Monday, August 3, 2015

Hanya tinggal enam kawasan Pas Johor sokong

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
KUALA LUMPUR - Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed memaklumkan bahawa hanya tinggal enam kawasan sahaja yang setakat ini memihak kepada gerakan Harapan Baru setelah pihaknya berusaha keras menarik kembali kawasan yang sebelum ini berpaling tadah.

Menurutnya, kawasan-kawasan tersebut sebelum ini berpaling tadah kerana hanya mendengar ‘cerita’ daripada sebelah pihak sahaja.

“Sebelum ini, kita panggil Pas kawasan untuk hadiri mesyuarat, 12 kawasan tidak datang. Dewan-dewan yang datang hanya Dewan Ulama sahaja. Setelah kita berusaha sungguh-sungguh, Alhamdulillah, sekarang ini tinggal enam kawasan yang ‘bersama’ Harapan Baru. Daripada 26 kawasan, kita (Pas) dapat 20 kawasan.

“Kerana sebelum ini mereka hanya mendapat penjelasan sebelah pihak…daripada Harapan Baru sahaja. Maka sekarang ini kita ada peluang, kena kerja keras. Sebab itulah, kita tak boleh tinggal Johor lama-lama. Selepas ceramah saya terpaksa balik…nak jaga (Johor). Jika tidak nanti, dia (GHB) kacau lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan Pas Wilayah Persekutuan (Pihak 4.0), di sini, malam tadi.

Menurutnya, selepas Muktamar Pas ke-61 awal Jun lalu, terbukti bahawa parti itu masih mendapat sokongan kawasan-kawasan di seluruh Negara apabila kepimpinan ulama yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang dalam pemilihan tersebut.

“Orang selalu kata Harapan Baru kuat pengaruhnya di Johor. Itu dulu tuan-tuan, sebelum muktamar (Muktamar Pas ke-61). Puak-puak G18 yang dakwa bukan saya. Golongan ini dakwa Pas Johor sudah habis (berpaling tadah dengan menyokong Harapan Baru)…tinggal 20 peratus (%) (yang bersama Pas)…yang menyebelahinya sudah 80%.

“Kita sebagai Dewan Ulama tidak akan berdiam diri. Kita tidak bodoh. Kita bawa bekas-bekas Pesuruhjaya Pas ke Johor untuk kempen. Pada Mei 2015, kita berjaya meraih sokongan dengan 65 peratus bersama-sama menyokong kepimpinan ulama,”

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat menegaskan bahawa gerakan itu tiada matlamat sebaliknya hanya mengidamkan jawatan.

“Kenapa kita nak tinggalkan Pas? Sedangkan kita ada dasar,matlamat yang jelas. Gerakan ini tidak ada apa-apa. Matlamatnya nak cari jawatan. Sebab jawatannya (sudah) hilang semua sekali…kecewa.

Macam budak-budak bermain kemudian kalah, mereka main lain-lain (berasingan). Nanti kalau begitulah sikapnya, dalam Harapan Baru ada lawan juga, kalah, dia buka Harapan Baru 2 pula.

“Maka, sebab itulah jangan percaya selagi tidak ada hitam putih, mereka sebenarnya tidak ada matlamat, tiada hala tuju. Yang dibuat kata dasar Islam syumul itu hanya khayalan sahaja kerana nak buat matlamat Islam mesti kena minta kebenaran daripada ‘mursyidul amnya’, Lim Guan Eng,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-