Monday, August 17, 2015

Noraini, Normala buat laporan polis

Normala berkata: "Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terbabit dalam komplot menjatuhkan kerajaan BN samada secara langsung atau tidak langsung." Foto fail TRP

PASIR GUDANG, 17 Ogos:

Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) wanita yang namanya disenarai dalam 20 Ahli Parlimen BN yang dikatakan terbabit dalam komplot menjatuhkan kerajaan, membuat laporan polis, hari ini.

Kedua-dua Ahli Parlimen Johor itu, Normala Abdul Samad dan Datuk Noraini Ahmad, mendakwa senarai nama itu tidak benar dan menafikan dakwaan bahawa mereka terbabit dalam komplot berkenaan.

Nama lain dalam senarai terbabit adalah lelaki.

Normala, yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, berkata dia kecewa apabila namanya disenarai antara 20 individu yang dikatakan terbabit dalam komplot itu.

“Penipuan seperti ini menjejaskan reputasi dan kredibiliti saya sebagai penyokong kerajaan.

“Laporan itu tidak benar dan bertujuan menyebabkan perpecahan di kalangan pemimpin BN dan rakyat Malaysia, terutamanya di Pasir Gudang,” katanya.

Pemimpin masyarakat berusia 54 tahun itu disertai 300 penyokong daripada kawasan Parlimennya ketika beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Normala berkata, dia percaya dakwaan senarai nama Ahli Parlimen yang terbabit dalam komplot menjatuhkan kerajaan dilakukan oleh individu tertentu yang berniat jahat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya terbabit dalam komplot menjatuhkan kerajaan BN samada secara langsung atau tidak langsung.”

Normala menegaskan, sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang dan pemimpin pergerakan bahagian Umno, dia akan menegaskan bahawa dia akan memegang kenyataan Menteri Besar Johor pada mesyuarat bahagian Umno Pasir Gudang, 9 Julai lalu.

“Beliau berkata, Umno dilihat sebagai satu kapal dan kami sebagai ahli perlu meletak kepercayaan kepada presiden parti yang seperti nakhoda yang akan mengemudi kapal,” katanya.

Normala juga mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan serta-merta bagi mengawal penyebaran maklumat tidak benar yang boleh menjejaskan reputasi dan kepercayaan rakyat.

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook dan dua blog dikenal pasti sebagai sumber senarai nama yang diperkatakan. Facebook dikenali sebagai Kopi Panas manakala laman blog adalah Kakak Tua dan Suara Hati (SH).

Terdahulu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, turut membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara di Petaling Jaya pada jam 12.45 tengahari, susulan namanya disenarai dalam dakwaan komplot terbabit.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berusia 47 tahun itu, menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia terbabit dalam komplot berkenaan selain berharap SKMM serta agensi berkaitan memandang serius perkara itu.

“Dakwaan ini menjejeaskan kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen BN dan menyebabkan prejudis.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk kekal setia dan mempertahankan Perdana Menteri serta kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/17/noraini-normala-buat-laporan-polis/#ixzz3j58mjRJK

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-