara itu, akhbar The Star memetik timbalan menteri besar Kelantan Mohd Amar Abdullah sebagai berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang risiko dan akan bertindak terhadap apa-apa langkah oleh partinya untuk menyertai Amanah.

“Kami sedang mengumpulkan nama semua ahli PAS yang disyaki cenderung terhadap parti itu melalui kenyataan dan tindakan mereka.

“Kami yakin bahawa Amanah adalah racun kepada PAS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan yang jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat pada 11 September ini untuk membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap ahli-ahli tersebut.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menyamakan pengeluaran ahli akar umbi itu sebagai proses “pembersihan” yang akan memberi kebaikan kepada parti. Akan tetapi dengan perkembangan terbaru ini, keyakinan yang ditunjukkan itu mungkin kian berkurang.

Pemerhati berkata, ia kerana hakikat bahawa pemimpin progresif PAS-lah yang bukan sahaja meningkatkan imej parti di kalangan rakyat, tetapi turut menyumbangkan bantuan kewangan.

Memang, selain kemampuannya untuk menarik kehadiran ramai di ceramah dan perhimpunan, simbol-simbol yang menjadi ikon PAS adalah badan pemikirnya, pelbagai NGO dan Unit Amal.

Dengan perkembangan semasa ini, hampir pasti NGO-NGO yang berkaitan dengan parti, ahli badan pemikir dan mungkin sebahagian anggota Unit Amal akan turut meninggalkan parti itu.

Dan tentunya selepas dikritik kerana berada di belakang penyingkiran kumpulan progresif, Abdul Hadi hanya akan terus merosakkan reputasi sendiri jika mengarahkan pemecatan pemimpin daripada PAS.

Setakat ini, pemimpin yang bersama-sama dengan GHB dijangka menunggu sehingga parti baru mereka ditubuh secara rasmi, apabila keahlian PAS mereka akan terbatal secara automatik.

Parti baru itu sebelum ini dikatakan akan menjadi pengganti PAS dalam gabungan pembangkang yang baru bersama PKR dan DAP.

Komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis di alyaa@hckmedia.com

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Ahli-PAS-mula-berhijrah-ke-GBH-Hadi-mula-bimbang#sthash.UjlZPqaM.dpuf

Wednesday, August 19, 2015

Peletakan jawatan beramai-ramai landa PAS S'gor

Kira-kira 400 ahli PAS dan pemimpin dari tiga kawasan PAS di Selangor hari ini mengumum meletak jawatan sama ada dalam parti atau jawatan yang mereka sandang, sebelum berpindah menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia termasuk 183 ahli dari kawasan Kota Raja, 227 ahli kawasan Kapar dan tiga orang dari kawasan Klang.

Naib Ketua PAS Kawasan Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bagi mengelak berlaku keadaan tidak menentu melanda PAS sebaik sahaja GHB menjadi sebuah parti politik dan lebih ramai ahli PAS keluar dan menyertainya.

Di Kota Raja, ketua kawasannya Jaafar Samsuddin dan timbalan ketua, Norhalim Sirome dan Siti Mariah mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam satu sidang akhbar.

Ketua sembilan cawangan PAS dalam kawasan Kota Raja juga turut melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Turut menyertai mereka ialah ahli jawatankuasa (AJK) kawasan Kapar, Razak Abdul Rashid dan AJK PAS kawasan Klang, Abdul Rashih Abdul Latiff.

GHB berkata peletakan jawatan beramai-ramai hari ini itu adalah sebagai permulaan di Selangor - mulai hari ini sehingga akhir bulan ini.

Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim mendakwa kawasan Shah Alam dan Kelana Jaya akan melakukan perkara yang sama, masing-masing esok dan dua hari kemudiannya.

Bagaimanapun, mereka yang meletak jawatan itu akan kekal sebagai ahli parti sehingga GHB rasmi menjadi sebuah parti politik.

Mereka kemudiannya akan menyertai entiti baru itu, yang secara automatik, menyebabkan keahlian PAS mereka terbatal, kata Izham.

Tuesday, August 18, 2015

Ini dia 'mursyidul am' parti Islam baru

Ahmad Awang 'mursyidul am' parti Islam baru
Bekas naib presiden PAS Ahmad Awang dipilih menjadi penasihat umum bagi parti Islam baru yang akan dilancarkan bulan depan.

Menurut Ahmad, walaupun jawatan penasihat umum itu dilihat menyerupai mursyidul am PAS, namun terdapat perbezaan bagi dua jawatan tersebut.

Katanya, sebagai penasihat umum, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan eksekutif parti dan hanya fokus dalam Majlis Penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang tertentu bagi memberi nasihat kepada parti Islam baru itu.

Ahmad berkata lagi, Majlis Penasihat untuk parti Islam baru itu juga akan terdiri daripada golongan ulama serta profesional.
"Kita punya Majlis Penasihat pakar ini tak macam Majlis Syura (PAS). Majlis Syura itu, dia juga dalam Majlis Syura, dia juga (orang sama) di eksekutif. Kita tidak.

“Biar betul-betul duduk dalam Majlis Penasihat dengan kepakaran yang ada dan tak campur tangan urusan eksekutif.

"Baru nanti tak timbul isu, dialah (anggota) Majlis Syura dialah presiden.

"Majlis penasihat pakar itu terdiri daripada golongan ulama dan juga mereka yang pakar dalam bidang lain seperti kemasyarakatan, ekonomi, perbankan," katanya ketika dihubungiMalaysiakini.

Selain itu, ditanya siapakah lagi individu yang akan turut berada dalam Majlis Penasihat itu, Ahmad berkata perkara itu tidak boleh didedahkan lagi buat masa ini.

"Belum boleh isytiharkan," katanya ringkas.

Ahmad, bekas presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tewas mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti lalu.

Parti politik berteraskan Islam yang baru itu diasaskan daripada kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS Jun lalu melalui kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Ia bertujuan untuk memperjuangkan usaha penubuhan gabungan pembangkang.

Pembentukan parti baru yang belum diumumkan namanya itu secara rasmi dijangka akan dibuat menjelang 31 Ogos nanti.

Monday, August 17, 2015

Hudud terus jadi batu penghalang buat gabungan pembangkang baru

oleh Robin Stanley Augustin

KOMEN: Nampaknya kumpulan serpihan PAS Gerakan Harapan Baru (GHB) telah membuka pintunya untuk ahli bukan Islam.

“Ia dibuka kepada bukan Islam, tetapi kami akan berdasarkan Islam,” kata timbalan pengerusi GHB Salahuddin Ayub.

Katanya, parti baru itu juga akan menjadi pelengkap kepada Pakatan Rakyat yang baru dalam persediaan menghadapi pilihanraya umum (PRU) akan datang.

“Itu lebih mudah untuk kita buat keputusan penting, dan kita rasakan perlu diisi dalam kelompangan untuk memperkukuhkan atau membina kembali Pakatan Rakyat,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insider.

Pemimpin progresif dalam GHB telah mengambil satu langkah berani dengan membenarkan orang bukan Islam menjadi ahli parti yang akan berteraskan Islam ini.

Adakah orang bukan Islam akan tertarik untuk menyertai GHB, ketika ada pilihan parti sekular dan tidak bersifat komunal di kedua-dua pihak politik?

Walaupun dengan barisan pemimpin progresif yang popular di kalangan penyokong pembangkang bukan Islam seperti Mat Sabu, Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad, matlamat untuk menarik orang bukan Islam ini kelihatan terlalu tinggi.

Perlu diingat bahawa ramai orang bukan Islam yang menyokong dan berkempen untuk PAS pada PRU ke-13 merasa marah dan dikhianati, apabila parti itu secara agresif mengusahakan pelaksanaan hudud versinya. Ia turut membuatkan komponen Pakatan Rakyat yang lain merasa kecewa.

Isu hudud menjadi faktor utama yang mengeruhkan hubungan antara PAS dan DAP, dan akhirnya menyumbang kepada perpecahan pakatan pembangkang.

Jadi apakah yang berbeza pada kali ini? Adakah hudud menjadi sebahagian daripada agenda GHB?

Menurut laporan Malay Mail Online bulan lalu, GHB telah mempertahankan hak untuk berusaha melaksanakan hudud, namun berkata bahawa ia tidak menjadi keutamaan mereka pada masa ini. Keutamaan mereka adalah membina kembali “demokrasi yang kukuh” di Malaysia.
Dzulkefly
Setiausaha agung GHB Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, walaupun hudud ada peranan yang penting, ia tidak boleh menjadi pertimbangan sebelum wujudnya kerajaan yang baik dan telus.

Katanya, GHB akan melakukan yang terbaik untuk “meyakinkan” rakan-rakannya agar memberi peluang kepada undang-undang jenayah Islam itu – bukan sahaja kerana ia adalah arahan Tuhan, tetapi ada bukti perbandingan yang meyakinkan di luar negara, menunjukkan sebahagian aspek hudud lebih berkesan dalam menangani dan mengurangkan jenayah seperti kecurian dan rompakan.

“Lebih utama, saya tekankan sekali lagi, kami akan melakukannya melalui jalan yang demokratik dan legislatif,” katanya lagi.

Dalam laporan terbaru di The Malaysian Insider, Dzulkefly sekali lagi menekankan bahawa walaupun GHB tidak akan mengabaikan hudud secara sekaligus, tumpuan utamanya adalah kepada aspek tadbir urus yang baik.

Nampaknya walaupun hudud bukanlah keutamaan GHB, ia sama sekali tidak terkeluar daripada gambaran.

Dengan perkiraan itu, bagaimana GHB benar-benar berharap dapat menarik orang bukan Islam, terutama yang telah menyokong dan mengundi PAS pada PRU ke-13?

Sekali tersengat, selalu beringat. Bukankah begitu?

Pimpinan GHB tidak boleh membuat tafsiran salah terhadap keinginan pengundi bukan Islam.

Orang bukan Islam yang menyokong pembangkang bukan mahukan versi PAS yang ‘lebih baik’ semata-mata. Mereka mahukan parti yang mempunyai visi yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan rangka dasar bersama yang dipersetujui setiap parti rakan.

Hudud adalah isu yang mencetuskan pertelagahan di Malaysia. Ia boleh sahaja membuatkan rakyat berpecah.

Ia telah menjadi kata putus buat Pakatan Rakyat, dan pasti juga buat gabungan pembangkang yang baru nanti.

Penulis benar-benar percaya bahawa PAS dan GHB memang berhak untuk memperjuangkan hudud.

Setiap parti berhak membawa agenda mereka. Inilah keindahan demokrasi.

Tetapi ia bukanlah setakat itu sahaja.

Kita tidak boleh ada gabungan – di mana-mana pihak politik pun – yang mendendangkan nada yang berbeza bergantung kepada pendengar mereka.

Setiap gabungan atau parti perlu jelas, tegas dan bersatu dalam visi mereka untuk negara, walaupun apa sahaja visi tersebut.

Gabungan parti dengan dasar yang berbeza memberikan terlalu banyak risiko jangka pendek.

Dalam konteks ini, DAP dan PKR mempunyai tanggungjawab besar terhadap penyokong dan pengundi mereka untuk memastikan gabungan baru bersama GHB bukan setakat kitar semula Pakatan Rakyat.

GHB pula perlu meyakinkan penyokongnya bahawa DAP dan PKR sanggup untuk bersikap terbuka terhadap kemungkinan menyokong agenda mereka yang berdasarkan prinsip Islam, termasuklah hudud.

Semua parti perlu menuruti rangka dasar bersama dan perlu jelas sama ada hudud sebahagian daripada visi bersama atau tidak.

Memang, tiada keraguan yang pimpinan GHB mempunyai pemahaman dan hubungan kerja yang lebih baik dengan DAP dan PKR, tetapi adakah itu cukup untuk mejadikannya pelengkap yang baik bagi gabungan pembangkang yang baru?

Hanya masa yang akan menentukannya.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Hudud-terus-jadi-batu-penghalang-buat-gabungan-pembangkang-baru#sthash.c7qBpua2.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-