Tuesday, July 14, 2015

Penubuhan 'Gerakan Harapan Baru' dibimbangi kecilkan 'suara Islam' selain PAS

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata demikian sebagai mengulas tindakan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang bercadang menubuhkan sebuah parti yang berasaskan Islam. - Foto TRP/Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 14 Julai:

Penubuhan sebuah lagi parti yang berasaskan kepada Islam selain PAS dibimbangi akan mengecilkan ‘suara’ Islam di negara ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata dari segi demokrasi tiada pihak yang boleh menghalang sekiranya ada mana-mana pihak mahu tubuhkan parti.

“Saya rasa tindakan pihak tertentu yang mahu menubuhkan sebuah lagi parti yang berasaskan Islam dibimbangi… takut-takut mengecilkan suara Islam itu sendiri… wallahualam.

“Bagaimanapun, itu terpulanglah kerana kita mengamalkan demokrasi,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada majlis sumbangan mangsa oleh Petronas di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang bercadang menubuhkan sebuah parti yang berasaskan Islam.

Mohamad Sabu yang tewas kepada Tuan Ibrahim Tuan Man dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS, semalam mengumumkan pembentukan GHB iaitu sebuah parti baru yang berteraskan Islam dalam masa terdekat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, parti baru itu akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri amat berterima kasih kepada Petronas kerana memperuntukkan sebanyak RM4.3 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Beliau berkata pembiayaan di segi barangan perabut dan elektrik itu amat tepat pada masanya apabila mangsa banjir yang baru menerima rumah kekal dapat mendiami rumah terbabit dengan lebih selesa.

“Kita sudah memberitahu kepada Ketua Jajahan khususnya di Gua Musang dan Kuala Krai supaya mangsa banjir jangan membeli peralatan rumah kerana barangan terbabit ada disumbangkan oleh Petronas.

“Di sini saya mahu menjelaskan ada 229 buah rumah kekal siap dibina menjelang Aidilfitri dan 1,008 masih tinggal.menyewa di mana sewanya dibayar oleh kerajaan negeri,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/07/14/penubuhan-gerakan-harapan-baru-dibimbangi-kecilkan-suara-islam-selain-pas/#ixzz3fsQlOy2p

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-